Memegang ‘title’ sebagai seorang wanita bukanlah mudah untuk menjejak ke alam kepimpinan yang mana dipenuhi laki-laki sahaja. Ia dapat dilihat bahawa kudrat seorang wanita jika dibandingkan dengan kudrat seorang lelaki sungguh jauh perbezaannya. Namun ia bukan menjadi penghalang yang besar bagi kaum wanita dalam menceburi dunia kepimpinan.
Aku pernah diselubungi dengan suatu persoalan yang sukar bagiku untuk memberikan jawapan kepada empunya soalan. Soalannya berbunyi begini, “Sri, kenapa kau lakukan semua ini semata-mata untuk organisasi kau?”.
Aku terdiam.
“Bukankah kau seorang timbalan pengarah?”.
Aku hanya mampu memandang ke dalam renungan matanya sambil tersenyum seolah-olah sudah mati akal untuk menjawab. Lantas, aku diserang dengan soalan yang menghentam diriku, “Pernahkah kau terfikir kenapa kau buat program ini?”.
Aku menundukkan pandangan.
Soalan terus diajukan kepadaku, “Kenapa kau buat semua ini?”.
Lalu aku terus menjawab, “Kerana amanah dan tanggungjawab. Bagi aku dua perkara yang aku pegang ini sudah cukup untuk buktikannya.”
Dia berkata, “Itu sahaja jawapan yang kau boleh berikan?”.
Dia meneruskan lagi, “Bukan kerana ingin memberi manfaat kepada orang lain?”.
Setelah meneliti dengan mendalam, rupa-rupanya kepimpinan memerlukan lebih daripada itu. Melihat ekoran dunia seperti sudah tenggelam dalam dunia masing-masing yang hanya menuruti hawa nafsu demi tuntutan kepentingan kendiri. Kadang-kala kita sering kali ditimbuni dengan berbagai-bagai persoalan dalam benih akal. Ada suatu ketika, ia berbunyi begini, “Mengapakah aku yang perlu memberi manfaat kepada orang lain?”. “Adakah aku ini sememangnya layak untuk semua kurniaan ini walhal aku juga mempunyai aib dan sisi jahat aku sendiri.”
Ketahuilah bahawa ini semua ketetapan Ilahi yang sudah tertulis di alam Luh Mahfuz lagi. Mungkin bagi sesetengah orang berfikiran bahawa dirinya tiada nilai disebabkan melihat kelemahan yang ada pada diri sehingga terlupa keistimewaan yang ada di depan mata. Lumrah manusia gemar melihat apa yang tiada daripada yang sudah sedia ada.
Saat digelar sebagai seorang pemimpin di situlah berubah segalanya. Perjalanan yang dilalui dipenuhi dengan liku-liku yang tajam sehingga mental dan fizikal turut tempias. Emosi yang ada masanya berdentum dengan halus, ada masanya berdentum dengan kasar. Wanita yang digelar pemimpin yang asalnya tiada segulung ilmu pengetahuan yang luas terpaksa meneruskan bagi mencapai matlamatnya.
Menjadi seorang mahasiswi, seorang pemimpin, seorang anak dan seorang sahabat bukanlah senang untuk digendong sekali gus. Perjuangan yang sedang bergelora dalam ilmu ditimba juga harus diseimbangi dengan kepimpinan.
Memang benar ia datang dengan berbaurkan emosi diselangi dengan penat lelah yang tidak tahu mengenal untuk berhenti mencabuli keperluan untuk berehat. Tetapi, persekitarannya yang membuka mata untuk terus bangkit daripada tidur dalam kesungkuran. Apa yang disangkakan dalam hidup mungkin hanyalah seorang yang biasa kerana ruang buat dirinya masih belum dibuka dek hanya disulami perasaan takut dan rendah diri serta kepercayaan kepada dirinya sendiri dipudarkan dengan kisah silam.
Komuniti yang luas sememangnya memerlukan keseimbangan dalam sesebuah kehidupan kerana Islam mengajarkan kita hidup bermasyarakat yang diikat dengan tali silaturahim. Sekian lama menelaah dengan pembangunan diri dalam sebuah jaringan masyarakat sejagat yang besar, barulah erti kepimpinan itu diolah mengikut perspektif yang dinilai oleh seseorang insan.
Kepimpinan bukanlah suatu amanah atau tanggungjawab semata namun ia lebih besar daripada itu. Ia melibatkan sumbangan manfaat yang dihulurkan kepada setiap lapisan mujtamak. Memang benar pergerakan seorang wanita terbatas dalam sesetengah perkara.
Apa yang Allah semaikan dalam diri sebagai seorang wanita ialah kesabaran dan ketabahan yang memuncak. Bukan mudah untuk para wanita dalam mempersiapkan dirinya dalam segala hal. Bagaimana mereka menguruskan emosi kerana pertarungan ini tidak pernah ada penghujung membebani kaum wanita. Bagaimana mereka berjihad dalam melaksanakan semua tuntutan yang telah disyariatkan oleh Allah. Bagaimana mereka meluangkan masa bersama keluarganya dan orang-orang yang tersayang. Bagaimana mereka belajar dalam menjemput syurga yang bakal terletak di bawah telapak kakinya.
Kita sedar bahawa manusia dilahirkan dengan pelbagai sifat yang berlainan dan berlawanan dan itulah membuatkan ianya digilap menjadi semakin unik. Menjadi seorang wanita yang berkepemimpinan perlulah bersedia dengan prinsip dan matlamat yang jelas. Jika kita merenung dan berfikir, dalam tempoh merealisasikan prinsip dan matlamat tercipta bukanlah suatu perjalanan yang patut dipandang remeh kerana sepanjang pengembaraan yang hendak dikecapi itu juga mengajak kita untuk membantu serta membimbing orang-orang yang berada di tepian perjalanan itu.
Memetik kata seorang cendekiawan, menurut Hasan al-Banna Mohamed (2018), kepimpinan adalah sifat yang terlahir daripada diri seorang pemimpin. Setiap manusia yang dilahirkan mempunyai sifat atau kemahiran untuk memimpin tetapi sifat atau kemahiran tersebut hanya dapat ditonjolkan setelah melalui proses gilapan dan latihan. Namun, terdapat sebahagian sarjana menafikan bahawa seseorang dapat dibentuk menjadi pemimpin. Menjadi khalifah atau pemimpin di atas muka bumi merupakan satu amanah yang dikurniakan Allah SWT ke atas umat manusia sebelum diciptakan lagi. Bahkan, ianya juga merupakan kewajipan yang kedua setelah kewajipan beribadat kepada Allah SWT.
Hal ini telah diumumkan di hadapan para malaikat seperti mana yang terdapat dalam surah al-Baqarah ayat 30 iaitu: Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berkata kepada malaikat, sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata), Adakah Engkau (ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?
Tuhan berfirman: Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya. Ayat al-Quran ini secara terang dan jelas menyebutkan bahawa manusia dijadikan sebagai khalifah atau dapat diertikan sebagai pemimpin yang menguruskan di atas muka bumi ini.
Terdapat juga hadis Nabi SAW yang menyebutkan secara terperinci mengenai kepimpinan, di mana setiap orang adalah pemimpin bagi orang lain mengikut tahap dan kemampuan masing-masing, Rasulullah SAW bersabda. “Ketahuilah bahawa kamu semua adalah pemimpin,”
Sudah terang lagi bersuluh bahawa kita semua ialah khalifah di bumi ini. Namun, tidak semua mahu ke hadapan daripada tempat mereka berdiri khususnya buat golongan wanita.
Dulu ketika kita ditanya, “adakah kita lakukannya disebabkan merit semata-mata?” Hakikatnya mungkin benar tapi tidak bagi sesetengah insan. Di saat kita bekerja keras sehingga sanggup berpenat lelah malah berusaha membantu ahli-ahli yang lain sampai bersengkang mata dan ada juga meneruskan perjuangan sehingga air mata dipertaruhkan. Ketahuilah ia bukan lagi disebabkan ‘merit’ lagi kerana kejayaan sesuatu di bawah kepimpinan itulah membuatkan ia lebih bermakna. Mungkin dilihat tidak begitu besar tetapi kesannya yang mendalam.
Adapun kita merasakan ia sungguh melelahkan kita kerana memerlukan komunikasi dua hala bersama orang-orang sekeliling, di situlah kenangan tercipta beserta senyuman, gelak tawa dan kesenangan pada hati. Hal ini membuktikan Islam mengajar kita untuk sentiasa mengeratkan ukhuwah sesama saudara Muslim. Selain itu, kita dapat memperluaskan senarai kenalan kita dan berhubung dengan pihak yang berpengaruh. Dari situ kita boleh pulun ilmu-ilmu yang mereka ada dan mempelajari ilmu yang baharu.
Menjadi pemimpin yang teratas, tidak hanya cukup untuk mengarah sebaliknya membimbing mereka dengan kepakaran dan pengetahuan yang sedia ada. Ilmu juga sangat penting untuk seorang pemimpin kerana kita diamanahkan untuk mengerakkan mereka daripada zon yang mereka selesa.
Memahami setiap perasan daripada semua insan bukanlah mudah kerana manusia mempunyai pelbagai emosi yang bercampur baur. Semuanya itu dapat dilaksanakan dengan kelembutan dan kesabaran dan ketenangan akal dalam berfikir. Tegas juga sememangnya dilahirkan dalam diri semua orang hatta kebijaksanaan yang membawa ke mana ketegasan itu patut dimanifestasikan dalam situasi atau keadaan yang sewajarnya.
Akhir kalam, tujuan menjadi seorang pemimpin bukanlah terletak pada ‘siapa’ tetapi ‘mengapa’ itulah yang menunjukkan sesuatu yang jelas dan memenuhi kepuasan diri di sebalik kata-kata permata.
Dikarang oleh: Farzana Raiquisha