Dalam sesebuah rumah tangga, yang terdiri daripada suami dan isteri, hubungan seks merupakan antara manifestasi kekuatan cinta dan kasih sayang dalam membina sebuah hubungan yang halal lagi diredai oleh Allah SWT. Melalui hubungan intim ini, maka setiap pasangan akan memperoleh ketenangan, ketenteraman jiwa dan kebahagiaan. Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah ar Rum ayat 21 yang bermaksud :
“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Nya dan rahmat Nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir”
Hubungan seksual antara lelaki dan perempuan adalah merupakan keperluan setiap makhluk yang bernama insan. Ia juga menjadi fitrah dan naluri setiap insan. Bahkan, makhluk selain manusia seperti haiwan juga berkehendak kepada hubungan seksual ini.
Islam yang merupakan agama fitrah bagi setiap manusia meraikan keperluan hak seksual ini melalui pensyariatan perkahwinan yang sah. Tanpa ikatan yang sah, sebarang hubungan seksual adalah haram dan berdosa besar. Dalam al Quran, Allah SWT berfirman dalam surah al Baqarah ayat 223 yang bermaksud :
“Isteri-isterimu adalah ladang bagimu, maka datangilah ladangmu itu bila-bila sahaja dengan cara yang kamu sukai. Dan utamakanlah (yang baik) untuk dirimu. Bertaqwalah kepada Allah dan ketahuilah bahawa kamu (kelak) akan menemui Nya. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang yang beriman”.
Berdasarkan ayat ini, dapatlah kita fahami bahawa para isteri bagaikan ladang bagi para suami. Adalah menjadi tanggungjawab para suami untuk mengusahakan ladang tersebut dengan apa jua cara yang tidak membawa kepada kemudaratan. Umpama di ladang, sebaik sahaja mengeluarkan hasil, maka suami bertanggungjawab menguruskan hasil tersebut.
Mesejnya ialah, dalam sesebuah hubungan seks, Islam bukan sahaja memberikan ruang untuk melakukan hubungan bahkan menuntut tanggungjawab hasil perhubungan tersebut. Maka, dalam Islam, hubungan seksual bukan sekadar tempat bagi kita melepaskan nafsu syahwat, sebaliknya menuntut kepada sebuah tanggungjawab selepas itu.
Berbeza dengan apa yang berlaku di dunia barat, hubungan seksual lelaki dan perempuan bagaikan sebuah pesta melepaskan nafsu semata-mata. Menukar pasangan bagaikan menukar pakaian. Sesudah nafsu dilampiaskan, maka tiada lagi hubungan dan rasa bertanggungjawab dengan apa yang telah dilakukan. Lebih menakutkan, hubungan seks yang terjadi di barat bagai tidak bertepian lagi. Merata di tempat-tempat awam, tanpa rasa malu dan segan. Hal seperti ini memperlihatkan kepada kita maruah kaum perempuan diperlakukan sekadar binatang tunggangan sahaja tanpa rasa bertanggungjawab.
Ada pun dalam soal hubungan seksual ini, agama Islam telah menggariskan beberapa panduan kepada umatnya agar melakukan hubungan intim dengan cara yang paling baik dan tidak menyakiti pasangan. Firman Allah SWT dalam surah al Nisa’ ayat 19 yang bermaksud :
“Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik”
Antara panduan tersebut, Islam melarang para suami bersetubuh dengan isterinya melalui duburnya. Hal ini seperti yang terdapat dalam sebuah hadith riwayat Ahmad, daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
“Orang yang dilaknat itu adalah seorang yang mendatangi wanitanya pada duburnya”
Menurut al Bassam, hadith ini menunjukkan bahawa mendatangi (jimak) isteri melalui duburnya adalah perbuatan haram, kerana termasuk di antara dosa-dosa besar. Dan suatu ungkapan laknat tidaklah diberikan kecuali pada dosa besar. Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah dalam kitabnya al Fatawa menyebutkan bahawa menggauli isteri melalui duburnya adalah diharamkan berdasarkan al Quran dan Sunnah serta jumhur (majoriti) para ulama salaf dan khalaf, bahkan perbuatan tersebut termasuk (liwat) kecil.
Namun begitu, Islam membenarkan suami isteri melakukan hubungan seks dengan apa jua cara yang menyenangkan pasangan. Berkata Syaikhul Islam Zakariyya al Ansari dalam kitab Asna’ al Matolib : “Menikmati (secara seksual) pada dubur itu dibenarkan tanpa melibatkan penembusan (zakar)”.
Juga telah berkata Syaikh Zainuddin al Malibari dalam kitabnya Fathul Mu’in : “Diharuskan bagi seorang suami itu menikmati secara seksual akan tubuh isterinya, selain daripada lubang dubur (liwat), sekalipun dengan menghisap biji kelentit”.
Islam juga mengajar kita untuk berdoa sebelum melakukan hubungan intim. Hal ini adalah bagi tujuan memohon perlindungan daripada gangguan syaitan dan memohon agar dilindungi zuriat hasil perhubungan yang baik ini daripada syaitan. Sepertimana yang disebutkan di dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Ibnu Abbas, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
“Seandainya salah seorang di antara kamu ingin menggauli isterinya lalu membaca doa : ‘Bismillahi Allahumma jannibnas syaitana wa jannibisy syaitana ma razaqtana’ yang ertinya : ‘Dengan nama Allah, Ya Allah jauhkanlah syaitan dari kami dan jauhkanlah syaitan dari apa yang engkau anugerahkan kepada kami’, maka jika ditakdirkan dari pertemuan keduanya itu menghasilkan anak, syaitan tidak akan mengganggunya selama-lamanya”.
Menurut Syaikh al Utsaimin : ” Anjuran berzikir tatkala berjimak kerana setiap manusia menginginkan anaknya tidak diganggu oleh syaitan dan ini merupakan di antara sebab-sebabnya. Hadith ini menegaskan bahawa syaitan terkadang menguasai seorang anak.” Oleh yang demikian, kita digalakkan untuk berdoa dahulu sebelum melakukan hubungan dengan harapan Allah melindungi kita, pasangan serta zuriat hasil hubungan tersebut daripada gangguan syaitan.
Islam juga menuntut agar setiap pasangan suami isteri menjaga rahsia perhubungan seksual ini daripada pengetahuan awam meskipun diceritakan kepada orang yang kita rapat. Setiap pasangan seharusnya menyimpan rahsia hubungan seksual ini daripada dikongsi, dijaja atau dicanangkan di khalayak awam. Tambahan pula di zaman serba canggih ini, jauhilah daripada berkongsi rahsia hubungan intim tersebut. Dalam hal ini, Nabi SAW telah bersabda dalam sebuah hadith riwayat Muslim, daripada Abu Said al Khudri, bahwa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
“Orang yang paling buruk darjatnya di sisi Allah pada hari kiamat ialah orang yang bersetubuh dengan isterinya, kemudian dia membuka rahsianya”
Demikianlah beberapa panduan untuk melakukan hubungan seksual yang halal di dalam Islam. Agama Islam yang penuh rahmat ini bukan sekadar memerintahkan kita menunaikan hak kita dengan Tuhan, tetapi agama juga menuntut agar kita memenuhi hak sesama manusia. Dan antara hak tersebut adalah hubungan seksual antara suami isteri. Dalam tuntutan hak tersebut, Islam datang dengan memberikan panduan agar hubungan yang terjalin ini akan menatijahkan yang baik kepada dua belah pihak, suami dan isteri. Semoga Allah mengampuni kita semua.
Disediakan oleh: Faidhi Azis