Apa khabar dirimu sekarang? Apa khabar hatimu? Dan apa khabar imanmu? Teringat aku akan gusar hatimu yang dahulu, resah dan gelisah memikirkan tentang engkau sekarang.
Bagaimana liku-liku perjalananmu sekarang? Dulu hatimu tidak tenang memikirkan keadaan diri sendiri setiap hari. Dulu engkau selalu takut dan tidak berani meluahkan perasaan di benak hatimu seperti ada sesuatu yang tertanam di dalam hati yang tidak dapat dikeluarkan. Adakah engkau sudah mencapainya sekarang? Aku harap engkau sudah mencapai hasrat dan kehendakmu itu.
Dulu engkau selalu meluahkan kepadaku, bimbang tentang kesedihan dan kesunyiaanmu. Ketiadaan ibu dan ayah menyebabkan engkau berasa sunyi tanpa kata-kata dan doa mereka. Tambahan dalam usia yang semakin meningkat, engkau berasa jauh dengan yang lain kerana komitmen masing-masing.
Dulu engkau terlalu takut dengan masa depan. Kata engkau, apakah yang akan terjadi kepada keluargamu, kerjamu dan soal jodohmu. Oh, aku berharap semoga engkau bahagia jika engkau sudah menemui jodohmu. Katamu, jodohmu itu harus seorang yang beriman supaya boleh berjalan ke syurga bersama. Oleh itu, aku selalu mendoakan semoga hasratmu itu tercapai.
Dulu engkau selalu berdoa supaya dimudahkan urusan dunia tanpa perlu keluh kesah dan juga urusan akhiratmu supaya boleh bertemu kembali ibu dan ayah di syurga. Aku yakin Tuhan akan makbulkan doamu itu.
Akhir kata, aku berharap engkau akan terus optimis dan positif dengan kehidupanmu sekarang. Walaupun engkau masih bersendirian, Tuhan tetap ada untuk mendengar isi hatimu. Redha dan tawakal walau apa jua keadaan mu. Serahkan segalanya kepada Tuhan.
Aku menyusul dulu. Semoga ada kesempatan untuk aku mengutuskan lagi surat kepadamu kelak. InsyaAllah.
Salam sayang dari ‘masa lampaumu’.
Ditulis oleh,
Nurjamilah abdul hamid