Tiada sesiapa yang suka jika berhadapan dengan situasi penolakan. Tak kira ditolak kerana cinta, tidak diterima masuk dalam sesuatu pekerjaan atau karya kita tidak diterima oleh mana-mana rumah percetakan. Keadaan itu menyebabkan hati kita patah dan kadangkala membuat kita berputus asa sehingga enggan lagi mencuba buat kali kedua dan seterusnya. 

Apabila kita meneliti perjalanan orang-orang yang berjaya dalam hidup, maka akan kita dapati bahawa mereka ini bermula dari tangga paling bawah. Bukan terus sampai ke atas puncak. Mereka akan mendaki perlahan-lahan. Ada kalamya tersungkur seketika kemudian tertatih-tatih meneruskan lagi pendakian. 

Walaupun perjalanan terasa begitu lama. Di sepanjang haluan itu pula terbentang onak dan duri yang terpaksa dilalui. Namun mereka tidak mengenal erti putus asa. Jika terjatuh, segera bangun. Lagi dan lagi. Prinsip mereka adalah tiada yang mustahil. Sesuatu yang diawali secara bertahap disertai kesabaran yang tiada batas, maka lambat laun akan membuahkan hasil. 

Oleh kerana itu, harus bagi seorang Mukmin untuk mempunyai semangat waja dalam menggapai cita-citanya. Lagi pula Allah lebih menyukai hamba-Nya yang kuat dan tidak mudah mengalah berbanding hamba yang lemah dan cepat berputus asa.  Sekiranya kita jadikan Allah sebagai pegangan kita dalam apa jua urusan, insya-Allah keputusan akhirnya pasti adalah yang terbaik. Tiada yang mustahil bagi Allah.

Sementelahan itu, terdapat segelintir individu beranggapan bahwa diri mereka tidak layak mendapat kejayaan. Kurang keyakinan terhadap diri sendiri. Selalu berfikiran negatif. Perkara ini sebenarnya langsung tidak membantu kita bergerak maju dalam kehidupan. 

Cuba kita susuri sejenak potret kehidupan Rasulullah s.a.w lebih-lebih lagi semasa era baginda menyampaikan Tauhid kepada masyarakat Arab jahiliyah. Awalnya, tiada sesiapa pun yang mempercayai baginda melainkan isterinya sahaja iaitu Khadijah r.anhu. Kendatipun demikian, baginda tidak langsung menyerah. Terasa hampa itu memang singgah sebentar di hatinya tapi berkat pesanan mutiara daripada isteri, baginda pun sekelip mata menjadi bersemangat semula meneruskan perjalanan menyampaikan wahyu dari Ilahi.

Dalam kita mahu menggapai suatu impian, kita memerlukan kata-kata motivasi daripada orang lain terutamanya daripada orang tersayang. Contoh ibu ayah, adik-beradik sendiri, sahabat ataupun pasangan kita. Apabila semangat kita mulai redup, pentingnya peranan mereka sentiasa di sisi kita mendorong kita tanpa henti untuk merealisasikan impian tersebut. 

Di samping itu, doa daripada kedua ibu bapa kita turut memberikan impak yang besar atas kejayaan kita. Doa daripada mereka adalah kunci kejayaan seorang anak. 

Seorang pendakwah dari Indonesia yang bernama Ahmad Syahrin Thoriq memberikan nasihat perihal ini. Kata beliau;

“Jika engkau menginginkan kejayaan, mulailah dengan meminta doa kedua orang tua.

Jika engkau mulai mengejarnya, mulailah dengan  berbuat baik kepada keduanya.

Jika engkau telah menggapainya dan hendak mempertahankannya, jangan pernah melupakan mereka.

Ketahuilah, tidak ada kejayaan seorang anak, yang boleh tegak tanpa reda kedua orang tuanya. Dan hampir tidak ada kemurkaan makhluk yang diiringi murka Khaliq kecuali kemarahan orang tua kepada anaknya.

عَن أَبِي بَكْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم قال : كلُّ ذنوبٍ يؤخِرُ اللهُ منها ما شاءَ إلى يومِ القيامةِ إلَّا البَغيَ، وعقوقَ الوالدَينِ، أو قطيعةَ الرَّحمِ، يُعجِلُ لصاحبِها في الدُّنيا قبلَ المَوتِ

Dari Abu Bakrah radhiyallahu anhu, Rasulullah ﷺ bersabda, “Setiap dosa akan diakhirkan (ditunda) balasannya oleh Allah ﷻ hingga hari kiamat, kecuali Al-Baghy (dzalim), durhaka kepada orang tua dan memutuskan silaturahim, Allah akan menyegerakan di dunia sebelum kematian menjemputnya.” (HR. Hakim).

Sebahagian ulama mengatakan bahwa dosa derhaka kepada orang tua adalah dosa yang bernasab, akan beranak pinak. Sehingga biasanya derhakanya seseorang kepada orang tuanya akan dibalas melalui kederhakaan anak-anaknya kelak. Wallahua’lam..”

Rumusannya, tekunilah asbab-asbab yang dapat melorongkan kita ke arah kejayaan. Selain dari doa orang tua, doa dari orang-orang soleh juga terbukti dapat melancarkan lagi perjalanan kita menuju destinasi impian. Oleh itu, perbanyakkan teman dengan para Shalihin. Impaknya sekaligus membentuk diri kita menjadi lebih baik juga. 

Seperti yang kita ketahui bahawa maksiat adalah salah satu sebab mengapa doa kita lambat di makbulkan oleh Allah atau malah tidak dimakbulkan sama sekali. Rasulullah s.a.w bersabda,

“Wahai sekalian manusia, sesungguhnya Allah itu baik. Dia tidak akan menerima sesuatu melainkan yang baik pula. Dan sesungguhnya Allah telah memerintahkan kepada orang-orang mukmin seperti yang diperintahkan-Nya kepada para Rasul. Firman-Nya, ‘Wahai para Rasul! Makanlah makanan yang baik-baik (halal) dan kerjakanlah amal soleh. Sesungguhnya Aku Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.’ Dan Allah juga berfirman, ‘Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah rezeki yang baik-baik yang telah kami rezekikan kepadamu.'” Kemudian Nabi ﷺ menceritakan tentang seorang lelaki  yang telah lama berjalan kerana jauhnya jarak yang ditempuhinya. Sehingga rambutnya kusut, masai, dan berdebu. Orang itu mengangkat tangannya ke langit seraya berdoa, “Wahai Tuhanku, wahai Tuhanku.” Padahal, makanannya dari yang haram, minumannya dari yang haram, pakaiannya dari yang haram dan segala sesuatunya dihasilkan dari yang haram, maka bagaimanakah Allah akan memperkenankan doanya?” (HR. Imam Muslim no. 1686)

Sememangnya tiada yang mustahil bagi Allah jika kita meminta sesuatu kepada-Nya. Namun begitu, semua itu ada syaratnya. Pastikan permohonan kita itu tidak melanggar batas syariat. Bukan sesuatu yang diharamkan-Nya. Kita juga wajib memelihara diri daripada sebarang kemaksiatan agar memperoleh berkat dari setiap titian langkah kita untuk mencapai sebuah cita-cita. Andaikan kita terjerumus jua ke dalam kancah maksiat, segeralah bertaubat dan memperbanyakkan istighfar. 

Wallahua’lam..

Disediakan oleh:  Shafiyyah Mei

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.