Tiada siapa yang meminta ujian yang cukup berat ini hadir dalam hidup. Apatah lagi dengan penyakit yang menjadi stigma dalam masyarakat. Malangnya stigma ini turut wujud di kalangan pengawai kesihatan sendiri. Aku masih ingat ketika aku menangis seperti anak kecil di hadapan seorang doktor.

Dia memandang aku dengan pandangan simpati namun kata-kata yang terbit dari bibirnya itu membunuh harapan aku. Katanya, hidup ini penuh ujian, bersabar sahajalah menghadapinya, orang lain mempunyai masalah yang lebih teruk jika ingin dibandingkan dengan kamu. 

Tolong!

Jika ada sesiapa yang mengadu mengenai masalah yang dihadapinya, anda tidak perlu untuk membandingkan masalah tersebut dengan masalah orang lain yang lebih besar. Hidup ini bukan perlumbaan untuk membandingkan ujian hidup siapa yang lebih teruk.

Mereka yang sedang menghadapi kecelaruan mental ini sukar untuk melihat sesuatu isu dan masalah itu secara objektif. Mereka hanya memerlukan anda sebagai pendengar. Anda tidak perlu membalas, cukup hanya berada di situ dan berkata bahawa anda ada untuk kami.

Aku merahsiakan penyakit mental aku ini daripada pengetahuan majikanku kerana aku bimbang stigma yang hadir bersamanya. Aku bimbang aku akan dihakimi kerana penyakitku ini. Aku cuba untuk berkongsi dengan rakan sekerja aku namun aku cukup kecewa dengan reaksi mereka.

Katanya aku perlu dekatkan diri dengan Tuhan dan sentiasa berdoa, kuatkan diri menghadapi kemurungan aku itu. Tiada salah dengan kata-kata itu tetapi melalui nada dan suaranya seolah-olah aku ini tidak tahu bersyukur, hidup jauh daripada Tuhan.

Aku pernah terfikir untuk menamatkan riwayat sendiri. Aku dapat membayangkan aku mencederakan diriku sendiri namun aku sangat bersyukur kerana Allah menghadirkan rasa takut dalam diriku untuk berhadapan dengan kematian. Aku bersyukur kerana aku tidak bertindak sedemikian.

Orang yang paling hendak mati adalah orang yang paling hendak hidup.

Aku ingin mati bukan kerana aku bencikan kehidupan tetapi aku ingin hidup. Aku ingin merasa kembali bagaimana indahnya kehidupan. Bagi pesakit kemurungan seperti aku, kematian hanyalah jalan terakhir kerana kami sudah tidak punya harapan dalam hidup ini. Kami sudah tidak mampu merasa apa-apa lagi.

Aku tetap bersyukur kerana mempunyai ahli keluarga dan sahabat yang memahami. Mereka selalu ada untuk cuba menarik tangan aku daripada kegelapan yang menyelubungi hidup aku. Walaupun mereka tidak mampu menarikku, mereka akan sentiasa ada di sisi sehingga aku melangkah keluar daripada kegelapan itu.

Penyakit mental ini adalah sejenis penyakit. Penyakit kemurungan bukan dibuat-buat atau diadakan dengan sengaja tetapi penyakit yang memerlukan rawatan dan bantuan.

Bayangkan jika anda mengadu mengenai masalah kencing manis lalu ahli keluarga atau sahabat mengatakan bahawa ia hanyalah dalam fikiran, jangan difikirkan sangat mengenai penyakit itu. Bayangkan jika anda berkata begitu dan membiarkan si pesakit itu tidak diberi rawatan kerana itu semua hanyalah di dalam kepala mereka. Anda telah membahayakan nyawa si pesakit! Bayangkan jika anda buat perkara yang sama mengenai pesakit mental?

Penyakit mental ini juga bukan bermakna seseorang itu gila! Terdapat pelbagai jenis penyakit mental yang ada dan setiapnya berbeza. Anda tidak boleh memukul rata dan mengatakan bahawa mereka yang mempunyai penyakit mental ini lemah iman atau gila.

Lupakah anda bahawa segala sesuatu yang ada di atas muka bumi ini adalah daripada Allah. Lupakah anda bahawa Allah juga yang mencipta penyakit ini sebagai ujian? Lupakah anda dengan kisah Nabi Yaakub a.s yang menangis kesedihan hingga hilang upaya melihat kerana terlalu sedih dan rindukan Nabi Yusuf a.s. Apakah Nabi Yaakub a.s tidak beriman?

Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud:

“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: ‘Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya, Kami menguji orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahui-Nya orang yang berdusta.’” (Surah al-Ankabut, ayat 2-3).

Buat mereka yang mempunyai masalah kesihatan mental, ujian ini hadir tanda Allah menyayangi kita dan inginkan kebaikan untuk kita.

“Tidaklah seorang Muslim yang ditimpa suatu penyakit dan keletihan, kegusaran dan kesedihan, gangguan dan kesusahan, bahkan duri yang melukainya melainkan Allah SWT akan menghapus kesalahan-kesalahannya.” (Hadith riwayat al-Bukhari).

Berpegang teguhlah dengan hadis ini kerana inilah yang akan memandu kita dalam menghadapi ujian ini. Allah mencintaimu selagi kamu bersabar dan syurga untuk orang yang bersabar!

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.