Apakah telah turun hujan di tanahmu yang telah sekian lama kering? Lalu menumbuhkan benih yang kau semai semalam. Atau apakah sudah mengalir air sungai ditepi rumahmu yang disekat oleh longgokan kayu-kayu hasil jarahan tangan durjana? Lalu membawa pergi segala lumpur dan kerikil-kerikil tajam. Dan aku juga tertanya akan anak pokok pine yang kau beli dengan harga yang agak mahal! Apakah sudah kau siram agar ia membesar dengan cepat lalu meneduhkan halaman rumah yang kau sering keluh kesahkan semakin panas? 

Mungkin kau masih setiap hari bangun dengan impian untuk menjadi perempuan pertama di desamu yang memegang sepanduk dengan ayat-ayat benci dan marah kepada kerakusan manusia dan mesin pemusnah mereka. Menjarah perbukitan sehingga yang tinggal hanyalah kemarahan alam yang menunggu masa untuk ditumpahkan. Kau benci melihat tanah jingga yang dahulunya tersembunyi di sebalik malarnya kehijauan pokok-pokok telah tersembul dengan warnanya yang garang. 

Apa kau masih dapat melihat dirimu yang berlari-lari di setiap perbatasan sawah padi, mencuba menangkap sang kupu-kupu dengan tangan kecilmu? Yang kini bendang itu telah kontang airnya, tiada yang sudi mengerjakan. Entah apa lagi yang akan tinggal untuk anak-anak kita yang lahir kemudian. Dapatkah mereka membayangkan seperti apa nikmat berteduh di bawah pohon rendang, merasakan nyamannya angin bertiup yang membelai pipi. Rasanya seperti tangan ibu yang mendakap dengan hangat dan mesra. Tidak akan pernah sama damainya dengan rasa sejuk tidur dibawah penghawa dingin. 

Aku melihat akan semua keresahan yang kau nyatakan dalam kiriman suratmu tiga bulan yang sudah. Kesihatanku terganggu beberapa bulan lalu. Aku dijangkiti wabak yang semakin mengganas di kota ini sehingga aku lupa untuk mengirim kembali balasan untuk suratmu. Maafkan aku kerana membuat engkau tertunggu-tunggu. Semoga saja surat ini selamat merentasi laut China Selatan dan sampai ke tanganmu sepantas kilauan kilat menyambar.

Membaca surat yang kau kirimkan, yang ku dengar adalah suaramu dengan seribu satu nada. Ku amati ada bekas titisan air pada sebuah helaian surat. Apakah kau menangis ketika menulis itu? Pastilah, kerana engkau perempuan yang berjiwa sutera, lembut dan halus keadaan hatimu. Tidak akan terdaya kau menahan air mata saat mengenangkan anak-anak kecil yang kau lihat  sedang tidur di kaki lima, berselimut kedinginan dan berbantal lantai simen yang keras. 

Pertanyaan demi pertanyaan yang kau lontarkan tentang keberadaan ibu dan ayah mereka serta mengapa tiada yang sudi menghulurkan bantuan hatta seulas senyuman saat melintasi mereka di waktu siang dan malam, sungguh malang kerana aku juga tidak ada jawapan itu. Apakah telah kau santuni mereka, lalu kau titipkan doa dengan ikhlas? Aku yakin kau telah melakukan itu. 

Sepertinya mereka mengingatkan engkau akan dirimu sebagai seorang anak yang tumbuh dewasa tanpa perhatian seorang lelaki dengan panggilan ayah, bapa, abah, abi atau apa sahaja gelarannya. Kehilangan watak pelindung yang tidak mengisi sepanjang hayatmu hampir sahaja menjadikan engkau perempuan yang gopoh dan tergesa-gesa  menerima tiap huluran kasih sayang dari lelaki, hanya kerana engkau tidak pernah merasakannya sejak usia dini. 

Usahlah lagi mengkhuatirkan dirimu kerana aku melihat engkau telah tumbuh dan berkembang dengan peribadi yang baik kerana asuhan dari sosok wanita mulia, ibumu yang tidak akan pernah menolak dan menyisihkanmu. Tumbuhlah dengan indah, duhai perempuan yang terluka!

Helaian terakhir suratmu sedikit kasar dan keras. Tetapi aku menyukainya. Engkau, perempuan yang tidak hidup di bawah tempurung sendiri. Masih melihat dan memperhatikan kelompok manusia-manusia yang hidup dalam lingkungan politik, masih mahu bersolidariti bersama-sama untuk memilih peribadi yang engkau yakini sebagai pemimpin. Yang diangkat diri mereka sebagai orang jujur oleh masyarakat, namun serakah perlahan-lahan membaham sampai habis prinsip dan nurani mereka. Ada yang tidak lagi menjadi wakil kepada orang-orang tertindas, sebaliknya menjadi seperti binatang buas yang saling berebut mangsa dan melahap dengan rakus setiap bahagian yang didapati.

Wajar sahaja engkau marah ketika menulis tentang mereka, menekan mata pen sehingga hampir menembusi helaian suratmu. Kita telah meletakkan manusia tertentu di puncak kuasa bersama mimpi agar keperitan dan penderitaan rakyat akan menjadi taruhannya, namun tiada siapa dapat menyangka, kerana takhta mata di dalam telah buta dan raga telah binasa. Aku juga disini merasa marah.

Kota kami baru-baru ini telah mengangkat seorang wakil penguasa baharu menggantikan penguasa lama yang melepas jawatan. Apakah ada yang salah jika warga memintanya melepaskan diri dari kuasa? Kerana aku juga melihat dia tidak berupaya meredakan resah warga kota tentang wabak yang semakin menular seperti angin kencang. Aku fikir, ia wajar untuk dilakukan.

Bersama surat ini aku titipkan buku-buku cerita untuk anak-anak desamu yang engkau temui tiga kali setiap minggu. Manjakanlah mereka dengan ilmu-ilmu yang mengembangkan diri sehingga mereka mampu melepaskan diri daripada cengkaman kelompok sesama sahaja, sehingga mereka tahu bahawa dunia ini luas meskipun belum mampu untuk menjelajah setiap ceruk dunia. 

Sampaikan pesanku agar muliakan diri mereka dengan membaca namun jangan sampai merasa diri lebih besar daripada yang lain. Orang-orang yang membaca tidak mahu disebut sebagai orang hebat kerana mereka tahu membaca adalah jalan pencerahan untuk ketidaktahuan sendiri dan cara berbahagi kepada manusia lain. Bacalah buku apa sahaja dan usah takut dengan penilaian manusia lain. 

Kualiti buku yang dibaca tidak akan pernah dapat diukur dengan selera sendiri. Engkau yang disana, semoga menjadi perempuan yang waja dan kuat menopang beban hidup. Tidak selalunya engkau perlu kuat kerana terlalu takut terlihat lemah. Usah merasa bimbang akan tersakiti oleh sesiapa pun kerana hidup yang tidak disakiti bukanlah hidup melainkan fantasi yang tidak akan pernah wujud dan perlahan-lahanlah menghargai dirimu. Akan ku kirim doa kepada Tuhan agar engkau menjadi purnama penuh dengan cahaya utuh yang dapat menerangi setiap sudut bumi. 

Aku menunggu suratmu yang seterusnya.

HF

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.