The Weight of Our Sky: Mengimbau 13 Mei 1969 Dari Kaca Mata Penghidap OCD

2

The Weight of Our Sky: Tidak Apologetik Memapar Mesej Penting daripada Peristiwa 13 Mei 1969

“Bloody politicians,” he (jay) say softly, shaking his head. “Bloody politicians and their bloody stupid rhetoric, speeches, ideologies. You ever hear anyone say words don’t matter after this, you tell them about this day, when Malay idiots and Chinese idiots decided to kill one another because they believed what the bloody politicians told them.”

The Weight of Our Sky adalah novel sulung penulisnya, Hanna Al-Kaf. Pada saya, ia karya yang bersifat ‘page turner’.

Sejak mula disebut oleh Nisah Haron melalui rencananya di Dewan Sastera Bil.9/2018, saya sudah teruja menunggu saban bulan, sehinggalah tiba hari peluncurannya pada 5 Februari.

Saya tidak pernah membaca karya Hanna al-Kaf dan jujurnya kurang mendengar nama beliau dalam dunia buku Malaysia. Tidak seperti nama-nama para penulis mapan yang lain. Mungkin kerana karya beliau ditulis dalam Bahasa inggeris dan saya pula lebih akrab dengan para penulis karya-karya berbahasa Melayu berbanding yang berbahasa Inggeris. Dari satu sudut, kita oleh nampak polarisasi penerimaan terhadap karya Malaysia dalam Bahasa inggeris dan Bahasa Melayu atas sebab musabab yang perlu mendapat perhatian lanjut. Namun, bukan isu itu yang mahu dipolemikkan dalam tulisan ini.

Kembali kepada buku terbaharu Hanna ini; Buku ini tentang apa? Ia mengisahkan seorang remaja bernama Melati atau Mel, yang terperangkap dalam kekalutan peristiwa berdarah 13 Mei, sewaktu Bersama sahabatnya, Saf, menonton di pawagam Rex. Tetapi mujur dapat berlindung di rumah Auntie Bee. Disebabkan perintah darurat, Mel terpisah lama daripada ibunya (seorang nurse). Bukan sahaja dia, malah beberapa jiran Auntie Bee, turut berlindung di rumah Auntie Bee buat sementara waktu.

Buku terbitan Salaam Reads ini merakam pengembaraan Mel yang dibantu Vincent, anak lelaki Auntiee Bee, seorang pemuda cina yang baik hati,mencari ibu Mel. Mel bukan sahaja berhadapan dengan cabaran fizikal tetapi turut bertarung dengan penyakit Obsessive Compulsive-Disorder (OCD) yang dialaminya. Pada ketika itu, kesedaran mengenai penyakit mental amat rendah, menyebabkan penyakit mental seumpama OCD itu dianggapnya sebagai ‘gangguan jin’.

Penyakit OCD atau Obsessive Compulsive Disorder adalah gangguan obsesif kompulsif. Ini merupakan kelainan psikologi yang memengaruhi fikiran dan perilaku penderitanya.  Penghidap OCD akan mengalami rasa takut yang keterlaluan yang muncul secara berterusan, menyebabkan penderita terobsesi melakukan tindakan tertentu secara berulang-ulang sebagai respon terhadap ketakutannya. Misalnya di dalam novel ini, Melati sering diganggu bayangan ibunya mati dalam keadaan mengerikan. Lalu, Melati obses melakukan apa sahaja dalam bilangan tiga untuk menghilangkan bayangan mengerikan tersebut.

Penderita OCD mungkin dapat mengabaikan fikiran buruk itu, namun hal tersebut hanya akan membuat mereka merasa cemas dan tertekan sehingga akhirnya mereka harus melakukan sesuatu untuk melepas diri daripada tekanan.

Melalui The Weight of Our Sky ini, penulis menyentuh satu topik yang genting tapi penting. Genting kerana ia menyentuh sensitiviti bangsa. Hal ini dapat dilihat melalui dialog-dialog ‘keras’ dalam The Weight of Our Sky dan sentimen yang cuba divisualkan melalui watak-watak, seperti Frankie (abang kepada Vincent), yang sangat mengesankan. Sebagai pembaca, penipu jika tiada amarah yang timbul bila membaca bait-bait dialog oleh watak seperti Frankie, tetapi ia disejukkan oleh watak-watak seperti Auntie Bee dan Vincent.

Keberadaan dua watak penyeimbang ini memberi harapan dan secara realitinya sekalipun, memang wujud di sekeliling kita. Walau bagaimanapun, disebabkan kebencian dan kegagalan berfikir secara rasional, jarang masyarakat kita mahu menjadi dan memperbanyakkan lagi individu seperti Auntie Bee, Vincent, Mala, dan Jay. Jarang juga kita berfikir tentang kesan pembentukan sikap generasi baharu seperti May (anak kecil yang diselamatkan Mel) dan Frankie hasil sikap prejudis yang generasi kita tunjukkan pada hari ini.

Boleh jadi, ia menjadi faktor mengapa penulis memilih untuk karya ini diterbitkan oleh penerbit luar, agar tidak terperangkap dengan sensitiviti tidak bertempat sehingga karya ini, boleh jadi tidak akan diterbitkan sama sekali.

Penting pula kerana ia sebuah genre novel sejarah yang masih langka di pasaran buku Malaysia dari sudut tema dan latar sejarah yang dipilih. Belum ada karya novel sejarah yang berlatar belakangkan peristiwa berdarah 13 Mei 1969. Saya pasti, ini adalah keunikan yang dimiliki oleh The Weight of Our Sky, setakat ini.

Peristiwa 13 Mei 1969 acap kali diketahui melalui buku-buku ilmiah atau separa ilmiah dan bukannya dalam bentuk fiksyen seperti The Weight of Our Sky. Oleh itu, saya berpandangan, The Weight of Our Sky adalah cubaan berani oleh penulis untuk membawa para pembaca menyelami dan merasai sendiri emosi watak-watak yang terlibat dengan peristiwa 13 Mei.

Sebagai pembaca, The Weight of Our Sky menjentik jiwa untuk melihat aspek integrase dan perpaduan antara kaum dengan lebih serius. Menurut penulis, karya beliau ini memakan masa lama dalam usaha mengumpul bahan sebelum terhasilkan karya tersebut.

Hanna Alkaf, graduan Sarjana Muda Journalisme dari Universiti Northwestern

Kata Hanna: “So I will say that many, many hours of research went to this, including wading through reams of articles both academic and non-, first-person interviews, expert advice, and more.”

Watak Melati yang bertemu dengan Auntie Bee dan Vincent yang baik hati, Jay si pembawa lori yang kelakar dan amat membantu; mencerminkan sebuah masyarakat terbanyak yang sebenarnya cintakan keamanan, perpaduan dan bencikan pergaduhan atau usaha membakar api sentimen perkauman. Individu seperti Frankie yang agresif dan membenci Melayu disebabkan pengaruh persekiran sewaktu kecil, sebenarnya mesti jadi perhatian pembaca sekalian. Pada saya, Frankie adalah watak utama selepas Melati. Perwatakannya yang agresif dan membenci itu tidak boleh disalahkan 100%. Dia bertindak sedemikian kerana pengalaman hitamnya membesar sebagai seorang kanak-kanak Cina di tempat majoriti Melayu yang sebahagian daripada mereka menunjukkan sikap ‘double standard’ pada waktu itu. Namun, sikap Frankie bukan tiket untuk menyuburkan lagi budaya bak kata pepatah: lain di muut, lain di hati.

Sikap prejudis antara kaum memang memualkan. Sebagaimana kita (pembaca) akan mual dan geram dengan sikap dan dialog Frankie dalam buku ini, begitu jugalah sebaliknya bagi Frankie. Vice versa.

Saf, sahabat baik Melati, adalah mangsa keadaan. Mangsa kepada kebebalan masyarakat yang tidak berfikir Panjang sehingga melibatkan pihak yang tiada kaitan langsung dalam perbalahan! Situasi Saf dan ayahnya, Pak Cik Adnan akan menggamit emosi pembaca.

Buku ini amat disarankan untuk dibaca oleh para pendidik. Ia wajar dijadikan bacaan wajib buat para pendidik yang mengikuti pengajian sebagai bakal seorang guru. Selain guru, buku ini wajar dibaca ibu bapa dan sesiapa sahaja yang cintakan keamanan dan mahukan kejujuran lahir dalam diri anak-anak untuk mewujudkan sebuah masyarakat Malaysia yang aman damai dengan seikhlas hati; bukan bersifat ‘talam dua muka’ atau ‘lain di mulut, lain di hati’.

Dengar kata, buku ini sedang melalui proses penterjemahan ke Bahasa Melayu. Buku ini mesti dibaca oleh kita semua – rakyat Malaysia.

Pokok merealisasikan perpaduan ialah kejujuran, ikhlas dan berkasih-sayang.

Saya akhiri ulasan saya dengan nukilan almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, Perdana Menteri Malaysia Pertama, yang almarhum muatkan dalam bukunya, 13 Mei: Sebelum dan Selepas’ (Utusan Publications & Distributors):

“Kuala Lumpur telah menjadi satu bandar yang terang dengan api kebakaran di sana sini dan dapat dilihat dengan jelas dari rumah saya yang terletak di atas bukit. Inilah satu pemandangan yang sangat menyedihkan dan saya tidak menyangka saya akan menyaksikan kejadian yang seperti itu semasa hayat saya.”

Diulas oleh: Aliff Basri*

*Seorang aktivis buku. Menyimpan ulasan-ulasan buku olehnya di teraair.wordpress.com dan juga seorang bookstagrammer di @adevotedreader. Bertugas hakiki di Perbadanan Kota Buku.

Share on facebook
Facebook
Share on google
Google+
Share on twitter
Twitter
Share on linkedin
LinkedIn
Share on pinterest
Pinterest

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *