Pertama kali aku menemui pepatah love yourself adalah ketika aku masih di bangku sekolah menengah. Dengan akal yang masih dalam proses perkembangan, aku gagal untuk memahami pepatah itu.
“Bukankah cinta itu harusnya melibatkan orang lain?”
Persoalan itu terlintas di benak namun aku biarkan saja dek kemalasanku untuk berfikir. Dan akibat kemalasanku untuk berfikir itu, aku terhanyut diakali oleh orang lain.
“Terima dirimu seadanya.”
“Sayangi dirimu, terima baik burukmu.”
“Peluk sisi gelap dan terangmu kerana keduanya adalah dirimu.”
Kata-kata dan idea ini memenuhi akalku, mendefinisikan pepatah love yourself itu buatku. Lalu aku menerima setiap fikiranku dan memenuhi setiap inginku tanpa tapisan, tanpa batasan.
Beberapa tahun kemudian berlalu dengan keadaan mindaku sebegitu. Dan anehnya, aku yang cuma ingin hidup dengan “mencintai diri sendiri” ini jatuh berkali-kali dalam lembah derita. Hal-hal yang buruk seringkali menimpa aku. Aku dikelilingi orang-orang yang bahagia menghancurkan hidup mereka sendiri. Dan aku terhanyut begitu lamanya sehinggalah satu hari, terlintas di benakku;
“Keadaanku sekarang dan segala keinginanku amat jauh dari landasan kebenaran agamaku. Patutkah aku meneruskan hidup begini atas dasar ingin mencintai diriku sendiri?’
Keraguanku terhadap pepatah love yourself semakin membesar. Aku mula merasa tidak senang melihat mereka membuka dan berbangga dengan aib mereka sendiri atas dasar love yourself ini. Aku mula merasa kontras yang berlaku kepada diriku atas dasar yang sama. Kontras cinta dan derita yang aku terima atas dasar cinta itu. Sungguh ironi.
Aku kemudian meninggalkan dunia ‘melampau’ aku. Aku mula belajar hidup mengikut batasan agamaku. Kerana apa yang aku temui dalam definisi mereka adalah kontras dengan definisi cinta yang aku inginkan, maka aku mulai mencari definisi ‘love yourself’ itu di dalam agamaku.
Dan seperti itu juga, beberapa tahun kemudian, aku kelihatan jauh berbeza daripada diriku yang dulu. Perbezaan itu amat ketara sehingga aku sendiri menyedarinya. Dan anehnya, aku merasa lebih mencintai diriku, walaupun dalam keterbatasan hidup beragama! Anehnya, aku merasa lebih bebas padahal hidupku dikelilingi pagar agama.
“Apakah kau dapat mencintai dirimu sekarang?”
“Ya! Malah aku lebih mencintai diriku yang sekarang!”
Bagiku, idea love yourself itu bukanlah satu lesen untuk aku membenarkan kekurangan adabku. Dan ia pastinya bukan lampu hijau yang mengizinkan setiap keinginanku ditunaikan. Kerana diriku manusia yang menginginkan perkara yang diharamkan agamaku. Dan aku manusia yang mempunyai kekurangan yang boleh membawa mudarat ke atas ibu bapaku, dan atas diriku sendiri.
Aku percaya perkataan love di dalam love yourself itu sepatutnya membawa hal yang baik dan indah kepada diriku. Lalu mengapa harus aku menerima setiap keinginanku yang ‘haram’ itu (atas dasar mencintai diri sendiri) bila yang dibawanya kembali kepadaku adalah hal-hal yang buruk? Mengapa aku mencintai diriku sebegitu rupa? Mengapa aku berlaku zalim ke atas diriku sendiri yang aku cintai? Ironi bukan? Dan definisi inilah yang dipelopori oleh mereka. Mereka yang punya kuasa di dalam kata mereka. Mereka yang punya pengaruh dalam alam maya.
Aku temui definisi love yourself dalam agamaku, dan ianya lebih indah! Cuma hal-hal yang baik datang kepadaku, cuma hal-hal yang membahagiakan mengunjungi hidupku. Dan bukankah itu yang sepatutnya kita panggil love itu? Cinta itu seharusnya indah, dan membawa bahagia buat diri kita. Bukan derita!
Iktibar daripada seorang lelaki yang pernah menulis surat kepada Abu Dzar al-Ghifari r.a. Dia meminta nasihat daripada Abu Dzar. Abu Dzar menulis nasihat yang sangat sederhana:
“Janganlah engkau berbuat jahat terhadap orang yang engkau cintai!”.
Lelaki ini bingung. Mana mungkin seseorang melakukan kejahatan kepada orang yang dicintainya. Lalu dia menulis surat kedua. Kali ini dia menulis:
“Adakah kau pernah lihat orang yang berbuat jahat terhadap orang yang dicintainya?”
Abu Dzar menjawab dalam suratnya:
“Kecintaanmu terhadap dirimu sendiri jelas melebihi kecintaanmu terhadap orang lain. Namun, jika engkau tidak mentaati Allah, engkau pasti akan diseksa dengan neraka. Ini bererti engkau telah berbuat jahat terhadap dirimu sendiri!” ‘
(sumber: RnR Hati, Pahrol Mohd Juoi)
Disediakan oleh: Syahirah Razali