Reza mendongak ke arah langit malam yang  kelihatan kelam dan suram tanpa kerlipan bintang. Angin yang sepoi-sepoi bahasa sedikit sebanyak mendamaikan perasaan hatinya yang penuh kegalauan. Dia membawa diri ke Pulau Langkawi konon-kononnya untuk menenangkan diri seketika setelah berdepan dengan masalah yang menyesakkan jiwanya pada minggu lalu. Sungguh, jika diikutkan hatinya, dia ingin saja memberontak, menjerit dan meraung saat itu juga. Hati siapa yang tak sakit apabila tunang yang amat disayangi memutuskan pertunangan di tengah jalan? Dia tak sangka Mina sanggup meleraikan ikatan pertunangan mereka hanya kerana alasan sudah berubah hati

.
“Awak anggap sajalah kita memang tak ada jodoh,” begitu mesej yang diterimanya daripada Mina sebelum keluarga Mina datang pada keesokan hari memulangkan cincin pertunangan. Dia begitu kecewa dengan sikap Mina. Sejak hari itu, dia mula mempersoalkan dirinya berkali-kali, apa salahnya? Apa kekurangannya di mata Mina? 


Reza menyeka air mata yang mula turun membasahi pipi. Seketika kemudian, dia mengeluh perlahan. Lihatlah betapa dalamnya luka yang kau lakukan terhadap diriku, Mina. 

Jangan ingat lelaki tak pernah menangis kerana cinta, kawan. Hakikatnya, lelaki juga manusia, ada perasaan. Ini bukan cengeng namanya. Apabila hati sudah tak tertahan, lepaskan sahaja apa yang terbuku. Tak mengapa kita menangis mengeluarkan isi hati tetapi berjanjilah pada diri sendiri selepas itu bahawa kita takkan menangis lagi atas sebab yang sama.Dia cuba menenangkan diri semula. Tarik nafas dalam-dalam. 

Semasa keluarga Mina memutuskan pertunangan, dia tak mengeluarkan air mata setitis pun dan hanya mendiamkan diri saat cincin yang dibelinya sendiri suatu ketika dahulu diserahkan kepada ibu.


Dia meregangkan leher perlahan-lahan. Jam di tangan sudah menunjukkan pukul 10 malam. Matanya semakin berat minta direhatkan. Ketika tiba di pulau ini pagi tadi pun dia terus mencari tempat penginapan dan bersiar-siar di Cenang Street. Hanya berjalan-jalan sambil melihat barangan yang dijual oleh para peniaga dan makan di restoran yang berdekatan. Sudah lama dia tidak bercuti seorang diri seperti ini. Langkah diatur ke tempat beradu. Pintu balkoni biliknya terus ditutup dan dikunci rapat.

“Tak mengapa, Reza. Esok pasti akan lebih indah daripada hari ini.”

Keesokan harinya, Reza mengambil keputusan untuk menghabiskan masa di Pantai Cenang. Biru laut yang mendamaikan itu sungguh mendamaikan hatinya. Indahnya alam ciptaan Tuhan. Apabila difikirkan semula, memang ada banyak lagi keindahan di dunia ini yang belum dia terokai. Ada banyak lagi cabaran hidup yang perlu ditempuhi. Hal yang terjadi pada minggu lepas sudah menjadi masa lalunya. Dia memang tak punya kuasa untuk memutarkan masa dan merayu pada Mina untuk tidak memutuskan pertunangan. Semua orang takkan dapat mengubahnya. Dia harus reda dan belajar melepaskan. Mungkin ada sesuatu yang lebih istimewa dan lebih indah yang hendak  Allah berikan padanya suatu hari nanti. Reza tersenyum sendiri.


“Aku reda, Ya Allah, jika ini jalan yang terbaik bagi kami berdua,” hati kecilnya bersuara. Sedang dia mengamati keindahan pantai itu, terdengar suara seseorang menegurnya.

“Reza Adzam ke ni?” Mata terus mencari sang pemilik suara. Buntang matanya apabila melihat gerangan yang sedang berdiri tak jauh darinya.


“Eh, Sofinaz ke?” 

Wanita itu mengangguk. Reza terkesima. Tak sangka boleh bertemu semula dengan rakan sekolahnya di situ. Kali terakhir mereka bertemu ialah pada 15 tahun yang lalu, ketika masing-masing masih di tingkatan tiga sebelum Reza berpindah ke Johor mengikut ibu bapanya bekerja di sana dan mereka terputus hubungan sejak itu. Mereka bukanlah kawan yang rapat tetapi disebabkan mereka berdua pernah menjadi rakan sekelas, maka masing-masing tidak kekok bercerita jika berjumpa.


“Dengan keluarga ke, Sofi?”


“Ya, aku ikut keluarga abang aku bercuti kat sini. Tak sangka jumpa engkau balik kat sini, Reza. Ingatkan memang tak jumpa lagi dah,” gurau Sofinaz. 

Reza ketawa kecil mendengarnya. 

“Aturan Allah…”


“Engkau datang dengan keluarga juga ke, Reza?” Lelaki itu pantas menggeleng.


“Datang seorang je. Makan angin sendiri.” Sofinaz mengangguk faham. Sofinaz masih tak berubah dari dulu, ceria, ramah dan kadang-kadang keluar juga perangai sempoinya. 


“15 tahun tak berjumpa, makin bergaya rupa engkau, Reza. Dulu berhingus saja kerjanya,” haa..kan dah kata. Reza tersengih seperti kerang busuk.


“Agak-agaklah, Sofi. Mestilah nampak bergaya. Kalau tak, tak ada orang nak nanti. Tapi, setakat ni memang tak ada orang nak pun, putus tengah jalan adalah.” Laju Reza bercerita. 

Sofinaz seperti dapat menangkap sesuatu. Cuma, dia hanya mengambil langkah mendiamkan diri. Seketika kemudian, Reza menyambung lagi.


“Jadi, sepanjang 15 tahun ni, apa cerita engkau?” Sofinaz senyum sekejap. Seolah-olah dia juga sedang melalui fasa yang sukar.


“Aku sebenarnya yang ajak keluarga abang aku ke sini. Bercuti sama-sama. Dah lama tak makan angin sejak arwah suami aku meninggal dua tahun lepas. Leukemia.” 

Reza terpempan. Di sebalik senyum di wajah wanita itu, rupa-rupanya tersimpan luka yang dalam.


“Tak sempat teman arwah lama-lama. Allah lebih sayangkan dia. Tiga bulan saja aku sempat jaga dia, Reza. Tapi bagi aku, tiga bulan itulah tempoh yang paling indah dalam hidup aku. Arwah ajar aku banyak benda. Alhamdulillah, Tuhan bagi aku kesempatan untuk berada di sisi arwah pada saat-saat akhir hidupnya.” Sofinaz berhenti bercerita apabila sedar Reza kelihatan diam tak terkata.


“Engkau kenapa diam semacam ni?”

“Engkau tengah bercakap. Aku mana boleh potong,” selamba Reza menjawab.
Sofinaz ketawa sendiri sambil mata memandang laut biru Pantai Cenang.

“Takziah, Sofi.. Aku tak tahu berita pemergian arwah suami engkau.”

“Tak apa. Sudah dua tahun sejak pemergian arwah dan aku reda. Tuhan takkan uji manusia di luar kemampuan kita dan aku sangat yakin hal itu. Mungkin kita diuji oleh Allah dengan kehilangan sebab Allah tahu kita mampu lalui ujian ini dan Dia pasti sediakan sesuatu yang lebih baik untuk kita di sebalik ujian yang kita tempuh jika kita sabar menjalaninya.”


Reza mengangguk perlahan. Setuju dengan kata-kata Sofinaz. Hampir sama seperti situasi dia kini, yang sedang berhadapan dengan kehilangan insan yang tersayang. Atau lebih tepatnya, pernah disayangi. Cuma ujian Sofinaz lebih berat baginya kerana wanita itu kehilangan kekasih halalnya pada awal perkahwinan dan terpisah pula angkara kematian.


“Kehilangan ni kan Reza, buat aku sedar bahawa apa-apa yang kita rasa kita punya atas dunia ni, bukan milik kita pun sebenarnya. Semuanya milik Allah. Kita cuma pinjam saja daripada Dia. Diri kita ni pun sama, sampai masa nanti, kita juga akan dipanggil pulang. Sebab tu kita kena sentiasa berusaha perbaiki diri dan kumpul amal kebaikan di dunia ini untuk kita bawa pulang nanti. Mula-mula aku kehilangan arwah suami aku, aku memang macam hilang arah. Sehinggalah abang aku ingatkan diri aku tentang hidup di dunia ini sementara. Bahagia, sedih dan sengsara juga sementara. Tak ada yang kekal di sini. Mulai saat itu aku sedar yang arwah suami aku bukan hak mutlak aku. Aku kena terima tempat dia di sisi Allah. Aku cuma pinjam arwah sekejap sahaja daripada Pencipta.” Luahan Sofinaz terhenti. Dia pandang semula pada Reza. Eh, berhingus!


“Engkau menangis sampai berhingus ni kenapa?! Luculah engkau ni, Reza. Masih sama macam dulu!”


“Ish, memanglah sedih. Jangan ingat lelaki tak boleh rasa sedih, erk.. Engkau jangan nak ejek-ejek aku.”


“Ya, baiklah, Reza. Sudahlah, aku jalan dulu. Lama pulak bersembang dengan engkau.”


“Eh, Sofi. Alang-alang berjumpa balik ni, jom tukar nombor telefon. Boleh berhubung balik nanti. Engkau kerja kat mana sekarang?” Tutur Reza sambil mengeluarkan telefon bimbit.

“ Ha boleh juga ambil nombor telefon. Aku sekarang tinggal dekat KL. Kerja kat Syarikat Saujana Seri, kerani kat sana,” Sofinaz lancar bermadah. Reza membulatkan mata buat kesekian kalinya.

“Lah… samalah, aku pun tinggal KL. Syarikat Saujana Seri tu tempat sepupu aku kerja, CEO situ. Kenal Razaman kan? Kecilnya dunia.”


“Oh, Encik Razaman! Ya, aku kenal. Tak sangka pula kan! Hahaa..”

Seusai perbualan singkat itu, mereka berdua berpisah kembali membawa haluan masing-masing. Hati Reza juga sedikit lapang setelah bertemu Sofinaz. Sungguh, pertemuan yang tak disengajakan.
                                                         
                                                        ~
Reza tidak pernah menduga, pemergian dia ke Pulau Langkawi pada waktu itu, akan mempertemukan dia semula dengan Sofinaz, rakan sekelasnya suatu ketika dahulu. 

Sejak itu, mereka kembali berhubung dan bertanya khabar masing-masing sehinggalah dia mengambil langkah menyunting Sofinaz sebagai suri hatinya setahun kemudian. Sofinaz juga tak menolak meskipun pada awalnya agak kekok dan malu-malu. Panggilan pun bukan lagi aku dan engkau seperti kebiasaan mereka dalam perbualan. Senyuman terukir di bibirnya. Hikmah yang tersembunyi dalam setiap perkara itu indah-indah belaka. Bersangka baiklah pada setiap aturan Tuhan. Percayalah, setiap yang berlaku itu bukanlah untuk melemahkan, tetapi menguatkan. Setiap yang hilang yakinlah ada gantinya, dan ia pasti yang lebih baik untuk kita.

“Abang, jom kita keluar pergi Cenang Street. Sofi dah siap ni.” 


Lamunan dia terhenti sebaik sahaja Sofinaz bersuara. Dia mengangguk dan terus memimpin erat tangan isterinya ke pintu keluar bilik penginapan mereka.

Siapa sangka, suatu ketika dahulu, dia datang ke Pulau Langkawi seorang diri bersama hati yang luka dan kini, dia datang kembali bersama peneman di sisi dengan hati yang berbunga.

                                                   -TAMAT-

Penulis: Wani Zainudin

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.