Saya dibesarkan dalam keluarga yang agak susah dan tidak sempurna. Ibu ayah bercerai ketika saya masih bersekolah di sekolah rendah. Pengalaman ketika kecil, tidak semua perkara saya fahami secara langsung. Mungkin kerana waktu itu minda kanak-kanak yang tidak menghiraukan tentang hal-hal kehidupan dan kedewasaan. Tetapi apabila menginjak usia dewasa ini banyak pengalaman lalu yang kadangkala muncul dan membuat saya sedar beberapa perkara.
Contohnya ketika mendengar ibu saya menangis pada waktu malam, ketika itu saya tidak berasa apa-apa. Hanya tertanya-tanya, kenapa menangis. Waktu sekarang apabila teringat kembali, hati menjadi pilu dek memikirkan kesusahan yang dihadapi ibu dah ayah saya dahulu.
Peristiwa lain ialah apabila saya mendapat biasiswa daripada Telekom Malaysia ketika Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3, duit yang saya dapat itu bukan saya gunakan sangat. Kebanyakannya ‘dipinjam’ oleh ibu saya untuk membayar tanggungannya menjalankan perniagaan membayar gaji pekerja. Tidak sampai dua tahun, kedai tersebut lingkup disebabkan rakan kongsi dan ipar kepada ibu saya yang hanya menjadi ‘sleeping partner’ dalam masa yang sama mereka langsung tidak mempunyai kemahiran dalam menjalankan perniagaan.
Pernah dalam satu tempoh yang panjang, saya hanya tinggal bersendirian di rumah di tempat kami semua membesar. Pergi ke sekolah sendiri, balik ke rumah sendiri. Ibu terpaksa pergi ke ibu kota mencari rezeki sambil membawa adik bongsu saya mengikuti seorang ustaz selebriti sebagai pekerja tambahannya.
Tiga orang abang saya kesemuanya sambung belajar jauh di tempat lain. Manakala adik lelaki saya tinggal bersama ayah saya di tempat lain. Untuk menghilangkan sunyi, hampir setiap hari saya akan lepak ke rumah ayah kami dan ayah akan hantar pulang ke rumah pada tengah malam. Perkara paling saya ingat ialah ayah memandu kereta di tengah kesunyian malam, menghantar saya pulang sambil masing-masing diam mengelamun sendirian.
Saya kurang bergaul dengan rakan-rakan di luar waktu sekolah. Kebanyakan kawan lain akan berborak mengenai hal-hal yang saya tidak tahu, biasanya mereka berjumpa di tempat tuisyen. Jadi, saya tiada kehidupan sosial sehinggakan saya menjadi ‘socially awkward’ apabila berada di tempat yang ramai orang. Orang sebut, malu tak bertempat.
Apabila membesar dalam suasana seperti ini, saya faham jika melihat orang yang merasa janggal bersama orang lain. Tinggal bersendirian dalam tempoh yang lama membuatkan rasa kesunyian membekas dalam diri saya sehingga hari ini. Walaupun saya bersama keluarga, kawan, dan orang lain. Tetap rasa sunyi, dan sayu. Namun, penuh pengharapan.
Ayah saya seringkali membacakan ayat-ayat al-Qur’an apabila bercakap dengan kami. Dia ialah editor ‘freelance’ kepada sebuah syarikat penerbitan buku-buku agama. Ayat yang selalu beliau bacakan ialah ayat kedua daripada surah al-Mulk. Saya bersyukur mempunyai ayah seperti ini, apabila dirumahnya begitu banyak buku. Tetapi ketika itu saya langsung tidak tertarik membaca buku, hanya suka bermain komputer dan melayari internet.
Waktu itu, ada buku-buku Hamka namun saya kata dalam hati, “susah hendak faham”. Kerana slanga yang digunakan daripada bahasa Indonesia berbanding sekarang banyak diterbitkan sesuai dengan bahasa Malaysia seperti terbitan PTS dan Jejak Tarbiah.
Ketika saya dalam awal pengajian Sarjana Muda, ayah saya telah pergi menghadap Ilahi. Dalam tempoh masa yang sama, kekasih hati saya ketika itu memilih untuk bersama orang lain. Pada yang pernah mengalaminya, pasti akan memahami betapa peritnya menghadapi putus cinta kali pertama, ditambah pula kehilangan insan yang penting dalam hidup kita.
Sejak perginya ayah, saya mula suka membaca buku. Kerana buku menghilangkan kesedihan dan memberikan inspirasi untuk terus melangkah ke hadapan. Genre yang menjadi kegemaran ialah berunsur bukan fiksyen dan anekdot kehidupan. Kerana bacaan itu membolehkan kita menyelami pengalaman sebenar orang lain yang mampu menjadi rujukan untuk langkah kita seterusnya dalam hidup ini.
Menulis tentang pengalaman diri tidak perlukan format khusus namun ianya agak berterabur sedikit. Ada masa-masa tertentu di dalam hidup yang kita rasa seakan mahu meluahkan segala-galanya yang terbuku di dalam hati tetapi lidah menjadi kelu tidak tahu bagaimana meluahkan. Apatah lagi dengan cara menulis, jari-jemari menjadi kematu dan minda menjadi terbantut tidak tahu bagaimana mahu memulakannya.
Sebab itulah mungkin Allah ciptakan alam yang hebat ini untuk membantu kita bersendirian, tidak berkata apa-apa, dan hanya melihat tetapi mampu membuatkan hati kita sedikit terubat. Seperti melihat bintang-bintang pada waktu malam di tempat yang lapang (star-gazing), berkhemah di dalam hutan dan menikmati keindahan air terjun, dan melancong ke tempat lain mengambil ibrah sejarah umat terdahulu.
Semoga Allah mudahkan urusan kita di dunia ini. Diharapkan para pembaca dapat mendoakan saya berada dalam kebaikan beragama. Begitulah sejuzuk dari pengalaman membesar yang sedikit sebanyak mencorakkan hala tuju saya pada hari ini.
Ditulis oleh,
Muhammad Baha’uddin Hamizan