Anda suka membaca, tetapi kadang-kala dihantui “kemalasan” untuk memulai bacaan atau menghabiskan bacaan semasa, mugkin kerana kesibukan aktiviti seharian atau tidak mampu memperuntukkan masa dengan baik, menjadikan anda hilang keghairahan membaca buku. Atau mungkin anda adalah seorang pemula yang baru berjinak-jinak Ingin membaca tetapi hampa kerana salah membuat pilihan genre buku yang mudah dihadam dan sesuai dengan cita rasa dan akhirnya meninggalkan bacaan tanpa mencari cara penyelesaiaan.

Banyak faktor yang menyebabkan seseorang itu dilanda situasi malas membaca, dan tidak ramai yang dapat keluar dari kemelut “kemalasan” tersebut. Mungkin ada sebahagian pembaca yang meninggalkan buku untuk satu tempoh yang lama.

Sebelum saya berkongsi beberapa tip menghindari sikap “kemalasan” ini, saya ingin membawa para pembaca memahami sesuatu, iaitu “keseronokan” dan “bercinta”. Saya rasa dua elemen ini dapat membantu para pembaca untuk terus konsisten menjadikan buku sebagai teman mesra sepanjang masa. 

Mengapa perlunya “keseronokan” dalam setiap pembacaan? 

Sebenarnya tip ini baru saya temui ketika membaca naskhah Orang-Orang Biasa karya Andrea hirata, tanpa saya sedar naskhah tersebut saya baca berulang-ulang kali dalam satu masa. Ini kerana terdapat elemen “keseronokan” yang membuai pembaca sehingga tidak jemu meski naskhah itu diulang-ulang bacaannya.

Bukankah faktor “keseronokan” juga yang membuat anda suka melakukan sesuatu perkara?

Begitu jugalah yang perlu anda lakukan ketika ingin menjadikan buku sebagai teman sepanjang masa, seperti dalam perhubungan baik dengan rakan-rakan ataupun pasangan hidup yang kadangkala ada masa bertengkar dan bermasam muka, tetapi bukankah situasi itu tidak berlanjutan kerana ada agenda pujuk memujuk? Dengan itu ketika anda dilanda “kemalasan” versi merajuk dengan buku maka segeralah mencari buku yang dapat memujuk pula. 

Bagaimana untuk “bercinta” dengan buku?

Ramai pembaca yang mencintai buku, meski rasa itu diaplikasikan dengan cara yang berbeza-beza. Tetapi mencintai tidak sama dengan “bercinta” yang ingin saya sebutkan di sini. 

“Bercinta” yang dimaksudkan ialah mencari sebuah buku yang akan membuat anda jatuh cinta, seperti mencari pasangan yang anda rasa mampu memberi perhatian dan kasih sayang, mampu bersama ketika dilanda ujian hidup dan perlukan sokongan setiap masa. Bukankah cinta itu harus di cari? Jangan berhenti mencari sebuah buku yang akan membuat anda ingin “bercinta” dengannya sepanjang waktu.

Mungkin, timbul persoalan para pembaca adakah terdapat buku yang sedemikian?

Jawapannya tentu sahaja ada. Sebagai contoh, ketika anda merasa beratnya ujian yang melanda maka carilah buku-buku motivasi yang membina, yang memberi dukungan moral walaupun lewat pena. Anda tidak perlu terkejar-kejar atau tercari-cari orang yang mampu memahami anda, sebaliknya andalah yang perlu memahami situasi diri sendiri dan bagaimana solusi terbaik untuk menghadapinya.

Mudah bukan? Berteman dengan buku tidaklah serumit atau sebosan seperti yang dimomokkan sebahagian masyarakat kita pada hari ini.

Selanjutnya berikut tip mudah yang dapat menghindari sikap malas membaca. Semoga mampu kita manfaatkan bersama. 

  1. Membeli buku baru, buku yang menarik perhatian terutamanya dari segi reka bentuk atau warna kulit buku, salah satu tarikan pembaca membaca sebuah buku adalah kerana reka bentuk kulit buku yang mempersonakan. 
  2. Bermain permainan, tahukah anda bermain permainan yang bertemakan membaca dan berfikir tentang huruf-huruf seperti aplikasi permainan Word Search, Word Riddles, perkataan berkecai dan lain-lain dapat menghilangkan “kemalasan” membaca, ini kerana minda kita dipaksa untuk mengingat huruf-huruf dan ejaan yang betul bagi menyelesaikan permainan tersebut. 
  3. Membaca buku yang sedang dibaca kepada teman ataupun pasangan, cara ini menjadikan anda lebih tenang dan seronok kerana ada interaksi dua pihak yang silih berganti mendengar dan sama-sama memberi pandangan mengenai sesebuah buku. Aktiviti ini lebih kepada luahan atau bercerita dengan santai dan bukan aktiviti membedah buku yang perlu mencatat nota atau sebagainya.

Semoga tip-tip di atas dapat membantu setiap pencinta buku yang ingin konsisten tanpa dirundum perasaan malas membaca kerana desakan kesibukan atau perkara lain yang menjadi penghalang untuk terus membaca dari semasa ke semasa.

Semoga ada manfaatnya untuk kita semua, daripada pencinta buku kepada si pencinta buku. Walau di mana pun anda berada, teruskanlah membaca!

Disediakan oleh,

Aishah Nerina

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.