Pada masa kini, bukanlah sesuatu yang pelik untuk kita melihat satu situasi sekumpulan manusia yang berada bersama, tetapi tidak berbicara sesama mereka. Masing-masing kelihatan sedang asyik memandang sesuatu di bawah. Ya, tidak lain tidak bukan, telefon pintar mereka.

Adakah kita pernah berada dalam situasi sebegitu?

Penulis semestinya pernah. Anda juga mungkin sedang membaca artikel ini pada telefon pintar anda ketika dan di hadapan anda ada rakan yang juga sedang menggunakan telefon pintarnya. Anda dan rakan anda sama-sama sedang menanti makanan yang dipesan di sebuah restoran tetapi masing-masing tidak berbual. Jika ini bukan situasi yang sedang anda lalui ketika membaca artikel ini, ketahuilah yang situasi seperti ini telah ada istilahnya tersendiri.

Istilah sebagai gambaran realiti

Pada Mei 2012, sekumpulan pakar yang terdiri daripada ahli leksikografi (ahli dalam bidang penyusunan, penulisan, dan penyuntingan kamus), ahli fonetik (ahli dalam bidang bunyi percakapan manusia), pengarang, pembuat silang kata, dan penyair berkumpul di University of Sydney dalam satu misi kempen yang dianjurkan oleh Macquarie Dictionary.

Misi tersebut bertujuan untuk mencipta satu neologisme (kata atau frasa yang baharu dibentuk) yang sesuai untuk menggambarkan situasi penggunaan mana-mana peranti mudah alih ketika berada bersama dengan individu yang lain. Dalam pertemuan tersebut, lahirlah istilah phubbing.

Phubbing adalah satu istilah Bahasa Inggeris yang menggabungkan dua perkataan, iaitu phone dan snubbing.

Phone merujuk kepada peranti mudah alih iaitu telefon mudah alih. Bagi konteks zaman sekarang, penggunaan telefon pintar (smartphone) dan termasuklah peranti tablet yang berkongsi banyak ciri dan fungsi yang sama lebih menepati realiti semasa berbanding telefon mudah alih yang hanya terhad kepada fungsi membuat dan menerima panggilan, serta membalas mesej.

Snubbing (kata akar: snub) pula bermaksud ‘tidak menghiraukan’. Istilah phubbing sangat tepat menggambarkan situasi yang mana seorang individu menggunakan telefon pintar atau tablet dan, dengan sebab berbuat demikian, dia tidak menghiraukan individu lain di sekelilingnya.

Daripada perkataan phubbing, lahirlah pula istilah phubber yang merujuk kepada si pelaku phubbing, dan phubbee yang merujuk kepada individu yang tidak dihiraukan oleh phubber.

Kajian awal yang menggunakan istilah phubbing mula muncul pada tahun 2014. Dalam banyak kajian yang menyusul, istilah phubbing juga telah digubah untuk menggambarkan dengan lebih khusus lagi status pelaku phubbing.

Sebagai contoh, pphubbing (tambahan huruf p pada pangkal phubbing) merujuk kepada partner phubbing, iaitu phubbing yang dilakukan oleh pasangan, sama ada dalam hubungan suami isteri atau kekasih.

Istilah bphubbing (tambahan huruf b pada pangkal phubbing) pula adalah boss phubbing yang menggambarkan phubbing yang dilakukan oleh majikan dengan kehadiran subordinat mereka.

Mphubbing (tambahan huruf m pada pangkal phubbing), atau mother phubbing, pula adalah phubbing yang dilakukan oleh ibu dengan kehadiran anak mereka, manakala aphubbing (tambahan huruf a pada pangkal phubbing) adalah adolescent phubbing yang menggambarkan phubbing dilakukan oleh anak remaja dengan kehadiran ibu bapa mereka.

Kesemua istilah baharu ini menunjukkan betapa berleluasanya penggunaan telefon pintar yang mengakibatkan individu di sekeliling tidak dihiraukan.

Teknologi yang berpengaruh

Kita mungkin berfikir bahawa baik buruk penggunaan teknologi bergantung kepada cara kita menggunakannya. Jika kita leka dalam penggunaan teknologi, kita yang sepatutnya dipersalahkan kerana tidak mampu mengawal penggunaannya. Namun, hal tersebut tidaklah semudah itu.

Tristan Harris, seorang design ethicist (dalam bahasa mudah, seorang yang mengambil kira hal tingkah laku moral dan pilihan bertanggungjawab dalam bidang reka bentuk), sendiri menyatakan yang masalahnya bukanlah kerana kita lemah dari sudut keazaman atau kesungguhan hati, tetapi terdapat ramai individu di sebalik teknologi itu yang mana tugas mereka adalah untuk mematahkan kawalan kendiri kita sebagai pengguna teknologi tersebut.

Dalam erti kata lain, di sebalik penggunaan teknologi itu, ada usaha tersembunyi untuk memastikan kita tidak mampu menjadi pengguna yang bebas membuat pilihan dan menentukan tingkah laku sendiri kerana wujudnya anasir luar yang mempengaruhi tingkah laku.

B.J. Fogg dalam bukunya “Persuasive Technology: Using Computers to Change What We Think and Do” mentakrifkan ‘teknologi persuasif’ (persuasive technology) sebagai apa-apa sistem perkomputeran interaktif yang direka untuk mengubah sikap dan tingkah laku manusia.

Hal ini menyatakan yang teknologi bukanlah tanpa sengaja direka sebegitu rupa. Sebagai contoh, aplikasi Facebook yang kita gunakan di telefon pintar direka sedemikian rupa agar kita lebih kerap menggunakannya. Pemberian ganjaran dalam bentuk Like, Reaction, Share, dan Comment membuatkan kita sentiasa membuka akaun sosial media untuk melihat jika sesiapa memberi respons pada hantaran kita.

Sifat manusia yang mendambakan interaksi sosial akan berasa seronok apabila melihat pemberitahuan yang rakan kita suka akan hantaran kita.

Menggunakan telefon pintar dan membaca buku, apa bezanya?

Kita imbas semula contoh situasi di restoran pada awal artikel. Bagaimana pula jika anda dan rakan anda tidak menggunakan telefon pintar, tetapi masing-masing sedang membaca buku terkini keluaran Jejak Tarbiah? Perbualan tetap tidak berlaku, tetapi aktiviti yang menghalang perbualan untuk berlaku sahaja yang berbeza.

Teknologi dan media yang banyak kita guna sekarang kurang dibina bersamanya peraturan-peraturan atau isyarat-isyarat berhenti (stopping rules or cues). Peraturan atau isyarat berhenti adalah signal atau tanda yang memberi petunjuk supaya kita berhenti melakukan sesuatu, dan memulakan atau meneruskan aktiviti yang lain pula.

Media yang lebih lama seperti buku dan surat khabar memiliki isyarat berhenti seperti muka surat terakhir buku dan surat khabar itu sendiri, dan habisnya sesuatu bab atau bahagian. Malah, ketika menonton televisyen juga kita diberi isyarat berhenti seperti selingan iklan dan tamatnya sesuatu rancangan yang kita tonton. Isyarat-isyarat berhenti ini memberi ruang untuk kita berhenti seketika daripada aktiviti membaca atau menonton televisyen untuk melakukan aktiviti lain pula seperti pergi ke tandas, ambil minuman di dapur, dan lain-lain.

Hal ini berbeza dengan teknologi dan media yang banyak kita guna sekarang. YouTube, sebagai contoh, akan sentiasa memainkan video jika pilihan Autoplay next video dipasang. Jika tidak sekali pun, banyak pilihan video lain terpapar di tepi atau bawah video yang kita sedang tonton. Facebook, Instagram, Twitter, dan segala media sosial yang lain juga menawarkan suapan berita (news feed) yang tiada penghujungnya.

Kesan phubbing terhadap individu dan hubungan

Penggunaan telefon pintar sememangnya memudahkan pelbagai urusan. Namun, penggunaannya yang tidak menepati konteks boleh memberi kesan buruk terhadap hubungan dengan ahli keluarga dan rakan-rakan.

Phubbing boleh membuatkan individu berasa disisihkan tatkala ahli keluarga atau rakan bicara sibuk menggunakan telefon pintar. Apabila individu menjangkakan perbualan akan berlaku tetapi tidak, individu akan berasa kecewa dan beranggapan bahawa apa-apa aktiviti yang sedang berlaku dalam telefon pintar itu lebih penting daripada dirinya.

Individu yang tidak dihiraukan juga berkemungkinan akan berada di tahap kesejahteraan yang rendah dan boleh mengalami kemurungan. Individu tersebut turut menilai kualiti komunikasi dan kepuasan hubungan dengan ahli keluarga atau rakannya pada tahap yang rendah.

Hal ini juga mewujudkan situasi individu tersebut akan turut menggunakan telefon pintarnya untuk memenuhi keperluan sosial dan mendapatkan perhatian.  Semakin kerap situasi ini terjadi, phubbing akan dilihat sebagai satu norma yang diterima dalam masyarakat. 

Penggunaan telefon pintar untuk tempoh masa yang lama juga boleh mengakibatkan satu keadaan yang dipanggil sindrom leher media sosial (text neck syndrome).

Keadaan ini terjadi apabila postur leher kita membongkok ke hadapan semasa kita menggunakan telefon pintar yang kebiasaannya berada di kedudukan bawah. Semakin kita membongkokkan leher ke hadapan, semakin berat tekanan yang kita beri terhadap tulang belakang servikal.

Jika tidak dipastikan posisi badan yang betul semasa menggunakan telefon pintar kita, ia berkemungkinan memberi kesan kesakitan pada bahagian bahu, leher, dan kepala.

Kesimpulan

Apabila difikirkan, sungguh ironi kewujudan telefon pintar kerana ia mampu mendekatkan yang jauh dan pada masa yang sama menjauhkan yang dekat.

Amatlah penting diwujudkan kesedaran mengenai pengaruh teknologi dalam kehidupan kita, lebih-lebih lagi bagaimana teknologi memberi kesan terhadap hubungan kita sesama manusia.

Kita juga harus cakna dengan ciri-ciri yang terdapat pada teknologi yang kita gunakan seharian. Kita boleh sahaja mengambil manfaat daripadanya dan, pada masa yang sama, lebih berwaspada agar teknologi yang sama tidak membuatkan kita terjerumus dengan aktiviti tidak sihat. Gunakan teknologi sebagai alat, jangan sehingga “alat makan tuan”.

Semoga kita kembali menjadi manusia yang memandang ke hadapan untuk menatap wajah dan berbual dengan ahli keluarga dan rakan kita.

Disediakan oleh,

Syamim Binti Hashim

Pelajar PhD dalam bidang Psikologi di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.