Antara sifat wajib bagi rasul adalah tablīgh; yang bermaksud menyampaikan. Namun jika dilihat lebih mendalam, pengertian tablīgh adalah menyampaikan sesuatu dengan tepat agar meninggalkan kesan kepada jantung hati orang yang disampaikan. Ini seperti yang difirmankan oleh Allah ‘azza wa jalla di dalam surah an-Nisa’, pada penghujung ayat 63 yang berbunyi: 

وقل لهم في أنفسهم قولا بليغا 

Ertinya: “dan katakan kepada mereka kata-kata yang memberi kesan kepada jantung hati mereka.”

Maka begitulah sifat yang ada pada junjungan mulia kita; baginda Rasulullah SAW. lanya dapat kita temui di dalam hadis-hadis yang sahih, yang kita cicipi untaian kata-kata baginda sekaligus benarlah ianya memberi kesan kepada sanubari kita. 

Di antara kelebihan dan keunggulan nabi kita Muhammad SAW berbanding nabi-nabi terdahulu adalah baginda dikurniakan sesuatu yang disebut sebagai jawāmi’ul-kalim. Di dalam sebuah hadis sahih yang dikeluarkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim, Rasulullah SAW bersabda:

بعثت بجوامع الكلم

Ertinya: “aku telah diutuskan dengan jawāmi’ul-kalim.”

Jawāmi’ul-kalim dapat diertikan sebagai ‘kata-kata yang ringkas tapi padat maknanya’. Maka tidak hairanlah jika kita dapati kebanyakan hadis-hadis (terutama yang berstatus sahih dan hasan) mengandungi kata-kata yang ringkas namun luas pengertian dan pengajarannya. Sebagai contoh, sebuah hadis hasan yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmidzi dan Imam Ahmad, yang mana hadis ini hanya mengandungi dua belas patah perkataan namun ianya mencakupi nasihat berkaitan hubungan seseorang dengan Allah, hubungan sesama manusia, bahkan hubungan dengan diri sendiri. Hadis tersebut berbunyi:

اتق الله حيثما كنت، وأتبع السيئة الحسنة تمحها، وخالق الناس بخلق حسن.

Ertinya: “takutlah (bertaqwa) kepada Allah di mana saja kamu berada, gantikan keburukan (yang dilakukan) dengan kebaikan nescaya ia akan menghapus keburukan tadi, dan santunilah manusia dengan akhlak yang baik.”

Jika kita lihat kepada matan (teks Arab) hadis ini, kita akan dapati ianya mengandungi hanya dua belas patah perkataan. Namun, di sebaliknya ada pengajaran besar yang disampaikan oleh baginda Rasulullah SAW kepada kita, tentang peri pekerti yang seharusnya kita miliki ketika ‘berinteraksi’ dengan Allah, diri sendiri, dan juga manusia umumnya. 

Pada empat perkataan yang pertama, perintah agar bertakwa kepada Allah itulah sifat yang perlu ada di dalam diri kita demi menjaga tali hubungan kita dengan Rabbul-‘ālamīn – Tuhan Pentadbir seluruh alam. 

Pada empat perkataan yang kedua, kita digesa agar menyusulkan atau menggantikan keburukan yang kita lakukan dengan kebaikan, agar kebaikan itu memadamkan keburukan tersebut. Beginilah yang seharusnya dilakukan oleh setiap orang yang beriman. Setiap kali berbuat salah dan dosa, maka sewajarnya kita bersegera bertaubat dan meningkatkan amalan ketaatan. Ketahuilah bahawa setiap kali kita melakukan keburukan atau dosa, kita sebenarnya sedang menzalimi diri sendiri. Ini kerana setiap dosa yang dilakukan akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Setiap dosa bermaksud memberatkan timbangan (mizan) sebelah kiri kita. Maka demi menjaga hubungan dengan diri sendiri, amat patutlah kita hapuskan kesalahan kita dengan amalan kebaikan; dan istighfar itu juga salah amalan yang baik.

Pada empat perkataan terakhir, kita diperintahkan untuk menyantuni manusia lain dengan akhlak yang baik. Bahkan akhlak yang mulia juga merupakan salah satu teras di dalam agama kita. Rasulullah sendiri telah memberi tahu kepada kita bahawa baginda diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan-kemuliaan akhlak. 

Ummul-mu’minin ‘Aisyah ketika ditanya tentang akhlak baginda Nabi SAW, beliau menjawab bahawa akhlak baginda adalah al-Quran. Bahkan kita dapati bahawa banyak hadis-hadis yang menganjurkan kita agar mempunyai akhlak yang mulia.

Semoga Allah taufiqkan kepada kita jalan yang mudah bagi kita di dalam menjaga hubungan kita dengan-Nya, diri sendiri, dan juga manusia seluruhnya. Kita juga memohon kepada Allah agar dimasukkan ke dalam golongan yang terkesan sanubarinya dengan kalam-Nya dan juga kalam Rasul-Nya. Wallāhu waliyyut-taufīq.

Disediakan oleh: Nasrullah Noh


Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.