Ramai yang bertanya adakah aktiviti membaca ini sebagai satu hobi ataupun rutin harian yang wajib dilakukan. Menjadi seorang yang gemar membaca tidaklah serumit yang disangka, seperti yang sering kita dengarkan desas desus mengenainya.
Untuk anda yang baru berjinak-jinak dengan buku dan aktiviti membaca, mulailah terlebih dahulu dengan membaca akhbar atau blog yang terdapat di media sosial, seperti artikel atau ulasan buku atau ulasan filem bagi memberi dorongan kepada diri, cuba membaca penulisan ringkas yang mengambil masa sekitar 10 minit atau kurang dari itu.
Langkah seterusnya, membaca buku fizikal yang tidak tebal halamannya, agar anda tidak rasa tertekan menghabiskan bacaan, langkah ini sebenarnya penting untuk membina persepsi dalam diri bahawa membaca tidaklah serumit yang difikirkan. Proses awal ini memberi galakan kepada diri sendiri sebelum menjadikan aktiviti membaca buku sebagai rutin harian.
Antara faktor yang dapat menggalakkan diri membaca adalah pergi ke tempat-tempat yang mesra buku, seperti perpustakaan, kafe buku, kedai buku dan berkawan dengan orang-orang yang gemar berkongsi tentang buku. Boleh memulakan carian di media sosial, antara tempat yang banyak digunakan oleh para pencinta buku untuk berkongsi panduan, berbual tentang buku dan menjadi inspirasi buat siapa saja untuk berdampingan dengan buku.
Pengalaman saya sendiri apabila ada teman-teman laman sosial yang baru berkenalan, topik yang selalu mereka tanyakan, bagaimana mengenal pasti buku yang sesuai untuk mereka dan bagaimana ingin konsisten menghabiskan bacaan.
Panduan yang selalu saya berikan adalah, cuba baca buku-buku yang ringan, seperti buku-buku motivasi, puisi, qoutes atau self healing. Elakkan bahan bacaan yang agak berat pada fasa permulaan ini, agar tidak dirundung reader block, ini kerana bacaan yang sukar dihadam dan difahami akan membuatkan anda malas untuk membaca, apalagi menghabiskan bacaan. Jika anda merasakan buku itu kurang sesuai dengan keadaan jiwa anda pada masa itu, maka tinggalkanlah dan jangan paksa diri menghabiskan bacaan tersebut.
Pemilihan buku yang tepat pada suatu masa dan keadaan sangat menggalakkan seseorang itu untuk terus membaca, pada fasa ini, anda tidak perlu tergesa-gesa menghabiskan bacaan sebaliknya membacalah mengikut keselesaan. Ingat, membaca bukanlah satu perlumbaan, santai saja dan nikmatilah sepuasnya.
Anda ingin mula membaca?
Carilah buku-buku yang mampu mengubah persepsi anda, tidak ia berkenaan membaca atau tentang melihat sisi berbeza tentang suatu perkara, ataupun tentang kehidupan dunia seluruhnya.
Sudilah menjadi orang yang gemar membaca, dan biarkan senaskhah buku mengubah peribadi anda menjadi manusia yang lebih baik dalam kehidupan bermasyarakat, lebih-lebih lagi menjadi hamba yang taat kepada perintah-Nya.
Disediakan oleh: Aishah Nerina