Wahai, Sabariah! 

Ternyata kisahmu bersama Si Pulai ternoktah dengan satu peristiwa yang tidak disangkakan pengakhirannya begitu. Sama sekali tidak menjangkakan pengakhiran novel Buya Hamka ditamatkan dengan kejadian yang benar-benar meninggalkan kesan, terkedu dan tercengang dibuatnya.

Dari kejauhan Si Pulai bertawakal kepada Yang Maha Esa, jauh dia merantau mencari rezeki buat keluarga di kampung halaman. Dari kejauhan juga Si Sabariah sabar menanti kepulangan suaminya. Namun, rumah tangga mereka diuji dengan ujian daripada ahli keluarga mereka sendiri. 

Satu tema baharu yang terdapat di dalam karya Buya ini adalah ujian dalam berumah tangga. Dalam hidup ini, manusia tidak lari daripada kerencaman masalah. Namun, yang membezakan kita dengan kebiasaan adalah cara kita menghadapi masalah itu dengan penuh sabar. 

Dan sungguh akan Kami uji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang bersabar.

(al-Baqarah:155)

Tinggi sungguh nilai kesabaran Pulai dan Sabariah. Hidup mereka tidak mewah seperti anak dagang lain yang membawa hasil yang banyak selepas balik merantau. Tidak seperti Pulai, sudah beberapa bulan tidak membawa hasil, tidak juga pulang beraya, malah ibu mentuanya sudah mula berasa ragu-ragu akan sang menantu.

Hasrat si ibu mahu melihat anak perempuannya berkahwin dengan si kaya, namun bukankah ikatan antara Pulai dan Sabariah itu sudah disemai dengan keikhlasan daripada kedua-duanya? 

Benarlah, dalam perkahwinan ini menuntut hubungan murni antara kesemua pihak iaitu mentua, anak, menantu dan sanak saudara. Bukan tugas kita untuk menentukan rezeki keluarga atau orang lain. Kadang-kadang, kita terlupa bahawa kita hanya mampu merancang tetapi Allah Yang Maha Hebat merancang dan menentukan rezeki setiap hamba-Nya dengan syarat kita perlu berusaha. 

Berusahalah dalam mengejar redha Allah s.w.t, maka yang baik-baik akan datang daripada Allah s.w.t. Dalam mengecapi nikmat, pastinya Allah akan menguji untuk mengangkat darjat seseorang agar sentiasa bergantung kepada-Nya dalam segala hal.

Tawakal Si Pulai dalam mencari rezeki, kesabaran si Sabariah yang tetap menanti, hanya Allah s.w.t yang benar-benar mengetahui seberapa tinggi darjat mereka, walaupun hidup tidak mempunyai rumah besar atau pakaian serba mewah.

Orang tamak selalu rugi. Bukan sekadar omongan kosong tetapi rugilah ia di dunia ini kerana hidup penuh dengan ketidakcukupan, pembohongan dan sandiwara semata-mata ingin memenuhi kelaparan harta dunia. 

Dan ketahuilah, bahawa harta dan anak-anak itu hanyalah sebagai ujian dan sesungguhnya di sisi Allah-lah pahala yang besar.

(al-Anfal:28)

Disediakan oleh,

Jiha Jahari

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.