Setelah dua tahun kita menjalani kehidupan dalam fasa pandemik ekoran penularan penyakit COVID-19, Malaysia bakal memasuki fasa Peralihan ke Endemik pada 1 April 2022. Dalam tempoh dua tahun ini juga, soal kesihatan fizikal sentiasa menjadi topik perbualan harian kita. Terdapat satu lagi aspek kesihatan yang turut penting tetapi mungkin dipandang ringan oleh sebahagian daripada kita iaitu aspek kesihatan mental. Islam juga mengiktiraf bahawa manusia sememangnya akan menempuh saat senang dan sukar yang pasti memberi sedikit sebanyak kesan kepada emosi individu.
Dalam Seminar Wanita: Kesihatan Mental Pasca Pandemik & Zikir yang berlangsung di Kangar baru-baru ini, panel-panel yang dijemput telah mengupas aspek kesihatan mental dan zikir-zikir yang diajar oleh Nabi Muhammad SAW untuk kita amalkan dalam kehidupan seharian.
Sebagai permulaan, Dr. Khaironisak Haron, seorang Pakar Perubatan Kesihatan Awam mengemukakan definisi kesihatan mental menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu keadaan yang mana individu menyedari akan potensi dirinya, mampu berdaya tindak terhadap stres, produktif, dan boleh menyumbang kepada komuniti. Kesihatan mental itu sendiri berada pada satu spektrum, yang mana mental berada dalam keadaan sihat sebelum masalah kesihatan mental berlaku. Masalah kesihatan mental berlaku apabila individu mengalami gangguan emosi atau perasaan sehingga menjejaskan fungsi kehidupan seharian. Pada peringkat yang lebih teruk, masalah kesihatan mental boleh menjadi penyakit yang didiagnosis oleh doktor. Penyakit mental ialah gangguan pada fungsi otak yang boleh menjejaskan pemikiran, perasaan, dan tingkah laku, serta menyebabkan individu tidak mampu untuk menghadapi cabaran dalam kehidupan seharian.
Sepanjang tempoh pandemik, talian bantuan sokongan psikososial telah menerima pelbagai isu sosial antaranya masalah kewangan, ketidakpastian tentang masa hadapan, masalah keluarga, penderaan fizikal dan emosi, kurang sokongan sosial dan moral, perubahan rutin harian, masalah penjagaan anak, dan penyesuaian kepada norma baharu. Semua isu ini boleh menyumbang ke arah stres yang teruk, ketakutan, keresahan, kemurungan, hilang harapan, dan tingkah laku bunuh diri.
Kempen Let’s TALK Minda Sihat yang diperkenalkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia bertujuan untuk menggalakkan individu pergi mendapatkan bantuan dan sokongan berkaitan kesihatan mental mereka. Ia juga bertujuan untuk menggalakkan ahli keluarga dan rakan-rakan turut sama menghulurkan bantuan dan sokongan kepada individu yang memerlukan. Perkataan TALK dalam kempen tersebut merujuk kepada Tell (cerita masalah kepada individu yang dipercayai), Ask (minta pertolongan), Listen (dengar tanpa menghukum), dan Know (tahu di mana untuk dapatkan pertolongan).
Kita boleh menyemak status kesihatan mental kita dengan melakukan Saringan Minda Sihat dengan menjawab soal selidik Depression Anxiety Stress Scales (DASS) yang disediakan oleh Jabatan Kesihatan Negeri. Jika keputusan menunjukkan kita berada pada tahap yang memerlukan bantuan, pihak dari fasiliti kesihatan akan menghubungi kita untuk tindakan seterusnya. Oleh itu, penting kepada kita untuk memberi maklumat demografi yang tepat dan menjawab soal selidik dengan jujur.
Sebagai langkah penjagaan kesihatan mental, kita seharusnya fokus pada perkara yang kita sendiri boleh kawal dan ubah. Terdapat banyak perkara yang boleh kita amalkan seperti mendapatkan rehat dan tidur yang berkualiti, mengambil makanan dan minuman yang sihat, melakukan aktiviti fizikal, dan mengamalkan teknik pernafasan dan relaksasi. Kita juga boleh mengekalkan hubungan yang baik dengan keluarga dan rakan, berkongsi perasaan dan masalah dengan individu yang boleh dipercayai, dan melibatkan diri dalam aktiviti yang bermanfaat. Aktiviti spiritual juga turut membantu seperti melakukan ibadah, berdoa, dan berzikir.
Panel kedua iaitu Dr. Roshimah Shamsudin, pensyarah di Universiti Sains Malaysia pula mengupas soal zikir-zikir harian yang boleh diamalkan dalam kehidupan seharian. Zikir mampu membantu mencegah dan merawat masalah mental. Namun, kita juga harus bertanya pada diri, sudah berapa lama kita berzikir? Adakah kita konsisten berzikir? Adakah kita berzikir hanya ketika kita punya masalah?
Zikir boleh didefinisikan sebagai apa-apa yang disebut oleh lidah, sampai kepada hati, dan mendekatkan diri kita kepada Allah. Zikir juga merupakan pujian dan sanjungan kepada Allah yang terdiri daripada nama-nama dan sifat-sifatNya. Zikir juga boleh difahami sebagai melafazkan apa yang dituntut ke atas kita untuk melafazkan dan memperbanyakkannya.
Terdapat galakan untuk kita memperbanyakkan zikir yang disebut dalam Al-Quran dan hadis Nabi SAW. Pada ayat 35 dalam Surah Al-Ahzab, Allah berfirman tentang ganjaran yang akan diperolehi oleh sesiapa yang banyak berzikir.
“Sesungguhnya orang-orang lelaki yang Islam serta orang-orang perempuan yang Islam dan orang-orang lelaki yang beriman serta orang-orang perempuan yang beriman dan orang-orang lelaki yang taat serta orang-orang perempuan yang taat dan orang-orang lelaki yang benar serta orang-orang perempuan yang benar, dan orang-orang lelaki yang sabar serta orang-orang perempuan yang sabar dan orang-orang lelaki yang merendah diri (kepada Allah) serta orang-orang perempuan yang merendah diri (kepada Allah) dan orang-orang lelaki yang bersedekah serta orang-orang perempuan yang bersedekah dan orang-orang lelaki yang berpuasa serta orang-orang perempuan yang berpuasa dan orang-orang lelaki yang memelihara kehormatannya serta orang-orang perempuan yang memelihara kehormatannya dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang-orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar”.
Kenapa zikir sahaja yang disebut dengan banyak? Kenapa solat dan sedekah tidak disebut dengan banyak? Hal ini kerana, zikir adalah ibadah yang paling mudah untuk dilakukan pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja. Kita tidak perlu berwudu sebelum berzikir dan boleh dilakukan ketika kita sedang melakukan aktiviti lain.
Dengan berzikir, ia boleh menghilangkan rasa gelisah dan gundah gulana, menggembira dan menenangkan hati, melembutkan hati yang keras, dan menghilangkan kerisauan. Kita juga akan berasa bahagia dan boleh membahagiakan individu lain. Rasa takut juga hilang dan hati yang lalai dapat diubati.
Kelalaian juga adalah penyakit hati. Apabila kita lalai, kita membenarkan diri disibukkan dengan hal ehwal dunia. Apabila sibuk dengan urusan dunia tanpa mengaitkan ia dengan hal ehwal akhirat, kita mungkin terlupa untuk berzikir di celah-celah melakukan aktiviti seharian. Kita akan terlepas pahala berzikir dan kurang rahmat Allah.
Dalam Surah Ar-Rad, ayat 28, Allah berfirman, “(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan “zikrullah”. Ketahuilah dengan “zikrullah” itu, tenang tenteramlah hati manusia”.
Ketenangan boleh datang dengan berzikir secara konsisten. Ketenangan itu adalah apabila kita punya hubungan yang erat dengan Allah. Ketenangan itu adalah apabila kita yakin dan tiada syak dengan apa yang berlaku ke atas diri kita. Kita meyakini bahawa setiap apa yang berlaku itu merupakan ketetapan yang terbaik oleh Allah untuk kita. Saat itu, kita mampu reda dan sabar untuk menghadapi segala macam bentuk ujian ke atas diri.
Mengingati Allah itu perlulah dengan ingatan yang betul. Kita menyebut kalimah-kalimah yang sahih dengan mulut, kita rasakan dengan hati, dan kita rasakan betapa dekat Allah dengan kita. Janganlah pula kita menjangkakan yang dengan berzikir hanya sekali lalu terus berlaku keajaiban dalam kehidupan. Walaupun hal itu tidaklah mustahil berlaku kerana Allah boleh melakukan apa-apa sahaja, ia bukanlah pendekatan yang betul apabila berusaha.
Terdapat pelbagai zikir yang boleh diamalkan yang berkait dengan konteks kesihatan mental. Salah satu doa yang sering disiarkan melalui pelbagai media tatkala pandemik ini adalah doa memohon perlindungan daripada pelbagai penyakit.
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ البَرَصِ، وَالْجُنُونِ، وَالْجُذَامِ، وَمِنْ سَيِّئِ الْأَسْقَامِ
“Daripada Anas RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: Ya Allah, aku berlindung denganMu daripada penyakit sopak, gila (al-junun), kusta, dan penyakit-penyakit yang buruk”.
Jika tatkala pandemik, kita lebih memfokuskan pada bahagian memohon perlindungan daripada penyakit-penyakit yang buruk, kita juga harus sedar bahawa terdapat keadaan yang mana penyakit itu mungkin tidak kelihatan pada zahirnya. Kalimah al-junun dalam doa tersebut boleh difahami dalam konteks sama ada yang lahir dengan dengan kecacatan akal atau pun yang lahir normal tetapi berlaku trauma dalam kehidupan sehingga menjejaskan fungsi akal.
Nabi Muhammad SAW juga mengajar kita agar mengamalkan doa untuk memohon perlindungan daripada kebimbangan dan kesedihan.
اَللَّهُمَّ اِنِّى اَعُوْذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ
وَاَعُوذُ بِكَ مِنَ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ
وَاَعُوذُ بِكَ مِنَ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ
وَاَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّ جَالِ
“Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung denganMu dari kebimbangan dan kesedihan, dan aku berlindung denganMu dari kelemahan dan kemalasan, dan aku berlindung denganMu dari sifat pengecut dan bakhil, dan aku berlindung denganMu dari bebanan hutang dan kekuasaan manusia”.
Kebimbangan ialah apabila kita terlalu risau akan perkara yang belum terjadi. Kesedihan ialah rasa gundah dengan apa yang sudah berlaku. Janganlah kita banyak “Kalaulah aku…”, menyesali apa yang berlaku sehingga tidak dapat memberi fokus pada perkara yang masih boleh diubah. Fokus perlulah pada apa yang berlaku di sini dan sekarang (here and now).
Nabi Muhammad turut mengajar kalimah-kalimah ringkas yang mampu memberi kekuatan kepada kita menjalani kehidupan seharian apabila diamalkan dan dihayati pengertiannya.
“Daripada Ibn Abi Laila bahawa ‘Ali RA menceritakan kepada kami bahawa Fatimah ‘alaihassalam datang untuk berjumpa dengan Nabi SAW untuk mengadu tentang kecederaan tangannya akibat kerja menggiling. Setelah sampai, beliau mendapati Nabi SAW telah didatangi oleh seorang hamba lantas tidak dapat bertemu dengan Nabi SAW. Lalu dia menyebutkan hal itu kepada ‘Aisyah RA. Apabila Baginda SAW pulang, ‘Aisyah RA pun memberitahu hal itu. Lalu Baginda datang menemui kami ketika kami sudah berada di tempat tidur kami, lalu aku mahu bangun, Baginda SAW pun bersabda: Tetaplah di tempat kamu. Lalu Baginda duduk di antara kami berdua sehingga aku dapat merasai kesejukan kaki Baginda pada dadaku. Baginda bersabda: Mahukah aku tunjukkan kalian berdua sesuatu yang lebih baik daripada pembantu rumah. apabila kalian berdua pergi ke tempat tidur, ucapkanlah takbir sebanyak tiga puluh tiga kali, tasbih sebanyak tiga puluh tiga kali, dan tahmid sebanyak tiga puluh tiga kali. Ini lebih baik untuk kalian berdua daripada pembantu rumah”.
Dalam ucapan perasmian penutup, Mufti Perlis iaitu Sahibus Samahah Prof. Madya Dato’ Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Zainul Abidin mengingatkan bahawa setiap manusia pasti melalui keadaan yang memberi kesedihan dan keresahan. Kekasih Allah iaitu Nabi Muhammad SAW sendiri tidak terkecuali, malah ujian yang diletakkan ke atas Baginda terlebihlah berat. Tatkala kita berhadapan dengan keadaan yang zahirnya seperti tiada jalan keluar, Allah sahajalah yang boleh memampukan kita dengan apa yang tidak mampu dibuat oleh makhluk lain. Lazimilah tahajud. Lazimilah kalimah Ya Hayyu Ya Qayyum (Wahai Yang Memiliki Kebesaran dan Kemuliaan) dan Ya Dzal Jalali Wal Ikram (Wahai Yang Maha Hidup dan Yang Tidak Bergantung Kepada MakhlukNya).
Melazimi zikir bukanlah semata-mata bererti mengulangnya berkali-kali, tetapi juga bererti kita hidup dengan zikir-zikir tersebut.
Moga bermanfaat catatan ini buat diri yang menulis dan kalian yang membaca.
Disediakan oleh,
Syamim Binti Hashim