Bagaimana seharusnya kita membaca buku?
Jarang sekali orang ajarkan teknik atau kaedah untuk membaca buku. Mungkin juga saya sendiri yang tidak memberikan tumpuan semasa cikgu mengajarkan kaedah tersebut di sekolah.
Ada satu ketika semasa saya di universiti, seorang pensyarah yang sangat kami segani, Dr. Syed Ahmad S.A. Al Sagoff, bertanya satu soalan, “bagaimana kalian membaca buku ya?”
Dengan satu soalan ringkas itu, kami semua terdiam. Aku sendiri bingung. Tiada siapa yang menjawab pertanyaan tersebut.
Maka fahamlah beliau, kebanyakan kami mungkin tidak tahu teknik yang baik untuk membaca sebuah buku.
“Baik. Kamu semua ada buku Law of Contract bersama kamu?” Tanya beliau.
“Kita akan gunakan buku ini sebagai contoh.”
Beliau dengan berbesar hati berkongsi dengan kami cara untuk membaca buku. Kata beliau, tidak boleh baca sahaja tanpa tahu caranya. Tips yang dikongsikan ini sesuai digunakan terutamanya untuk membaca buku bukan fiksyen.
- Baca tajuk
Baca tajuk? Ya. Perlu baca tajuk dengan penuh perhatian. Ada orang yang apabila berkongsi tentang sesuatu buku, kita tanyakan kepadanya buku apa yang dibaca, tidak tahu. Barangkali kerana tajuk tidak dibaca dengan perhatian.
- Lihat siapa penulis, penterjemah, penyusunan
Seterusnya, lihat siapa penulis buku tersebut. Sangat baik jika kita kenal serba sedikit latar belakang penulis.
Ada juga sebahagian buku yang tidak ditulis oleh penulis, tetapi diterjemah atau disusun. Maka, lihat siapa yang menerjemahkan buku itu atau siapa penyusunnya.
Bagi kalian peminat buku, saya sarankan untuk lihat juga di muka surat selepas kulit buku, siapa penerbit, penyunting, pereka letak, pembaca pruf dan lain-lain informasi tambahan.
- Isi kandungan
Selanjutnya, baca pula isi kandungannya. Dapatkan gambaran awal bagi setiap topik dan bab yang ditulis dalam buku.
- Kata pengantar
Penting untuk kita dapatkan wawasan atau latar belakang tentang buku yang ingin dibaca. Seperti kata seorang sahabat saya, di bahagian ini juga kita boleh tahu kualiti penerbit dan penerbitan buku tersebut.
- Pengenalan penulis
Seterusnya, baca dengan penuh perhatian di bahagian pengenalan buku. Kebiasaannya, para penulis akan bercerita tentang sebab buku itu ditulis. Sangat baik untuk kita faham terlebih dahulu sebelum membaca kandungan dan isi buku dengan lebih mendalam.
- Lihat indeks (sekiranya ada)
Bahagian ini jarang diberi perhatian oleh para pembaca. Kenapa perlu lihat bahagian indeks di belakang?
Indeks buku penting dilihat untuk mendapatkan gambaran keseluruhan isi buku dan mengenal pasti istilah (term) penting yang digunakan dalam penulisan buku.
- Lihat rujukan atau bibliografi
Bahagian ini penting untuk kita tahu rujukan yang menjadikan buku itu bagus. Kita juga dapat mengenal pasti kecenderungan penulis bagi sumber yang dipilih untuk dicedok.
Selepas selesai langkah-langkah di atas, anda sudah sedia untuk terjun ke dalam lautan idea dan pengetahuan penulis. Nikmatilah pembacaan yang lebih baik dengan persediaan yang cukup.
Apabila kita membaca buku seperti ini, insya-Allah lebih banyak manfaat yang dapat kita peroleh.
Selamat membaca!
Disediakan oleh,
Ajwad Shafie