Sebelum makalah ini dilanjutkan, ingin dikongsikan tentang mengapa saya memilih sosok Usman Awang untuk diceritakan.
Pertama sekali, pembicaraan mengenai individu ini amat kurang. Sedangkan Usman Awang merupakan sosok yang amat baik untuk diwacanakan, hatta dalam penulisanpun. Baik dari segi pemikiran dalam karya-karya beliau ataupun islah yang beliau perjuangkan, watak ini perlu lebih diperkenalkan kepada masyarakat. Tidak boleh tidak diceritakan kepada generasi kedepan kerana pemikiran, akhlak dan sikap beliau sesungguhnya perlu dibincangkan dan diajarkan kepada mereka.
Kedua; walaupun ada yang mengenali Usman Awang, hanyalah sebagai seorang penyair dan pujangga penulis cereka. Adapun gelar yang tinggi sikit diberikan ialah seorang Sasterawan Negara. Tidak salah gelaran itu semua kerana beliau memang hidupnya dihabiskan kearah mengabdi kepada sastera untuk masyarakatnya. Namun, kita harus faham bahawa Usman Awang harus dilihat jauh lebih luas berbanding hanya sekadar itu. Beliau merupakan sang inspirator yang mewujudkan impian dan inspirasi dalam nadi setiap masyarakat yang hidup seiring kehidupannya, bahkan sehingga kehari ini. Tongkat Warrant (nama pena Usman Awang) juga banyak mengkritik tentang masalah-masalah yang mampir ke masyarakatnya.
Namun, mesej-mesej itu disampaikan oleh beliau melalui puisi-puisi, cerpen-cerpen dan novel-novel. Jadi, tidak salah jika beliau jauh lebih dikenal hanya sebagai seorang penulis.
25 Mei 1970, lima hari sebelum bonda saya dilahirkan, Usman Awang datang ke London untuk bertemu dengan adik-adik (mungkin anak-anak) yang belajar di Kota Big Ben itu.
Di Malaysian Hall, Usman bertemu dengan para pelajar Malaysia dan Singapura. Kini, beliau datang bukan untuk membacakan puisi musim bunga (memandangkan waktu itu musim bunga), namun beliau ingin menyampaikan nasihat-nasihat tegas kepada intelek-intelek muda ini; mereka yang akan mengemudi bahtera bangsa kelak.
Usman menamakan teks yang ditulisnya sendiri itu, “Peranan Intelektual”. Beliau yang hanya bersekolah di sekolah Melayu hingga darjah 6. Jauh sekali jika Usman ingin bandingkan dirinya dengan yang sedang ada dihadapannya, namun hanya jika perbandingan itu terhad pada portfolio semata. Hakikatnya, pemikiran dan idea-idea Usman sudah jauh berkembang, hasil tuaian beliau merentas segenap zaman ke zaman.
Dalam perkongsian itu, Usman menyenarai keluar empat ciri-ciri seorang cendekiawan.
Pertama-cendekiawan perlu sentiasa memperbaharui dengan mengolah pengetahuan dan ilmu yang ada agar sesuai dengan peredaran zaman. Perkara ini perlu untuk mengelakkannya lapuk dan ketinggalan zaman.
Kedua-cendekiawan perlu menyumbangkan pengetahuan, ilmu yang dipunyai dan idea-idea yang dikembangkan kepada masyarakat sekelilingnya. Seorang cendekiawan perlu menjadi seperti mana falsafah Habibie: menjadi mata air, memberi manfaat kepada masyarakat sekelilingnya.
Ketiga-gelaran cendekiawan patut diberikan kepada sesiapa yang menggunakan pengetahuan dan ilmunya itu untuk mencari susur galur kebenaran sesebuah permasalahan dan berusaha setengah mati untuk menegakkannya.
Keempat-cendekiawan patut menegakkan kebenaran yang diketahuinya dengan sepenuh asa yang ada walaupun tahu dengan menegakkannya, dia akan menerima tohmahan dan tekanan yang dahsyat.
Usman Awang menggariskan itu. Beliau bukan takat bercakap. Beliau sejak waktu muda sehingga zaman tuanya diangkat menjadi pejuang hak asasi dan berteman akrab dengan para pelajar. Suara beliau sudah lama menggelegak hasil jerangan suara-suara masyarakat yang tertindas oleh penjajah serta kemiskinan.
Pesan Usman Awang ini merentas era dan perubahan, tidak terhenti hanya di dalam Malaysian Hall ketika itu sahaja. Pelajar-pelajar yang sedang ada di universiti sekarang ini (ataupun yang sudah balik kampung kerana PKP), jadikan nasihat-nasihat ini sebagai pedoman untuk kita. Juga kepada pelajar-pelajar sekolah menengah, rendah mahupun tadika juga perlu faham nasihat-nasihat ini.
Usman Awang juga berpesan,
kita tidak perlu jadi pemimpin untuk merubah masyarakat. Boleh jadi, sesudah bergelar pemimpin, dilupa orang-orang di kampung. Cukup jadi mata, lidah, telinga dan tangan masyarakat kerana untuk merubah masyarakat itu bukan kerana pemimpin, melainkan keinginan masyarakat itu sendiri yang ingin berubah.
(Terima kasih kepada Dr Muhaimin Sulam atas karangan buku “Akar Bangsa: Budaya, Naratif dan Identiti” yang menjumpakan saya kepada nasihat-nasihat Usman Awang ini. Saya berharap dapat bertemu di kemudian hari).
Disediakan oleh: Naiem Zikri