Bumi Mesir ini boleh dikatakan bumi sejarah kerana banyak peristiwa yang berlaku melibatkan nama Mesir ini yang pernah suatu ketika dulu dipimpin oleh Nabi Yusuf a.s. Mesir juga pernah diperintah oleh Firaun yang mengaku Tuhan. Akhirnya tenggelam ke dalam Laut Merah ketika mengejar Nabi Musa bersama Bani Israel ketika itu. Mesir juga pernah diperintah oleh Cleopatra yang akhirnya jatuh ke tangan tentera Rom dalam penaklukan mereka.

Tetapi kali ini saya nak membawakan kisah seorang wanita yang alim serta baik, yang akhirnya menjadi Sultanah pertama bagi kerajaan Islam, iaitu Shajar al Dur. Tidak pernah dalam mana mana kerajaan Islam menaikkan wanita sebagai Sultan, maka inilah yang pertama. Ini menunjukkan juga bahawa Islam itu tidak meminggirkan wanita dalam hal penting seperti kepimpinan, malah Islam sangat meraikan dalam menggembleng wanita Islam sebagai madrasah peradaban.

 

3 kawasan terpenting dalam kronologi sejarah Shajar al Dur

 

LATAR BELAKANG SHAJAR AL DUR

Shajar al Dur yang bermaksud ‘Pokok Para Permata’ adalah bermula sebagai seorang hamba kepada As Shalih Ayyub, pewaris takhta Dinasti Ayyubiyah. Kemudian, pada tahun 1240 M, As Shalih Ayyub telah dilantik menjadi Sultan dan berkahwin dengan Shajar Al Dur selepas kelahiran Khalil, yang kemudiannya Khalil meninggal dunia ketika dia masih lagi kanak kanak.

Pada tahun 1249 M, As Shalih Ayyub yang sedang sakit telah pulang ke Mesir dari Syria selepas mendengar berita bahawa Raja Louis IX of France telah mengumpulkan tentera Salib di Kepulauan Cyprus untuk menakluk Mesir. Pada Jun 1249, tentera Salib telah sampai ke Damietta, bandar yang terletak berhampiran Sungai Nil. Ketika ini, As Shalih Ayyub telah dibawa ke Al Mansourah sebagai cubaan untuk menyelamatkan baginda dan akhirnya meninggal dunia pada 22 November 1249 selepas 10 tahun memerintah Mesir di bawah Dinasti Ayyubiyah.

Saat ketika itu sungguh gawat kerana tentera Salib sudah memulakan serangan di beberapa jajahan Mesir. Shajar Al Dur mengambil alih sementara dengan mengarahkan Amir Fakhruddin Bin Syaikh iaitu Panglima Tentera Mesir dan Tawashi Jamaluddin Muhsin selaku Pegawai Istana untuk merahsiakan kematian Sultan mereka kerana tidak mahu tentera dan rakyat lebih panik apabila mendengarnya.

As Shalih Ayyub tidak menamakan sesiapa sebagai penggantinya sebelum baginda meninggal dan kemudian Farisuddin Aktai yang merupakan seorang Amir di bawah Dinasti Bahri untuk memanggil Al Muazzam Thuransyah, putera kepada As Shalih Ayyub untuk pulang ke Mesir. Sebelum Sultan meninggal dunia, baginda telah meninggalkan tandatangan baginda di atas kertas kosong yang digunakan oleh Shajar al Dur dan Amir Fakhruddin untuk meyakinkan rakyat bahawa Sultan masih hidup dan perjuangan perlu diteruskan. Mereka buat seperti biasa, seperti Sultan masih hidup dengan menghantar makanan dan alatan ke khemah Sultan.

 

Damietta, Mesir yang pernah ditakluk oleh Raja Louis IX dalam Perang Salib Keenam

 

KEKALAHAN PERANG SALIB KETUJUH

Raja Louis IX tiba di Damietta pada 6 Jun 1249. Mendengar khabar bahawa Sultan telah meninggal dunia dari pengintip, membuatkan pasukan Salib bersemangat dan mahu meneruskan serangan ke Kaherah, pusat pemerintahan Dinasti Ayyubiyah ketika itu. Robert I of Artois, saudara kepada Raja Louis IX telah menyerang kem tentera Mesir di Gidelia, 3 KM jaraknya dari Al Mansourah. Amir Fakhruddin telah syahid dalam serangan mengejut ini dan ini menyebabkan Shajar al Dur dibantu oleh Baibar untuk bertahan di Al Mansourah dan melindungi kota itu. Serangan pasukan Salib tidak menjadi dan Robert I telah mati di tangan Baibars, Izuddin Aybak dan juga Qalawun al Alfi. Umum mengetahui bahawa Baibars inilah yang nanti bersama Saifuddin Qutuz memimpin pasukan Mamluk memerangi Mongol dipimpin oleh Kitbuqa di Ain Jalut pada 1260.

Peranan Shajar al Dur sangat besar dalam serangan di Al Mansourah kerana beliau telah mengarahkan siasatan terhadap tentera Salib sebelum bersetuju dengan cadangan Baibars untuk bertahan di Al Mansourah sebagai menahan kemaraan tentera Salib hingga ke Kaherah dan menghabisi tentera Muslim. Shajar al Dur yang berkuasa tidak mensia siakan kuasanya dengan cubaan beliau untuk mengalahkan terus tentera Salib dalam Perang Fariskur.

Pada 27 Februari 1250, Thuransyah, pewaris takhta Dinasti Ayyubiyah telah sampai ke Kaherah dan bersiap sedia dengan tentera menuju ke Damietta di mana Raja Louis IX dan bala tenteranya berkampung. Pada 6 April 1250, tentera Salib telah kalah sepenuhnya dan Raja Louis IX ditangkap dan dibawa ke Kaherah.

 

MENUJU SEBAGAI SULTANAH PERTAMA

Shajar Al Dur telah menghadapi konflik dengan pewaris takhta Ayubiyyah, Thuransyah. Thuransyah yang merupakan pewaris takhta berasa tercabar dengan kepimpinan dan penguasaan Shajar al Dur selepas kemangkatan ayahandanya. Lagi pula, Shajar al Dur hanyalah budak suruhan sebelum berkahwin dengan As Shalih Ayyub.

 

Novel berkaitan Shajar al Dur

 

Shajar al Dur sedar akan hal ini selepas isu Thuransyah bersikap kasar dengan meminta menyerahkan segala harta dan permata yang dimiliki kepada Thuransyah. Lagi pula, Thuransyah yang suka mabuk dan memukul perempuan Mamluk menjadi sebab untuk Shajar al Dur merancang untuk menjatuhkan Thuransyah.

Shajar al Dur bersama ketua Mamluk ketika itu, Farisuddin Aktai merancang membunuh Turansyah dan matilah Thuransyah pada 2 Mei 1250 di Fariskur. Maka berakhirlah Kesultanan Ayubiyah yang memerintah Mesir dan permulaan kepada Dinasti Mamluk.

Selepas pembunuhan Thuransyah, Mamluk dan para Amir (pembesar) berjumpa untuk berbincang berkenaan siapa akan menjadi Sultan, dan mereka sepakat untuk menjadikan Shajar al Dur sebagai Sultan pertama Dinasti Mamluk. Shajar al Dur telah memakai gelaran “al-Malikah Ismat ad-Din Umm-Khalil Shajar al-Durr” dengan beberapa tambahan gelaran seperti Malikat al Muslimin (Pemaisuri Muslim) dan  Walidat al-Malik al-Mansur Khalil Emir al-Mo’aminin”. Nama Shajar al Dur disebut dalam khutbah Jumaat dengan nama Uum Al Malik Khalil dan juga Sahibat al Malik al Salih (Isteri kepad al Malik As Shalih). Syiling telah dipateri gelaran beliau dan dekri dengan nama “Walidat Khalil”. Shajar al Dur banyak menggunakan nama suami dan anaknya untuk memperkukuhkan kuasanya sebagai Sultanah.

Selepas daripada itu, Shajar al Dur telah mengarahkan Amir Hosamuddin untuk pergi kepada Louis IX yang masih dipenjarakan di Al-Mansourah untuk menyatakan persetujuan Louis IX meninggalkan Mesir dengan syarat membayar separuh duit pelepasan dan menyerahkan Damietta sebagai pertukaran dengan nyawanya. Louis IX menyerahkan Damietta kembali kepada Shajar al Dur dan lari ke Akra, Palestin pada 8 Mei 1250 diikuti 12000 tawanan yang lain. Maka, hilanglah penguasaan dan cita cita tentera Salib ke atas kerajaan Islam.

Perlantikan Shajar al Dur bagaimanapun dapat tentangan dari Khalifah Abassiyah, al Musta’sim di Baghdad ketika itu kerana beliau seorang perempuan. Demi mengekalkan kekuasaannya, Shajar al Dur dikahwinkan dengan Izuddin Aybak dan diangkat sebagai Sultan.

Apa yang menarik yang dapat dikongsikan adalah ketika pemerintahan Shajar al Dur selama 3 bulan sebagai Sultanah  adalah:

  1. Perang Salib Ketujuh telah dapat dihalang
  2. Pengukuhan kuasa politik Islam terus bertahan di kawasan Laut Mediterranean
  3. Jatuhnya Dinasti Ayyubiyah dan membukan ruang Dinasti Mamluk menguasai selatan Mediterranean selama beberapa dekad.

Semoga kisah ini terus memberi inspirasi buat wanita di luar sana bahawa wanita juga mempunyai kuasa mengubah dunia.

Wallahu a’lam.

 

Oleh: Haikal Zulkefli

 

SUMBER RUJUKAN:

  1. “Mamluk Secondary Bibliography.” The University of Chicago. Accessed August 5, 2016. 
  2. Amin Maalouf, The Crusades Through Arab Eyes. London: Al Saqi Books, 1984

*Lukisan di atas bukanlah gambar sebenar Shajar, ia lukisan abad ke-19 oleh Leon Herbo dan sering digunakan sebagai gambar Shajar Al Dur.

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.