Pada 22 Ogos 2019, Tun Dr Siti Hasmah dianugerah gelaran ‘Ibu Negara’ oleh Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI) sempena sambutan Hari Wanita Kebangsaan. Pemilihan beliau bertepatan dengan peranannya sebagai wanita yang berjaya memberikan kepakaran dan pengetahuan dimiliki dalam usaha membangunkan negara.

Bukan mudah untuk memikul tanggungjawab dan amanah sebagai seorang doktor, isteri, ibu dan “ibu negara”. Namun, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali berjaya membuktikan bahawa beliau seorang wanita yang cekal, berjiwa kental, matang dan profesional. Tugas sebagai ibu negara adalah antara peranan yang cukup mencabar. Walaupun Tun Dr Siti Hasmah memikul gelaran itu sebanyak dua kali tetap dapat membuktikan beliau layak dinobatkan sebagai tokoh srikandi negara.

Perjalanan politik suami kepada Tun Dr Siti Hasmah iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad tidaklah semudah yang disangka. Namun beliau sentiasa mendampingi suaminya tatkala susah mahupun senang sebagai tulang belakang yang menguatkan lagi semangat perjuangan Tun Dr Mahathir sehingga mampu bertahan selama 22 tahun pada penggal pertama sebagai Perdana Menteri. 

Malah Tun Dr Siti Hasmah juga terus menjadi pembakar semangat kepada Tun Dr Mahathir untuk kembali aktif dalam politik selepas bersara pada 2003 sehingga berjaya dilantik semula sebagai Perdana Menteri pada 2018. Siapa sangka pasangan yang sudah begitu lanjut usia kembali menduduki kerusi nombor satu dan bergelar wanita pertama negara.

Hakikatnya, ramai yang cemburu melihat keakraban dan kasih sayang yang ditunjukkan oleh pasangan bahagia ini. Setiap gerak geri dan aktiviti mereka terus mencuri perhatian khalayak, malah ramai pasangan menjadikan mereka sebagai idola dan sumber inspirasi dalam mengharungi liku-liku kehidupan rumah tangga.

Keistimewaan Tun Dr Siti Hasmah dapat dilihat dalam pelbagai aspek, antaranya perwatakannya yang penuh lemah lembut terutamanya sebagai seorang ibu. Masyarakat dapat menyaksikan perwatakan di dalam setiap gerak geri, tutur kata, tingkah laku dan perbuatan Tun Dr Siti Hasmah. Kebanyakan orang yang pernah berurusan dengan beliau menyanjungi karektar dan ketokohan beliau.

Selain itu, sikap beliau yang begitu rendah diri, santai dan tenang menyenangkan orang-orang yang berada di sekelilingnya. . Ciri-ciri yang boleh dikatakan menyejukkan mata memandang ini wajar menjadi suri teladan setiap wanita terutamanya yang memegang jawatan dan mempunyai kedudukan yang tinggi. 

Sebagai seorang isteri, Tun Dr Siti Hasmah tidak pernah mencampuri urusan rasmi politik Tun Dr Mahathir. Perwatakan isterinya telah membuka ruang yang cukup bebas dan selesa kepada Tun Dr Mahathir untuk fokus dalam perkerjaannya tanpa sebarang masalah dan mendapat sokongan moral daripada isterinya.

Pada dasarnya, Dr Siti Hasmah telah meletakkan satu asas dan suri teladan yang sangat jelas dan kukuh tentang keperibadian seorang wanita yang perlu dicontohi untuk menjadi seorang isteri dan ibu yang hebat disamping menjadi seorang isteri yang menjadi tulang belakang kepada seorang suami.

Wahai wanita, contohilah keperibadian Tun Dr Siti Hasmah sebagai suri teladan anda. Baca dan kaji sejarah hidup wanita dan insan istimewa ini kerana banyak suri teladan yang boleh dijadikan panduan dan iktibar dalam kita mengharungi liku-liku kehidupan sebagai seorang wanita. Bukan sahaja dalam kehidupan rumah tangga, malah sebagai seorang wanita yang berjaya dalam pendidikan dan kerjaya.

Tuntasnya, keperibadian Tun Dr Siti Hasmah wajar dijadikan sumber inspirasi oleh segenap golongan wanita di negara ini. Kata Hamka:

“Wanita itu ialah tiang negara. Kalau wanita itu baik, baiklah negara, dan kalau mereka rosak, rosak pulalah negara. Mereka adalah tiang; dan biasanya tiang rumah tidaklah begitu kelihatan. Tetapi kalau rumah sudah condong periksalah tiangnya. Tandanya tianglah yang lapuk.”

Selamat Menyambut Hari Wanita Sedunia!

Disediakan oleh,

Noor Mohamad Bin Shakil Hameed

Serdang, Selangor

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.