Tanggungjawab yang seringkali orang terleka dan lalai untuk laksanakan adalah tanggungjawab sebagai seorang anak. Tanggungjawab yang paling utama untuk dipikul dalam kalangan anak-anak ialah tanggungjawab seorang anak lelaki terutamanya anak sulung.

Teringat saya akan pesanan Ustaz Ahmad Dusuki iaitu beliau berpesan bahawa tugas menjaga ibu, jika sekiranya ayah sudah meninggal dunia dan yang tinggal hanya ibu sahaja maka yang perlu bertanggungjawab menjaga ibu ialah anak lelaki—sulung. Ini tugas yang utama menjaga ibu manakala selepas itu barulah anak-anak perempuan—tetapi kalau sekiranya tiada anak lelaki langsung maka ketika ini anak perempuan yang sulung bertanggungjawab untuk jaga.

Wahai anak lelaki sekalian, ingatlah! Meskipun anda telah mendirikan rumah tangga ia bukan bermakna tanggungjawab kalian terhadap ibu bapa sudah selesai ataupun sudah tamat. Syurga seorang anak itu terletak di bawah telapak kaki ibunya. Bagi anak perempuan pula setelah mendirikan rumah tangga maka syurga dan tanggungjawab utamanya akan beralih kepada suaminya—tetapi syurga dan tanggungjawab utama bagi anak lelaki tetap sama iaitu kepada ibunya sampai bila-bila walaupun kamu (anak lelaki) telah berkahwin—tidak boleh berlepas tangan meskipun sudah berkahwin. Oleh itu, laksanakanlah tugasmu dengan sebaik mungkin. 

Ketahuilah saat kamu mengalami kesempitan hidup, ibumu sanggup menggadai hartanya demi  membantu kamu kerana si ibu tidak akan lena tidur dek siang malam memikirkan anaknya yang berada dalam kesusahan.

Saat kamu sakit, ibulah yang berjaga malam demi merawatmu dan sanggup tidak makan demi menjaga anaknya sehingga sembuh—hilang selera makan seorang ibu apabila melihat anak yang dikasihinya sedang dalam kesakitan. 

Segala keinginan kamu akan cuba diturutinya kerana sayangnya seorang ibu kepada si anak. Namun, apakah saat engkau sudah dewasa dan telah mendirikan rumah tangga maka engkau mengabaikan ibu bapa di kampung begitu sahaja tanpa rasa serba salah walau sedikit ?  

Allahuakbar!  

Sedarlah bahawa kamu sebenarnya sedang mengabaikan syurgamu sendiri itu wahai anak muda. Jangan sesekali engkau menyakiti hati ibu bapa.

Allah SWT telah berfirman dalam surah al-isra’ ayat 23 yang bermaksud ;

 “dan Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai  kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan ‘Ah’ , dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)”.

Oleh sebab itu, tatkala ibu kita sudah berusia maka rebutlah peluang untuk menjaganya. Jangan kita saling tolak menolak tanggungjawab tersebut menjadikan ibu bagaikan bola yang boleh ditendang sana sini—sepatutnya tidak boleh begitu. Ambillah manfaat daripada keberkatan kehidupan ibu bapa kita yang masih hidup—banyak pahalanya, besar ganjarannya di sisi Tuhan. Jangan dibiarkan pahala tersebut berubah mengundang dosa pula.

Ingatlah bahawa pengorbanan ibu bapa tidak terhitung nilainya. Berilah layanan yang paling istimewa kepada mereka. Di hadapan kamu, ibumu mungkin boleh tersenyum lebar tetapi dibelakangmu mungkin dia menangis kesedihan apabila mengenangkan perbuatanmu yang telah melukai hatinya. Saya yakin ibu bapa hanya menginginkan yang terbaik buat anak-anak mereka yang tersayang.

Sekurang-kurangnya, kirimlah sedikit sebanyak wang hasil kerjamu itu kepada ibu bapa sebagai tanda ingatanmu terhadap mereka dan ia juga salah satu cara untuk memperoleh keberkatan. Sesekali tanyakanlah khabar mereka seandainya kamu tinggal berjauhan dengan mereka sehingga tidak punya kesempatan untuk menjenguk mereka di kampung sana. Zaman sekarang teknologi sudah canggih maka sepatutnya tiada alasan untuk tidak mengambil berat terhadap ibu bapa walau jarak yang memisahkan. 

Sejauh soal jumlah kiriman wang kepada mereka itu tidak penting kerana cukuplah andai ia memadai dengan kemampuanmu—yang pentingnya ialah keikhlasan seorang anak. Ada keberkatannya di situ. Kejarlah keberkatan tersebut dan raihlah reda Tuhan, insya-Allah hidupmu akan lebih tenang dan bahagia.

Andai tidak mampu juga untuk berbuat demikian maka jadilah kamu seorang anak yang soleh/solehah dan sering mendoakan ibu bapa kerana doa merupakan senjata mukmin—itulah yang terbaik.

 Jika ibu bapa masih hidup, maka berbaktilah sebaik mungkin dan apabila ajal menjemput mereka terlebih dahulu berbanding kita maka biarlah kita yang menguruskan jenazah mereka—seperti memandikan dan mengkafankan jenazah serta mengimamkan solat jenazah (bagi anak lelaki). Jangan sampai orang lain yang melakukannya, sungguh rugi andai ia terjadi. Tidak perlulah mengupah orang untuk melakukan segalanya sebaliknya biarlah kita yang tampil untuk menguruskannya dari A-Z.

 Sewaktu kecil, ibu bapalah yang menguruskan segalanya, adakah kamu lupa atau sengaja melupakannya? Sumbanganmu itu tidak seberapa jika hendak dibandingkan dengan segala pengorbanan mereka selama ini.

Orang kata ;

Ibu,  

Kasihnya tanpa syarat, 

Cintanya tanpa sebab, 

Sayangnya tanpa memilih, 

Kerana ibulah wanita, 

Yang tulus sentiasa,

Bersama anaknya.

Kasih ayah jangan dilupa…

Tatkala dirimu sudah menggapai sebuah kejayaan, mereka mungkin sudah tidak terdaya.

Berbaktilah kepada ibu bapa walau mereka sudah tiada. Antara ‘hadiah’ yang paling berharga buat mereka adalah dengan mendoakan mereka. 

Sabda Rasulullah SAW ;

“Apabila mati seorang manusia, terputuslah daripadanya amalannya kecuali tiga perkara—Sedekah jariah atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya atau anak yang soleh yang mendoakan baginya.” 

(HR Muslim : 1631) 

Doakan mereka jika kita benar kasihkan ibu bapa kita—tidak kira sama ada mereka masih hidup ataupun telah meninggal dunia.

Amalkanlah doa untuk ibu bapa iaitu ;

اَللَّهُمَّ اغْفِرْلَنَا ذُنُوْبَنَا وَلِوَالِدِيْنَا وَارْحَمْهُمْ كَمَا رَبَّوْنَا صِغَارًا

Maksudnya: “Ya Allah ampunilah dosa kami dan dosa kedua ibu bapa kami dan kasihilah mereka sebagaimana mereka mengasihi kami sejak kecil.”

Antara doa lain yang boleh diamalkan ; 

“Ya Allah, kurniakanlah ibu bapa ku syurga-Mu yang tertinggi iaitu Jannatul Firdaus tanpa hisab dan tanpa azab.”

Sentiasa sematkan dalam hatimu bahawa keredaan Allah SWT itu terletak pada keredaan ibu bapa.

PROFIL PENULIS :

N. Nur Nasuha berasal dari Kelantan, Malaysia. Beliau aktif berkongsi perihal agama Islam di media sosial instagram dan twitter @nasuharsl.


Hantar karya anda di emel [email protected].

Karya yang terpilih akan disiarkan di laman web Jejak Tarbiah dan mendapat baucar buku RM30!

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.