Perkataan wali adalah berasal dari bahasa arab. Untuk mengenali makna sebenar perkataan wali ini, para ulama berbincang dari dua sudut pandang, iaitu pada sudut bahasanya dan istilahnya. Dalam kitab al Mausu’ah al Fiqhiyyah, perkataan wali pada sudut bahasa membawa maksud dekat atau hampir. Dari sudut istilahnya pula, perkataan wali atau disebutkan juga sebagai al Wilayah membawa maksud wakil atau penjaga. Sebagai contoh, wali kepada perempuan adalah bapanya. Ini bermaksud, penjaga kepada perempuan itu adalah bapanya.
Dalam kitab al Furqan Baina Aulia’ al Rahmah dan Aulia’ al Syaitan, menurut Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah ketika membahaskan tentang perkataan wilayah, beliau telah menyatakan bahawa al Wilayah lawannya adalah ‘Adawah. Asal makna perkataan al Wilayah adalah kecintaan dan kedekatan. Manakala perkataan ‘Adawah pula membawa makna kebencian dan kejauhan. Oleh itu, perkataan wali atau wilayah merujuk kepada orang yang cinta dan dekat dengan Allah Azza Wa Jalla.
Dr. Wahbah Zuhaili dalam Tafsir a Wasit telah menyatakan bahawa para wali Allah adalah golongan yang mendapat berita gembira pada kehidupan di dunia dengan mendapat pertolongan dan memperolehi petunjuk yang benar di dunia selagi mereka berlandaskan syariat Allah SWT dalam kepercayaan mereka, mendirikan solat, menunaikan zakat, menyeru kepada kebaikan dan melarang daripada kemungkaran.
Daripada beberapa penjelasan makna ini, dapat kita fahami bahawa golongan wali Allah ini adalah golongan yang dekat dan hampir kepada Allah berpandukan jalan keimanan dan ketakwaan dengan melaksanakan segala perintah Allah dan meninggalkan laranganNya. Setiap ibadah yang dilakukan juga adalah berdasarkan syariat Allah Azza Wa Jalla. Mereka tidak membawa syariat baru, sebaliknya beramal dengan apa yang telah diturunkan kepada baginda Nabi Muhammad SAW.
Dalam hal kewalian ini, para ulama secara umumnya telah membahagikan para wali kepada dua bahagian iaitu Wali Allah dan Wali Syaitan. Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah menyatakan bahawa di antara Wali Allah dan musuh Allah adalah mereka yang bersaksikan (mengikut) Nabi Muhammad SAW, sesungguhnya ia Wali Allah. Dan sesiapa yang bersaksikan selain daripada itu maka ia adalah musuh Allah iaitu lah dari golongan Wali Syaitan.
Dalam kitab Qatr al Wali ala Hadith al Wali, Imam al Syaukani menyatakan mereka yang dihitung sebagai Wali Allah mestilah beriman kepada Allah SWT, malaikat Nya, kitab yang diturunkan Nya, para rasul dan takdir yang baik dan buruk seperti yang diperintah oleh Allah SWT. Meninggalkan apa yang dilarang serta memperbanyakkan ketaatan kepada Allah SWT, maka mereka ini digelar sebagai Wali Allah. Dan sesiapa yang bersikap sebaliknya maka mereka itu bukanlah daripada Wali Allah, bukanlah tergolong di dalam naungan rahmaniah (rahmat Allah) bahkan mereka tergolong di dalam syaitaniah (tipu daya syaitan).
Untuk mengenali siapakah wali Allah SWT, di dalam al Quran menerusi surah Yunus ayat 62 – 63, Allah SWT berfirman yang bermaksud :
“Ingatlah, sesungguhnya wali-wali Allah SWT itu tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati. (Iaitu) orang-orang yang beriman dan mereka selalu bertaqwa”.
Syaikh al Maraghi dalam kitab tafsirnya menyatakan bahawa sesungguhnya wali Allah adalah mereka yang melakukan ibadah dengan penuh keikhlasan dan hanya bertawakal kepada Allah SWT. Dan mereka ini tidak menagih kasih sayang selain daripada kasih sayang Allah SWT serta tidak mengharap pertolongan daripada sesuatu melainkan pertolongan Allah SWT. Mereka tidak akan dukacita pada hari akhirat seperti yang dihadapi golongan kuffar, fasik dan zalim ketika menanti balasan di akhirat.
Imam Ibnu Kathir pula dalam kitab tafsirnya, ketika menafsirkan ayat tersebut, beliau menyatakan bahawa Allah SWT memberitahu bahawa wali Allah mereka ini adalah golongan yang beriman dan bertaqwa. Dan bagi setiap orang yang bertakwa termasuk di dalam golongan yang digelar sebagai wali Allah, dan mereka ini tidak akan berdukacita iaitu dengan ganjaran pada hari akhirat dan mereka juga tidak bersedih dengan keadaan di dunia.
Para wali Allah juga merupakan golongan yang diberikan cahaya keimanan serta kehidupan mereka adalah berlandaskan kepada syariat Allah SWT. Sebaliknya, mereka yang disebutkan sebagai wali Syaitan pula adalah golongan yang dikeluarkan daripada cahaya kebenaran. Hal ini sepertimana firman Allah SWT dalam surah al Baqarah ayat 257, yang bermaksud :
“Allah Pelindung (Yang mengawal dan menolong) orang-orang yang beriman. Ia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman). Dan orang-orang yang kafir, penolong-penolong mereka ialah thaghut yang mengeluarkan mereka dari cahaya (iman) kepada kegelapan (kufur). Mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya”
Ada pun berkenaan Wali Syaitan, Allah SWT telah menyebutkan golongan yang menjadikan syaitan itu sebagai pemimpin mereka. Kerana itu kehidupan mereka berpandukan kepada kekufuran dan kemungkaran, pada masa yang sama mereka menyangka mereka berada di dalam kebenaran. Sepertimana firman Allah dalam surah al A’raf ayat 30, Allah SWT berfirman yang bermaksud :
“Kerana sesungguhnya mereka telah menjadikan syaitan-syaitan itu pemimpin-pemimpin (yang ditaati) selain Allah. Serta mereka pula menyangka, bahawa mereka berada dalam petunjuk hidayah”
Dalam firman Allah yang lain, menerusi surah al An’am ayat 121 yang bermaksud :
“Sesungguhnya syaitan itu membisikkan kepada kawan-kawannya agar mereka membantah (menghasut) kamu, dan jika kamu menuruti mereka, sesungguhnya kamu tentulah menjadi orang-orang yang musyrik”
Syaikh al Maraghi dalam kitab tafsirnya menyatakan bahawa golongan wali Syaitan dihiasi pada pandangan mereka dengan menyangkakan perkara yang mungkar dan keji itu seakan perkara kebaikan. Mereka juga menyangka diberikan petunjuk dan hidayah untuk melakukannya.
Kata Imam al Syafie yang dinukilkan dalam Tafsir Ibn Kathir, beliau menyebutkan :
“Jika kamu melihat seorang lelaki berjalan atas air atau terbang di udara, maka jangan terpedaya dengan kelebihan itu sehinggalah kamu menilai dirinya mengikut neraca al Quran dan al Sunnah”
Secara tuntasnya, kita fahami bahawa wali Allah adalah merujuk kepada sesiapa yang beriman dan bertakwa dengan melaksanakan apa yang telah disyariatkan oleh Allah Azza Wa Jalla. Ini bermaksud, wali Allah juga terikat dengan syariat Nya seperti solat, puasa dan sebagainya. Manakala wali syaitan pula adalah golongan yang melakukan kemungkaran dan kekufuran dalam keadaan mereka menyangka bahawa inilah kebenaran. Semoga Allah merahmati dan memberkati kita semua.
Ditulis oleh: Faidhi Azis