Novel “Ranjau Sepanjang Jalan” ini telah membuka mata saya terhadap susah senang, turun naik, perit jerih yang dihadapi oleh para pesawah dalam berbudi kepada tanah. Setiap gerak tangan, kaki pesawah ketika mengerjakan relung sawah mereka itu diceritakan secara terperinci dan penuh perasaan oleh Sasterawan Negara kita, Shahnon Ahmad.
Mahalnya pengalaman dan ilmu pengetahuan sasterawan terulung ini sehingga mampu memberikan pengalaman yang sebenar kepada pembaca. Contohnya, mampu mencetuskan rasa ngeri tatkala ular tedung mengembangkan kepalanya, menghadirkan rasa sakit di kaki pabila kaki Lahuma terpijak duri yang tajam, menerbitkan rasa sedih tatkala Sanah dan adik-adiknya ditimpa ujian bertubi-tubi serta banyak kisah lain yang turut menggugah emosi seorang manusia biasa.
Pengajaran terbesar dan memberi kesan kepada saya adalah tabahnya, tawakalnya Lahuma, Jeha dan anak-anak mereka yang sudahlah dihimpit dengan kemiskinan, serba-serbi kekurangan tetapi masih utuh meneruskan perjuangan untuk hidup dengan berpaksikan janji Allah Azza Wa Jalla.
Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. (at-Talaq: 3)
Jika kita bertawakal kepada Allah, maka kita akan merasa cukup, tenang dan berpuas hati dengan rezeki, pemberian dan nikmat yang Allah berikan kepada kita sehari-hari. Tiada rasa gundah, resah gelisah serta serabut dengan kemungkinan akan datang; malah hati menjadi semakin tenang dan reda dengan pemberian Allah SWT.
Daripada Umar bin Al-Khattab RA berkata, Rasulullah SAW bersabda:
“Jika sekiranya kamu bersungguh-sungguh bertawakal kepada Allah, nescaya Allah memberi rezeki kepada kamu seperti rezeki seekor burung yang keluar di waktu pagi dengan perut kosong dan pulang di waktu petang dengan perut terisi penuh kenyang.”
Lihat sajalah burung-burung yang terbang di angkasa. Pagi lagi mereka sudah terbang mencari makan, mencari tempat berteduh. Adakah mereka tahu bahawa apa jenis rezeki yang mereka akan dapat pada hari itu? Tidak sama sekali. Adakah mereka menunggu saja cacing serangga muncul di hadapan paruh mereka untuk terus dipatuk? Tentu saja tidak sama sekali!
Inilah ketabahan yang kita perlu pelajari daripada si burung yang penuh bertawakal kepada Allah SWT, tidak takut menghadapi hari yang mendatang tetapi keluar berusaha mencari rezeki dan yakin bahawa ada rezeki untuk mereka tidak kira banyak atau sikit, besar atau kecil. Mereka yakin bahawa apabila keluar dari sarang, rezeki tetap ada.
Seperti itu jugalah iman Lahuma dan Jeha, walau dihimpit kemiskinan, mereka tetap berusaha mencari rezeki Allah yang luas melata. Tawakal kepada Allah mesti didahulukan dengan usaha dan ikhtiar. Bukan semata-mata menyerahkan kepada Allah tanpa usaha dan ikhtiar.
Ada rezeki untuk mereka, adalah. Jika tidak ada rezeki untuk mereka, maka mereka sudah menerima takdir itu dengan redha dan hati yang tenang kerana awal-awal lagi mereka sudah menyerahkan segalanya kepada Allah Azza Wa Jalla. Jiwa yang tenang bukanlah dengan mempunyai berbukit-bukit hartanya tetapi merasa cukup dengan kurniaan Allah SWT kepadanya.
Penulis: Jiha Jahari