Ketika saya masih belajar di peringkat sarjana muda dalam pertengahan tempoh pengajian, ibu saya memujuk supaya meletakkan nama saya bersama seorang saudara ke dalam pinjaman perniagaan daripada sebuah institusi bernama Majlis Amanah Rakyat (MARA). Tujuannya ialah untuk membantu beliau mudah mendapat kelulusan pinjaman tersebut bagi menjadikannya sebagai modal memulakan perniagaan sendiri setelah pencen sebagai penjawat awam.
Pada ketika itu, saya agak naif dan kurang arif akan selok-belok kehidupan. Disebabkan pujukan ibu dan juga saudara itu merupakan bekas penjawat awam yang agak tinggi kedudukannya, saya beranggapan perniagaan tersebut akan berjalan lancar sahaja. Sepanjang saya di universiti dan habis belajar, operasi syarikat tersebut langsung tidak dikongsi kepada saya. Namun, setelah dua tahun bekerja, pada satu malam saya tidak boleh mengeluarkan wang daripada akaun bank saya. Diringkaskan cerita, setelah menemui pegawai bank, barulah saya mendapat tahu bahawa tindakan sivil kebankrapan telah dikenakan terhadap saya.
Rupa-rupanya operasi perniagaan itu telah beberapa ketika mula bermasalah disebabkan tidak mahir menguruskannya. Segala surat yang sepatutnya dialamatkan kepada saya tidak pernah saya dapat, kerana saudara tersebut mungkin takut atau segan untuk bercerita dan berhadapan.
Jadi, begitulah rumusan bagaimana tindakan sivil bankrap dikenakan kepada saya walaupun segala hutang pelajaran telah saya berjaya lunaskan, label tersebut tidak boleh dibuang melainkan dengan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada. Selain itu, wang pinjaman perniagaan itu pun tidak pernah saya gunakan sama sekali kerana yang membelanjakannya adalah saudara saya.
Dalam buku tulisan Puan Ainon bertajuk Memulakan Bisnes Sendiri, ada satu bahagian yang berkait rapat dengan pengalaman saya. Apabila penulis menceritakan tentang seorang bekas pegawai kerajaan yang membuat perniagaan sendiri setelah pencen. Namun, individu tersebut lebih mengutamakan ubah suai pejabat berbanding banyak lagi operasi syarikat yang perlukan wang. Akhirnya, kebanyakan modal habis pada ubah suai pejabat dan perniagaan tidak dapat diteruskan kerana kekangan duit. Puan Ainon mengulas bahawa bekas pegawai kerajaan tersebut terbiasa duduk dalam pejabat mewah siap diberikan pembantu peribadi. Beliau juga menyangka bahawa pelanggan yang selama ini berurusan dengannya akan datang berurusan dengan syarikat yang baru sedangkan mereka sebenarnya berminat berurusan dengan pihak kerajaan, bukan perseorangan.
قَالَتْ اِحْدٰىهُمَا يٰٓاَبَتِ اسْتَأْجِرْهُ ۖاِنَّ خَيْرَ مَنِ اسْتَأْجَرْتَ الْقَوِيُّ الْاَمِيْنُ
Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: “Wahai ayah, ambillah dia menjadi orang upahan (menggembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat lagi amanah.”
(Surah al-Qasas ayat 26)
Ayat ini menjadi muhasabah kepada diri saya apabila dalam sesuatu pekerjaan, elemen utama yang perlu kita ada adalah kompetensi dan amanah (ٱلۡقَوِىُّ ٱلۡأَمِينُ). Kompetensi bermaksud kita boleh dan tahu melakukan pekerjaan atau perniagaan manakala amanah pula kita menjalankannya mengikut aturan undang-undang serta syariah Islam.
Dalam hal pengalaman saya ini, memulakan perniagaan memerlukan kemahiran tertentu perlu dipelajari secara khusus, contohnya strategi mencari pelanggan. Jika sebelum ini kita bekerja dalam syarikat besar yang bertugas berkaitan hal ehwal pelanggan, kita tidak perlu bersusah payah menarik pelanggan datang kerana syarikat tempat kita bekerja itu sudah mempunyai jenama besar.
Walaubagaimanapun, apabila kita baru sahaja mendirikan syarikat baru, perkara tersebut sukar berlaku juga kepada kita. Jadi, dalam hal ini memerlukan kita punyai kemahiran memasarkan produk atau khidmat yang kita jual. Tanpa kemahiran yang mantap, perniagaan kita bina itu besar kemungkinan akan lingkup akibat kekurangan jualan kerana pelanggan tidak kenal.
Disebabkan itulah munculnya beberapa agensi kerajaan yang diwujudkan untuk membantu para peniaga mendapat ilmu dan kemahiran secukupnya seperti MARA, PUNB (Perbadanan Usahawan Nasional Berhad) dan INSKEN (Institut Keusahawanan Negara). Justeru, walaupun sebelum ini kita berjawatan tinggi dalam sesebuah organisasi kerajaan, tidak bermakna kita kompeten dalam menjalankan perniagaan. Manakala kaedah mendapatkan pinjaman ataupun projek perlulah mengikuti konsep amanah.
Sekiranya kita sendiri yang akan jalankan operasi syarikat, hanya nama kita seorang sahaja sepatutnya diletakkan dalam permohonan pinjaman. Walaupun ada kelompongan untuk menumpang nama orang lain asalkan cukup syarat 18 tahun ke atas, hal ini termasuk dalam mengkhianati amanah. Kerana institusi yang menyediakan pembiayaan tersebut pastinya menganggap operasi syarikat itu dilakukan oleh penama dalam perjanjian, bukannya orang lain. Jadi pada saya, mungkin itulah faktor yang terlibat mengapa perniagaan tersebut tidak menjadi.
Demikianlah rencah kehidupan, walaupun perbuatan dan niat kita baik sekalipun tidak bermakna kita terlepas daripada risiko ditimpa musibah. Sepanjang tempoh awal mendapat tahu yang saya telah dijatuhkan status insolven oleh Mahkamah Tinggi, perasaan sedih dan geram bercampur-baur. Tetapi jika ditanya saya pada waktu sekarang, tiada pun muncul emosi yang berkecamuk walaupun sekarang ini saya masih lagi berstatus bankrap. Mungkin kerana pada awal waktu tersebut stigma terhadap bankrap itu menyebabkan rasa seolah-olah masa hadapan akan gelap dan hidup tiada lagi peluang. Walhal sebenarnya halangan-halangan yang ada itu tidak menutup peluang kita untuk memajukan diri pun.
سُئِلَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَيُّ الْكَسْبِ أَطْيَبُ؟ قَالَ: عَمَلُ الرَّجُلِ بِيَدِهِ، وَكُلُّ بَيْعٍ مَبْرُورٍ
“Ditanya kepada Rasulullah SAW, apakah pekerjaan yang paling baik? Jawab Baginda: Amalan seorang lelaki dengan tangannya dan setiap jualan yang baik.”
(Riwayat Ahmad, Baihaqi, dan al-Tabarani)
Namun, segala sangkaan itu tidak benar keseluruhannya asalkan diri kita sendiri berusaha mendapatkannya. Contohnya, hal ini terbukti apabila saya berjaya melompat kerja ke syarikat lain meskipun berstatus muflis.
Dalam borang permohonan kerja tersebut memang saya menandakan ‘ya’ dalam bahagian status jika ada dikenakan sebarang tindakan insolvensi atau tidak. Nasib menyebelahi saya, langkah kanan saya katakan apabila berjaya menukar pekerjaan lain dengan peningkatan gaji yang lebih berbanding jika masih tetap dalam syarikat yang sama. Cuma, bukanlah dengan sekali percubaan. Beberapa kali juga saya kerap ditemuduga dan tidak berjaya.
Teringat saya, ada satu penemuduga yang begitu angkuh apabila mendapat tahu status muflis. Hinggakan beliau keluar sekejap semasa temuduga itu dan masuk kembali dengan bau rokok yang kuat. Apa pun, itu sekadar pengalaman biasa menghadapi insan-insan di luar sana yang tidak berakhlak dan hanya menghakimi seseorang dengan label semata-mata.
Semasa masih bankrap ini juga saya berjaya menghasilkan dua buah buku yang diterbitkan oleh penerbit tempatan sebelum mencapai umur 30 tahun. Jadi bukanlah apabila telah muflis kita hanya meratapi dan berputus asa daripada mencapai kemahuan. Sebaliknya, cari sahaja peluang yang ada walaupun tidak dibentangkan di hadapan mata. Halangan-halangan yang ada tidaklah begitu serius terhadap diri saya.
Sebagai contoh, sekatan ke luar negara, sekatan berurusan dengan institusi kewangan, dan terpaksa ditolak sejumlah wang daripada akaun bank setiap bulan. Bagi yang tidak mengetahui, setiap bulan wang saya akan diberikan secara auto debit kepada Jabatan Insolvensi Malaysia. Secara tidak langsung, mengurangkan sedikit pendapatan saya dan jika dikira sejak awal lagi, jumlahnya agak banyak.
Ya, walaupun pembiayaan perniagaan yang diletakkan nama saya itu tidak pernah pun saya sentuh wang tersebut, namun akibat kebankrapan, kesannya terpaksa juga dihadapi. Mujurlah sejak awal bekerja apabila tamat belajar saya tidak terus membuat pembiayaan pembelian kenderaan atau komitmen lain yang tidak perlu. Oleh itu, pengurusan kewangan saya tidak terkesan dengan serius serta masih boleh menikmati kehidupan dengan baik.
يَا عَمْرُو، نِعْمَ الْمَالُ الصَّالِحِ لِلْمَرْءِ الصَّالِحِ
“Wahai Amru, alangkah baiknya harta yang baik (apabila diberikan) kepada orang yang soleh.”
(Riwayat Ahmad dinilai sahih oleh Syuaib al-Arnaut)
Apabila Rasulullah memuji harta yang dimiliki oleh orang yang baik, pada saya ada pengajaran penting dalam ucapan baginda. Ini kerana hakikat baiknya seseorang bukan terletak pada sesiapa tetapi Tuhan yang mengetahuinya lebih mendalam. Cumanya kita sebagai sesama insan cukuplah menyantuni berdasarkan zahirnya perilaku yang ditonjolkan. Kerana ada orang begitu baik dan pemurah dengan rakan-rakan tetapi ahli keluarga sendiri sukar hendak mendapatkan layanan sama. Ada juga yang baik dengan insan terdekat sahaja tetapi apabila berhadapan dengan orang yang tak dikenali sifatnya begitu keras.
Justeru, label kita letakkan pada seseorang bukanlah penentu hakikat sebenar. Tetapi rugi sekiranya kita bersikap dengan prejudis terhadap label dan status seseorang tanpa cuba memahami latar belakang bagaimana ia berlaku.
Disediakan oleh: Muhammad Baha’uddin Hamizan