Kisah percintaan antara Zainuddin dan Hayati nukilan Buya Hamka bukan suatu kisah percintaan biasa seperti cerita roman yang lain. Kisah penuh dengan pengajaran antara dua kekasih yang bermati-matian tidak direstui hanya kerana mempunyai perbezaan latar belakang dan darjat.

Suku. Keturunan. Adat.

Hayati berasal dari keturunan yang baik, berdarah Minangkabau sedangkan Zainuddin pula tidak diketahui dengan jelas asal usulnya kerana merupakan anak campuran dari dua bangsa iaitu Minang (sebelah bapa) dan Makassar (sebelah ibu). 

Zainuddin merupakan anak yatim piatu dari tanah Makasssar yang datang berhijrah ke tanah asal ayahnya (Batipuh) untuk menyambung tali silaturahim dan mempelajari hal-hal agama. Percintaan antara Zainuddin dan Hayati telah mengundang perasaan tidak senang dalam kalangan orang kampung oleh sebab asal usulnya yang tidak jelas menyebabkan dia diusir dari kampung tersebut oleh Tok Penghulu.

Sebelum diusir, Zainuddin dan Hayati telah berjanji sehidup semati disaksikan bukit-bukau dan tasik yang indah tempat mereka bertemu. Hayati memberi harapan dan berjanji taat setia akan menunggu Zainuddin buat selamanya meski waktu memamah usia mereka. Zainuddin meninggalkan kampung dan berpindah ke Padang Panjang dengan penuh harapan dari kekasihnya, Hayati.

Setelah setahun, Hayati mengirim surat kepada Zainuddin bahawa mereka akan bertemu kerana dia diundang ke acara pacuan kuda di Padang Panjang. Hayati menginap di rumah sahabatnya dan bertemu Aziz, abang kepada sahabatnya itu. Aziz jatuh cinta kepada Hayati kerana terpikat akan kecantikannya dan terus melamarnya.

Sekaligus, Hayati menerima dua pinangan pada masa yang sama iaitu dari jejaka kaya-raya berdarah tulen Minangkabau bernama Aziz dan dari jejaka yang tidak punya apa-apa malah miskin lagi dhaif, Zainuddin. Aziz merupakan anak orang ternama dan berpengaruh yang boleh memberi keuntungan terhadap suku Hayati jika mereka bernikah. Tok Penghulu dan ketua suku amat berkenan dengan Aziz. 

Klimaks dari penceritaan ini, Hayati menerima lamaran dari Aziz dan bernikah di Padang Panjang.

Zainuddin pula yang patah hati kerana lamarannya ditolak, kini seperti mayat hidup di atas katil berbulan lamanya. Jiwa dan batinnya tergoncang setelah kehilangan cinta matinya, Hayati. 

Dinasihatkan oleh sahabatnya Abang Muluk:

“Jangan jatuh dan rosak binasa disebabkan perempuan. Cinta bukan melemahkan semangat tetapi membangkitkan semangat. Ramai orang hebat yang gagal dalam percintaan sehingga mereka berada di atas puncak tinggi dan perempuan yang mengkhianati mereka perlu mendongak untuk memandangnya dari bawah”.

Terkesan dengan kata-kata Abang Muluk, Zainuddin berkata “Semua yang dikatakan Abang Muluk benar belaka. Saya akan membaiki cara pemikiran saya. Saya tidak akan terus disini kerana tanah ini mengingatkan saya tentang masa silam saya”. Zainuddin membuat keputusan untuk bangkit dari kejatuhannya dan berpindah ke Batavia, Pulau Jawa. Abang Muluk ikut berpindah bersama Zainuddin.

Zainuddin menjadi orang terkenal di Batavia setelah berjaya menulis sebuah buku mengenai dirinya yang terusir berjudul ‘Teroesir’ dengan nama samaran Z. Ramai yang terkesan dan menangis setelah membaca kisah yang dibukukan olehnya. Zainuddin kini mendapat tawaran untuk mengurus syarikat surat khabar yang terbengkalai di Surabaya dan menetap di sana.

Sementara itu, harta yang mewah sememangnya tidak menjanjikan kebahagiaan buat Hayati dan Aziz. Hayati sering dihina oleh Aziz kerana cara kampungnya dan Aziz pula masih suka berfoya-foya dengan orang Inggeris hingga pulang ke rumah lewat malam seperti tabiatnya pada zaman bujang dahulu. 

Di kota yang sama, Zainuddin, Hayati, dan Aziz bertemu semula di pentas opera ‘Teroesir’ yang diadakan oleh Zainuddin sendiri sekaligus memperkenalkan dirinya (menggunakan nama Shabir) kepada persatuan anak Sumatera di Surabaya. Mereka saling menyapa antara satu sama lain.

Setelah itu, Aziz jatuh muflis dan mempunyai sakit yang parah. Hidup Hayati dan Aziz menjadi susah dan dikelilingi dengan hutang hingga terpaksa menumpang di rumah agam Zainuddin. Zainuddin tampil berjaya dan sukses tetapi dalam hatinya tetap pada Hayati. Sebuah potret wajah Hayati berserta ukiran ‘Permataku yang Hilang’ tersimpan kemas di dalam bilik pejabatnya.

Dek kerana perasaan malu yang menyelubungi Aziz menumpang di rumah Zainuddin selama sebulan lamanya nekad meninggalkan Hayati dan tidak pulang-pulang kembali untuk mengambil Hayati. Hanya sepucuk surat yang dikirim selepas itu yang menyatakan bahawa dia melepaskan Hayati dengan talak satu.

Lantas, Hayati seperti tidak bersalah yang dulunya memungkiri janji terhadap Zainuddin kini meminta Zainuddin menerimanya kembali. Zainuddin tetap dengan pendiriannya,

“Kau hancurkan harapanku. Kau memilih jejaka yang kaya raya dan terhormat. Kau juga kata bahawa pernikahan itu bukan suatu paksaan tetapi kerelaan hatimu. Kau kata kita sama-sama miskin dan kita tidak boleh hidup tanpa wang. Jadi kau memilih hidup yang lebih senang. Aku tidak akan mengambil bekas orang. Pulanglah ke kampung mu yang berketurunan baik yang penuh dengan adat hingga tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas”.

Hayati akur dan dihantar pulang ke kampungnya menaiki kapal besar dikenali ‘Kapal Van Der Wijck’ dari Surabaya ke Padang oleh Zainuddin tetapi malangnya di situlah berakhirnya kisah percintaan antara Zainuddin dan Hayati apabila kapal yang dinaikinya tenggelam di lautan dan meragut nyawa Hayati.

Zainuddin sekali lagi remuk hatinya kerana tidak sesaat pun cintanya berkurang pada Hayati selama ini. Zainuddin jatuh pengsan menangisi pemergian Hayati.

Penghujungnya, Zainuddin membuat keputusan untuk bangkit sekali lagi dari kejatuhannya dan tegas akan bangkit berkali-kali lagi andai dia jatuh lagi.

“Kejatuhan kita bukan permulaan bagi kesedihan kita, sebaliknya permulaan bagi kebangkitan kita. Jangan sekali-kali biarkan sedih dan duka mengawal diri kita.”

Kesimpulannya, percintaan tidak merosakkan seseorang andai diri tetap mempunyai asas untuk bangkit dan bangkit lagi. Seberat apa pun kejatuhan yang dirasai pasti beroleh kemenangan di akhirnya andai mempunyai tekad dan semangat di dalam diri.

 

Disediakan oleh,

Nur Nadia Nadirah binti Yusuf

Pelajar lepasan ijazah sarjana muda Kejuruteraan Pembuatan


Hantar karya anda di emel [email protected].

Karya yang terpilih akan disiarkan di laman web Jejak Tarbiah dan mendapat baucar buku RM30!

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.