Masyarakat perlu disedarkan tentang hubungan antara manusia dengan alam semula jadi telah terjalin sejak dulu lagi. Keadaan persekitaran Alam Melayu yang dikelilingi hutan khatulistiwa amat penting dalam menyumbangkan banyak kegunaan kepada kehidupan orang Melayu. Rentetan daripada itu, fefahaman tentang alam telah memberikan peluang kepada orang Melayu untuk memindahkan alam sekitar kepada hasil kesenian. Manakala jalinan fungsi gunaan, ilham dan inspirasi mula dihayati dan difahami oleh seniman Melayu bagi menghasilkan seni kraf yang lebih bermakna. Kesedaran ini amatlah sesuai dengan peranan manusia sebagai khalifah di muka bumi untuk mensyukuri nikmat setiap kejadian yang Allah ciptakan.

Seni merupakan luahan hati individu tertentu. Kesenian yang dihasilkan adalah melibatkan jiwa, perasaan, nilai-nilai murni, kepercayaan dan pemikiran berdasarkan pengalaman yang menyenangkan dan menyeronokkan. Kehidupan manusia yang harmonis dengan alam semula jadi perlu diterjemahkan ke dalam bentuk dokumentasi untuk kefahaman umum. Kebolehan dan kreativiti seniman mmemanipulasikan reka bentuk motif berdasarkan gambaran fikiran secara intelektual dan membangkitkan emosi melalui pemerhatian yang dilakukan. Menurut Plato, pengolahan motif pada artifak adalah proses yang melibatkan penyalinan atau peniruan, menghasilkan semula sesuatu hasil seni merupakan naluri semula jadi seorang seniman.

Hasil seni reka merupakan komunikasi secara tidak langsung yang disampaikan oleh perekanya kepada khalayak. Contohnya, motif buluh amat digemari oleh masyarakat Melayu dalam penghasilan produk kraf seperti tekstil, seramik, ukiran kayu dan seni logam. Ini kerana, buluh paling banyak menyumbang manfaat kepada manusia. Buktinya buluh mampu memenuhi keperluan manusia untuk tujuan pelbagai gunaan. Di samping itu, motif buluh pada seni kraf Melayu juga akan memperlihatkan identiti Alam Melayu. Biasanya masyarakat membentuk kesenian berdasarkan pengalaman dan kehidupan yang dilalui. Secara psikologinya, keindahan ini akan dapat dinilai melalui pancaindera atau deria rasa.

Kreativiti dan perkembangan teknologi moden yang sejajar dalam masyarakat Melayu turut menyumbang kepada perkembangan motif kraf di Alam Melayu. Penghasilan motif alam seperti motif tradisional mempunyai kaitan dengan kepentingan masyarakat lampau seperti nilai kepenggunaan berdasarkan keunikan, mudah didapati, sumber perubatan dan juga sumber makanan. Terdapat enam kategori utama motif yang dilazimi oleh seniman Melayu, iaitu:

  1. Flora
  2. Fauna
  3. Geometri
  4. Kosmos
  5. Kaligrafi
  6. Abstrak

Penggunaan motif flora adalah merujuk kepada sumber alam seperti tumbuhan di sekeliling. Contohnya motif Bunga Sendudut, Bunga Raya, Pucuk Paku, Rebung Buluh, Bunga Cengkih, Bunga Labu, Bunga Kenanga, Bunga Kangkung dan banyak lagi. Manakala motif fauna merupakan penggayaan rupa figura. Kebiasaanya orang Melayu lebih gemar membuat penggayaan rupa bentuk binatang dan serangga. Antaranya seperti ayam jantan, siku keluang, kepala lalat, monyet bergayut, itik pulang petang, kepala cicak, tapak anjing dan sebagainya. Penggunan motif geometrik pula banyak menggunakan gabungan rupa bentuk segi tiga, segi empat, bulat dan bujur.

Motif kosmos atau dikenali juga sebagai motif cakerawala seperti bulan, bintang dan matahari turut menyumbang kepada penghasilan kraf seni Melayu. Bagi masyarakat beragama Islam, motif kaligrafi pula sangat diminati terutamanya dalam penghasilan ayat-ayat quran. Pelbagai teknik khat diterapkan seperti Khat Diwani, Khat Nasakh, Khat Thuluth dan sebagainya untuk mencantikkan seni penulisan kaligrafi. Akhir sekali motif abstrak, motif ini dihasilkan oleh seniman untuk melakarkan corak dan citarasa mengikut luahan perasaan mereka. Lazimnya kehidupan seniman juga mempunyai pasang dan surut. Jadi, seni kraf menjadi medium kepada seniman untuk meluahkan perasaan yang terbuku disudut sanubari mereka. Perasaan kasih, sayang, gembira, rindu, sedih, marah dan letih akan diterjemah melalui motif abstrak ini.

Tulisan Norwani Mohd. Nawawi (2002), ‘Songket Malaysia’ telah membuat pemerhatian terhadap motif pada kain songket. Menurut beliau, di antara corak-corak pada kain songket yang paling hebat dan unggul sekali ialah pucuk rebung. Berbagai-bagai interpretasi tentang corak ini telanh dikaitkan sebagai mempunyai hubungan dengan simbol kesuburan yang memiliki kekuatan dalaman.

Terdapat juga kajian yang dijalankan oleh Haziyah Hussin (2006) yang memetik motif alam dari bukunya “Motif Alam dalam Batik dan Songket Melayu” telah menjelaskan terdapat 167 jenis kategori tumbuh-tumbuhan yang digunakan pada motif batik dan 148 jenis tumbuh-tumbuhan pada songket. Beliau turut membincangkan tipologi motif yang mengandungi maklumat latar belakang sejarah sehingga mempengaruhi penghasilan motif dari sudut budaya. Budaya pula dikaitkan dengan amalan dan aktiviti yang dilakukan oleh masyarakat Melayu dan secara tidak langsung menghasilkan budaya material. Dapatan kajian beliau terhadap pemilihan motif batik dan songket adalah berdasarkan pemilihan dan kepentingan, keunikan, mudah didapati dan tidak asing, perubatan dan lain-lain kepentingan. Di antara tahun 1921 hingga tahun 1940, motif pucuk rebung diambil berdasarkan faktor sumber makanan.

Kesimpulannya, sejarah seni motif kraf di Alam Melayu merupakan khazanah rahsia seniman Melayu. Ia telah lama wujud dan bertapak di Alam Melayu iaitu semenjak generasi nenek moyang lagi. Kepentingan penggunaan motif dalam seni kraf adalah untuk memertabatkan kehalusan dan keindahan rupa bentuk seni orang Melayu. Inilah yang dikatakan identiti dan jati diri orang Melayu yang tak laput dek hujan, tak lekang dek panas. Generasi muda masa kini wajar mempelajari dan memahami asal usul kesenian nenek moyang kita untuk memertabatkan kepada dunia luar. Di samping memeliharanya daripada ditelan arus permodenan.

Oleh: Mariam Idris

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.