Setiap individu dan kumpulan di muka bumi ini mempunyai identiti yang tersendiri. Tuhan telah menetapkan bahawa manusia tidak dapat mampu menilai seseorang dengan membaca hatinya. Kalau hal ini berlaku, maka tersebarlah aib manusia yang tidak dapat ditanggung beratnya.
Seorang muslim itu dapat dikenalpasti melalui identitinya. Identiti Islam bukan sekadar pada cara pemakaian, tetapi juga berkaitan dengan penzahiran keimanan. Keimanan itu mampu dizahirkan melalui perbuatan dan tingkah laku. Islam hanya menggalakkan peganutnya melakukan perbuatan – perbuatan yang baik sahaja dan tingkah laku yang buruk sejak tidak boleh diterima oleh manusia dari azali lagi.
Perbuatan dan tingkah laku baik ini sebenarnya yang melambangkan identiti penganut agama Islam sebenar. Dalam agama Islam, perbuatan ini dipanggil “akhlak”. Akhlak membawa kita untuk membumikan dakwah Rasulullah s.a.w yang sebenar. Ilmu agama sahaja tidak cukup, akhlak berperanan untuk menjadi penghias dan membawa satu daya tarikan yang asli.
Rasulullah s.a.w telah menunjukkan pelbagai kaedah untuk berdakwah. Kadang – kadang lembut, dan kadang – kadang sedikit keras. Tetapi dalam apa jua keadaan, akhlak itu menjadi keutamaan baginda SAW. Kerana antara sebab baginda diutuskan adalah untuk memperbaiki akhlak anak Adam.
Hal ini disebut berdasarkan sebuah hadith yang sahih daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
“Sesungguhnya tidak aku diutuskan melainkan untuk menyempurnakan kebaikan akhlak.” [Riwayat Ahmad (8952)][Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai hadith ini sebagai sahih dan sanadnya kuat]
Siapakah yang lebih baik untuk menunjukkan identiti sebenar Islam kalau bukan Rasulullah s.a.w itu sendiri. Pakaian kita menzahirkan sudut pandang orang terhadap kita. Dan sesungguhnya akhlak itu membawa satu anjakan peribadi yang bersifat manusiawi justeru membawa identiti positif kepada Islam.
Di dalam al-Quran juga, Allah SWT telah mengakui bahawa kekasih-Nya Rasulullah s.a.w adalah merupakan contoh teladan yang terbaik untuk diikuti sebagaimana firman-Nya:
“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik.” al-Ahzab:21
Sirah Nabi menjadi bukti keberkesanan akhlak Nabi dalam berdakwah. Setiap kata–kata Nabi yang penuh sopan dan tatasusila itu mampu melunakkan mereka yang berhati keras. Sahutan Nabi kepada tauhid diikuti dengan akhlak Nabi yang melembutkan hati. Sekeras – keras Umar itu hanya mampu tunduk memuji peribadi akhlak Nabi. Kata – kata kesat memang sudah tidak ada langsung dalam kamus hidup baginda. Kita apatah lagi, mengaku menjadi hamba Allah dan pengikut ajaran Nabi; tetapi belum mampu kita dapat menahan lindah dari berkata nista.
Kalau benar mengaku bahawa kita umatnya, sudah tentu menjadi kewajipan kita untuk menghayati akhlak dalam sunnah terbesar Nabi. Sunnah dakwah dengan akhlak yang mulia dan terpuji. Kita kata cinta Allah dan RasulNya, maka perlulah kita mengikut cara Baginda dalam semua perkara.
“Jika kamu mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mencintaimu dan mengampuni dosa-dosamu.” Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang.” (ali Imran : 31)
Oleh itu, umat Islam harus merenungi kembali kaedah dakwah yang perlunya kepada akhlak. Jangan memburukkan agama dengan mencontengnya bersama etika buruk dan makian yang menyakitkan. Pakaian bukan penentu identiti sebenar Islam.
Ustaz Hasrizal Abdul Jamil pernah berkata:
“ Kita hendak kritik ataupun tidak berpuas hati dengan apa sahaja, ia tetap perlu disampaikan dengan akhlak yang baik.”
Ustaz Hasrizal Abdul Jamil
Pentingnya di sini adalah untuk menyampaikan dakwah itu dengan penuh kehikmahan yang berlandaskan akhlak Islam yang sebenar. Rasulullah merupakan tauladan sebenar kita. Ikutilah setiap cara yang telah dilakukan oleh Baginda. Semoga kita dapat kembalikan roh akhlak di dalam setiap diri muslim yang sejati.
Disediakan oleh,
Hazmi Irsyad