Ketika jiwa merasa sesak dengan dunia,  

Ketika manusia-manusia mengumbar-umbar pamerkan harta dunia, 

Di sana mengumbar kereta mewah lagi merah, 

Di sini mengumbar rumah besar nan gah. 

Seolah-olah mereka berlumba-lumba siapa yang dapat memenangi darjat ‘si paling kaya’, Terkadang, jiwa kecil ini terdetik sendiri “Mengapa nasibku begini?” 

Lantas tersedar sendiri, 

Bahawa diri ini terlanjur menyalahkan takdir Ilahi. 

Takdir Allah yang Maha Kaya, Raja langit dan bumi. 

Adakah kalian biasa mendengar bahawa umat Islam itu harus kaya agar dapat merealisasikan  ibadah sedekah dengan jayanya? Membantu sesama umat Islam di dalam mahupun luar negara.  Kita harus kaya supaya umat Islam tidak dipandang hina oleh sang kafir durjana. 

Ya. 

Kebanyakan mereka menggunakan perkataan hina. Sedih sekali bukan? Andai kita  tidak berjaya menjadi jutawan, golongan fakir miskin selalu dipandang sebagai golongan yang  rendah. 

Namun, sebenarnya ada sisi sejarah Nabawi yang mengangkat golongan fakir miskin  menjadi darjat yang teratas kalau dibandingkan dengan golongan kaya. Nabi SAW bersabda, kefakiran itu sukar di dunia senang di akhirat, dan kekayaan itu  kesenangan di dunia dan kesukaran di akhirat1

Abu Laits berkata: Yakni orang kaya itu tetap tempatnya di bawah orang yang miskin  baik di syurga atau di neraka, kecuali yang selalu sedekah ke kanan kiri, muka belakang  dan sedikit sekali yang sedemikian, sebab syaitan merintangi mereka untuk bersedekah2 

Islam tidak mengajar kita agar kita harus dahulu mengumpul kekayaan dunia untuk  menambah pahala sedekah. Bahkan, apa yang telah diajarkan oleh Baginda Nabi SAW adalah, kita harus saling memberi walau kita hanya mempunyai sebiji kurma. 

Jagalah diri kalian dari neraka meskipun hanya dengan sedekah setengah biji kurma.  Barangsiapa yang tidak mendapatkannya, maka ucapkanlah perkataan yang baik.3 

Adalah salah sekiranya kita menafsirkan kejayaan dengan banyaknya jumlah nilai harta  ketika bersedekah. Walhal, ganjaran pahala sedekah itu akan lebih bernilai ketika kita sendiri  berada di dalam kesempitan. Allah SWT dan Nabi SAW lebih menyukai ibadah sedekah kita dikala sempit, berbanding sedekah di ambang kekayaan. 

Zaid bin Aslam berkata: Rasulullah SAW bersabda: Satu dirham untuk sedekah lebih  afdal dari seratus ribu. Ditanya: Bagaimana yang demikian itu Ya Rasulullah?  Jawabnya: Seorang mengeluarkan dari kekayaannya yang sangat banyak seratus ribu  dan disedekahkan dan orang lain yang mengeluarkan satu dirham dari miliknya yang  hanya dua dirham tidak ada lain, dengan senang hati, maka orang yang mengeluarkan  satu dirham lebih afdal daripada seratus ribu (yakni yang satu dirham telah  mengeluarkan 50% dari harta kekayaannya sedang yang seratus ribu hanya 1%  daripada kekayaannya)4 

Antara kelebihan lain yang Allah SWT berikan kepada golongan fakir miskin adalah  mereka yang terlebih dahulu memasuki syurga berbanding orang kaya. Hal ini adalah kerana  ringan hisabnya di akhirat kelak.

Abu Laits berkata: Ketahuilah bahawa bagi orang fakir miskin itu akan mendapat lima  kemuliaan. 1. Pahala amalnya lebih dari pahala amal orang-orang yang kaya dalam  sembahyang dan lain-lainnya. 2. Jika inginkan sesuatu dan tidak tercapai dicatat baginya  pahala. 3. Mereka lebih dahulu masuk ke syurga. 4. Hisab mereka di akhirat lebih ringan.  5. Penyesalan mereka sangat kurang, sedang orang-orang kaya ingin seperti orang fakir  di akhirat, sedang orang fakir tidak ingin seperti orang yang kaya.5 

Mungkin ada juga yang tegas dengan pendirian mereka mengatakan bahawa kita perlu  mencontohi para sahabat Nabi SAW seperti Abdurrahman bin Auf dengan mengumpulkan  kekayaan untuk agama. Namun, untuk lebih adil dalam berpendirian, kita juga harus  menghayati sejarah bagaimana keadaan rumah, pakaian, harta benda sahabat.  

Para sahabat hidup dengan sangat sederhana sehingga baju mereka ditampal banyak  kemudian dijahit. Mungkin daripada tafsiran kita hari ini, sederhananya mereka itu boleh  dikatakan miskin pada hari ini. Mana tidaknya, cuba kita memerhati di jalanan, berapa ramai  orang miskin yang susah sehinggakan menampal baju-baju mereka? Ini merupakan kisah menarik. Di dalam buku Tundukkan Hati, karya Nik Abdul Aziz  Nik Mat dan Annual Bakri Haron, diceritakan bahawa Abdurrahman bin Auf adalah  seorang yang sangat kaya pada zaman Rasulullah SAW. Suatu hari Rasulullah SAW  bersabda kepadanya, “Saudara ini adalah bakal ahli syurga. Tetapi, saudara akan masuk  ke dalam syurga dalam keadaan yang merangkak-rangkak. Ini disebabkan oleh harta  saudara yang sangat banyak itu”. Apabila AbdurRahman bin Auf mendengar sabda  Baginda, beliau terus mengeluarkan sedekah daripada harta-hartanya sehingga tidak  ada satu pun yang tinggal padanya6.

Buku Tundukkan Hati karya Nik Abdul Aziz

Tuntasnya, miskin atau kaya itu bukanlah titik ukur siapa yang paling mulia. Bahkan,  Baginda SAW amat menyantuni mereka-mereka yang fakir. Bukanlah kaya itu yang menjadi  pandangan utama di sisi Ilahi. Allah SWT tidak lain dan tidak bukan, yang dilihatNya adalah  sisi hati. 

Tidak mengapa sekiranya kita dipandang hina. Ini hanya dunia yang sementara. Rezeki  hakiki yang sebenarnya itu adalah, ketika kita menjejakkan kaki ke syurga. Itu rezeki yang  kekal abadi. Ketika itu, kita akan menyedari bahawa, menjadi miskin itu suatu rezeki.

1 Abu Laits As-Samarqandi, Tanbihul Ghafilin : Peringatan Bagi Yang Lupa (Selangor, Pustaka Jiwa Sdn Bhd,  2010) muka surat 307

2 Abu Laits As-Samarqandi, Tanbihul Ghafilin : Peringatan Bagi Yang Lupa (Selangor, Pustaka Jiwa Sdn Bhd,  2010) muka surat 305 

3 HR. Bukhari no. 1413, 3595 dan Muslim no. 1016 

4 Abu Laits As-Samarqandi, Tanbihul Ghafilin : Peringatan Bagi Yang Lupa (Selangor, Pustaka Jiwa Sdn Bhd,  2010) muka surat 311

5 Abu Laits As-Samarqandi, Tanbihul Ghafilin : Peringatan Bagi Yang Lupa (Selangor, Pustaka Jiwa Sdn Bhd,  2010) muka surat 310 

6 Nik Abdul Aziz Nik Mat, Annual Bakri Haron, Tundukkan Hati : Rahsia Keikhlasan Hidup di Dunia Fana  (Selangor, Anbakri Publika Sdn Bhd, 2008) muka surat 68.

Disediakan oleh: Karang Fulanah


Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.