Zainal ‘Abidin Bin Ahmad (Za’ba) tiadalah payah dikenali. Setidak-tidaknya, sebagai seorang peranakan Malaysia, tentu pernah mendengar nama beliau walaupun sebatas empat huruf itu sahaja, tidak lebih daripada itu. Manakala, kepada mereka yang menekuni bidang bahasa Melayu, kesusasteraan Melayu, sejarah, falsafah, agama, ekonomi, kemasyarakatan yang berhubung langsung atau tidak langsung dengan Alam Melayu tidaklah dapat diceraikan daripada nama beliau. Barulah mereka menjadi seperti jauhari yang menikam manikamnya. Tambahan kepada para pengkaji yang sering bermuamalah dengan karya-karya pra-moden, nama Pendita Za’ba sering menyinggah di lembar-lembar bahan rujukannya.
Sengaja saya memilih klausa Supernova Dari Luak Jempol ini sebagai hentian awal dalam makalah ini. Umumnya para penulis riwayat seseorang tokoh besar akan memperpanjang daerah tempatnya berkhidmat dan sedikit memberi perhatian terhadap daerah tokoh berkenaan dilahirkan. Jika ada, hanya sedikit. Bahkan kantor pejabatnya, rumah mewahnya lebih dikenal daripada tepi sawah, parit – bondar, darat dan baruh telapak lahinrya. Sedangkan, peribadi seseorang tokoh berkenaan paling banyak di bentuk oleh persekitaran kecilnya, rumah buruk, surau tua, balai rapat, padang belukar yang menjadi alam tempatnya memperdewasa fikiran dan tindakannya. Inilah madrasah terawal yang membentuk keseluruhan sikap seseorang tokoh berkenaan.
Zainal Abidin bin Ahmad (Za’ba) juga tidak terlepas daripada naratif berkenaan. Beliau diputerakan pada 16 September 1895 di Kampung Bukit Kerdas, Jempol, Batu Kikir, Negeri Sembilan. Sebuah kampung yang hanyasanya dapat dihubungkan dengan pekan besar (Kuala Pilah) waktu itu dengan menaiki kereta lembu. Ibunya Intan Awaluddin berketurunan suku Tanah Datar daripada Minangkabau yang telah menetap di kampug berkenaan. Manakala, ayahnya yang berketurunan Bugis Linggi merupakan seorang yang berjiwa besar, berpengetahuan agama, dan di antara orang yang celik huruf di kampungnya pada masa tersebut. Pengaruh budaya Bugis-Minang yang sedikit berbeza orientasinya telah memberikan beliau pelajaran berguna yang kelak digunapakai dalam pemerhatian dan tulisan-tulisannya.
Kampung Za’ba di kelilingi kawasan sawah padi yang menghijau, tenang dan mendamaikan. Jajaran padi ini terbentang daripada Batu Kikir hingga ke Bahau. Pemandangan yang damai ini disamping penduduknya yang erat mengamalkan budaya kampung, mengamalkan agama secara tertutup, mewarisi ekonomi kampung, tanah dan mitos-mitos adalah inti daripada budaya Melayu klasik. Melaluinya, seseorang yang mahu bercakap tentang perubahan atau islah atau pembaharuan fikiran harus mengetahui pula tentang apa yang mahu diubahnya itu. Maka Za’ba adalah seorang yang telah menguasai hal itu sejak awal usianya. Beliau dikurniakan semangat suka memerhati, menilai, ingin cepat belajar sejak kecil lagi. Tambahan pula, ketika mana beliau berada di tengah-tengah masyarakat kampung yang jauh daripada suara loceng, yang berada pada keadaan tepu, tidak tahu bagaimana mahu keluar daripada keperitan ekonomi dan terlebih lagi rohani. Sememangnya, persekitaran hidup Za’ba sejak kecil telah memberikan kebaikan besar kepada beliau.
Kampung Bukit Kerdas kelahiran Za’ba terletak di dalam daerah pentadbiran moden Jempol. Daripada sudut pentadbiran tradisional, kampung berkenaan dii bawah pemerintahan Luak Jempol dan ditadbir oleh seorang Penghulu bergelar Datuk Lela Putra Setiawan yang dipilih daripada waris suku Biduanda. Luak Jempol, terletak dalam lingkungan Luak Tanah Mengandung yang meliputi Luak Ulu Muar, Terachi, Gunung Pasir dan Inas. Za’ba bukanlah seorang peminat terhadap adat tradisional khususnya di Luak Jempol yang dilingkungi oleh adat perpatih. Tidak ditemui singgungan beliau terhadap hal ini. Namun, secara rekonstruktif, dapat diperhatikan bahawa Pendita Za’ba sangat kritis terhadap adat-adat purbakala yang menurut beliau menjadi penghalang terhadap kemajuan dan kemaraan dalam perlumbaan hidup.
Keberadaan adat berkenaan sahaja telah menghadirkan banyak polemik. Undang-undang tidak bertulis demikianlah kelangsungannya. Proses perjalanannya bergantung hanya pada ingatan dan hafalan, dilazimi dan diperturunkan secara lisan daripada para pemangku kepada generasi seterusnya. Sebanyak-banyak konflik adat perpatih berkenaan perjalanan urus tadbirnya, tiadalah segenting isu berhubung dengan perwarisan pusaka menurut sistem Islam. Hal inilah paling banyak menimbulkan ketegangan. Za’ba adalah peribadi pengislah yang masuk dalam kelompok kaum muda. Tentangan beliau terhadap social establishment yang terlembaga dalam sistem peradatan, peribadatan dan banyak dizahirkan dalam pena beliau.
Za’ba telah menyenaraikan beberapa nilai murni yang perlu ada pada diri seseorang khususnya pemuda. Sifat-sifat yang mulia itu termaktub dalam istilah yang digunakan yang, iaitu “ketinggian perangai”. Selain dari kemuliaan hati, sifat-sifat lain yang menunjukkan ketinggian perangai adalah seperti yang disenaraikan dibawah.
- Self-reliance, iaitu perangai bergantung kepada diri sendiri, yakni tidak mengharapkan bantuan orang lain.
- Perseverance, yakni tekun dalam mengerjakan sesuatu dan tidak mudah jemu dan tawar hati.
- Sense-of-responsibility, yakni menjalankan tanggungjawab dengan meletakkan di atas bahu orang lain.
- Punctuality, yakni menimbang dan menyukat waktu.
- Industry, yakni rajin, berusaha dan kuat berkerja dengan “berbanting tulang dan berbanting kepala”.
- Self-sacrifice, yakni rela mengorbankan diri bagi faedah orang lain, terutamanya faedah am.
- Public-spirit, yakni suka ambil berat akan hal-hal kebajikan bagi masyarakat.
Penulis beranggapan bahawa, semua nilai-nilai murni ini akan dapat dicapai melalui penguasaan dan pemahaman kepada hal yang substansi yang semuanya terlingkung di dalam bidang PENDIDIKAN. Perubahan mengajak manusia kepada cahaya pengetahuan amatlah penting dalam konteks masyarakat negara ini dan harus menjadi seruan asasi. Pandangan tokoh-tokoh awal menentang pembodohan yang memasung manusia daripada maju dan menghirup fajar kemuliaan masih relevan hingga kini walaupun telah berabad meninggalkan khazanah tulisan mereka.. Mengenai pentingnya persoalan menganjurkan perubahan di lapangan menuntut ilmu (pendidikan) ini, diturunkan beberapa petikan perkataan yang besar nilainya :
“……Pelajaran hendaklah juga dijadikan ‘kalimah syahadah’ yang awal pertama sekali hendak dikirakan dan dilebihkan”
“Memada-madalah. Bangunlah segera daripada tidur kamu wahai sekalian ikhwan. Sanya telah kelamlah tipu daya kebodohan dan terbit cahaya pengetahuan. Tengok, lihat dan perhatikanlah apakah yang tidak diperbuat oleh kaum yang jaga itu. Meruntuhkan bukit yang besar-besar, membangunkan bangunan di padang yang rata, menjadikan lautan itu daratan dan daratan itu lautan. Padahal tidak bergerak ianya dari atas kerusinya dengan menggoyangkan kaki. Hanyalah digunakan hujung telunjuk jarinya pada menyempurnakan segala kehendak kemudian daripada telah berpengetahuan ianya pada menggunakan tabiat barang-barang seperti yang dijadikan Tuhannya bagi faedah-faedah manusia di alam ini”
Pendidikan adalah jalan keluar terhadap penyakit kemalasan, kemunduran, ketinggalan zaman yang dihidapi oleh masyarakat Islam Melayu. Pendidikan yang dimaksudkan juga perlulah difahami sehingga mendorong kepada melahirkan masyarakat yang bertenaga, mara dan menuju kesejahteraan. Matlamat pendidikan mestilah menuju kepada melahirkan insan yang baik dan manusia sempurna (universal man).
Semua ini dapat dicapai melalui usaha pendidikan sepadu yang menzahirkan tiadanya pemisahan antara ilmu agama dan sains. Pendidikan sepadu ini dengan beberapa pengislahan yang perlu, pernah dikemukakan oleh Za’ba :
“Maka istimewa pula pada zaman dunia telah menjadi kecil dan sempit sekarang dan pengetahuan manusia telah bertambah luas, dan fikiran-fikiran cara lama mulai hancur lebur di seluruh dunia dan panduan agama berkehendak disusuk semula dan dibaharui – jadi makinlah bertambah mustahaknya ibu-ibu sekalian mesti ada pelajaran yang betul supaya ia dapat memadankan didikan akan anak-anaknya itu kepada tuntutan ilmu yang telah luas dalam kemaraan dunia hari ini; dan supaya ia dapat memilih yang mana baik ditiru yang mana mesti ditolak jika sekiranya umat kita hendak dapat naik serta dapat memelihara diri”.
Dan beliau melanjutkan lagi “sementara itu didikan dunia tidaklah sekali-kali boleh diceraikan daripada didikan agama”
Apakah sikap anak muda terhadap gagasan ini? Telah banyak diperkatakan bahawa elemen yang memiliki ‘kuasa’ dan upaya untuk mengubah masyarakat kepada suatu landskap kehidupan yang lebih baik ialah pendidikan yang difahami dengan sepadu. Justeru itu, anak muda hendaklah menyambut semangat ini berbekalkan kelebihan menguasai jaringan luas lewat sistem teknologi maklumat hari ini. Anak mudalah yang memegang kunci zaman, apabila mereka telah sedia membukanya, maka berjalanlah dengan semangat perubahan yang penuh makna.
Oleh: Hanapi Jamaludin