Saya berasal daripada keluarga yang kurang kemampuan ekonomi. Sejak dulu, keluarga sering ditipu oleh penyangak. Biasanya kami tertipu dalam bentuk sistem MLM. Mereka datang rumah ke rumah dan menyuruh kami sekeluarga menggores hadiah kejutan kononnya.
Pakcik makcik, dan ibu saya yang biasa terlibat dalam penipuan mereka. Abang sulung saya juga pernah terlibat dengan MLM sehingga berjanji akan membawa kami sekeluarga menaiki kapal persiaran. Perkara ini membuatkan saya dan adik beradik lain menjadi sinis dengan mereka yang suka bercakap besar dan gemar menunjukkan kemewahan.
Setelah menamatkan SPM, ramai rakan sekolah saya menyertai MLM yang kononnya berteraskan pendidikan. Saya diajak ke sebuah hotel di Johor Bahru pada waktu malam. Namun saya menolak dengan baik. Tetapi rakan sekelas yang mengajak itu mula tidak berpuas hati dan mengatakan saya tidak akan berjaya jika duduk rumah dan main ‘game’ sahaja. Saya tidak membalas dan membiarkan sahaja. Ketika itu saya suka bermain permainan DOTA di komputer.
Beberapa lama seketika, timbul isu pergaduhan antara rakan sekolah. Saya hanya mendengar-dengar sahaja kerana saya tidak suka ambil tahu. Isunya ialah rakan yang tidak menyertai MLM akan diperli dan perlian tersebut membuatkan kita sakit hati apabila mendengarnya seperti buat ibubapa bangga bila sudah berjaya, bisnes akan lebih untung daripada belajar dan makan gaji, dan sebagainya. Beberapa tahun kemudian, tiada seorang pun peserta MLM yang boleh dianggap berjaya.
Ketika saya melanjutkan pelajaran di universiti, saya dipujuk oleh ibu untuk mendaftar ‘joint loan’ bersama seorang saudara. Tujuannya untuk membantu saudara mengusahakan sebuah perniagaan. Ketika itu saya masih mentah dan kurang tahu tentang ‘dunia luar’.
Saudara saya merupakan bekas pegawai kerajaan yang baru sahaja pencen. Saya hanya menurut kata menandatangi perjanjian tersebut. Dalam fikiran saya, pegawai kerajaan yang bergaji besar mesti tahu selok-belok perniagaan. Dalam masa dua tiga tahun, perniagaan beliau kelihatan baik dan tidak bermasalah.
Setelah saya menamatkan pengajian dan telah bekerja selama setahun lebih, Saya mendapati bahawa perniagaan tersebut mempunyai masalah yang serius dan akhirnya perniagaan itu lingkup. Kesannya, saya telah disenaraikan sebagai muflis sehingga kini.
Saudara saya sebenarnya tidak mempunyai ilmu pernigaaan yang betul. Duit syarikat telah dicampur aduk dengan duit peribadi. Kesilapan saya tidak mengambil tahu langsung tentang operasi syarikat tersebut. Sehingga kini saya begitu skeptikal dengan orang-orang yang suka bercakap besar. Kerana ketika saya masih belajar, saudara saya suka bercerita tentang dirinya yang dianggap berjaya.
Saudara saya seorang penerima biasiswa kerajaan dan telah melanjutkan pelajaran di luar negara ketika muda. Beliau selalu bercakap dengan konotasi ‘superior’ atau bangga diri. Kata beliau, saya ini kurang kemahiran komunikasi dan kurang pengalaman dalam hidup kerana ketika itu saya seorang yang kurang keyakinan diri (low self-esteem) dan ‘gullible’.
Kejadian ini memberi kesedaran kepada saya bahawa orang sombong selalu menganggap dirinya hebat. Saya pernah membaca buku karya Puan Ainon yang bertajuk Memulakan Bisnes Sendiri yang berkisarkan kisah lebih kurang sama.
Seorang bekas pegawai kerajaan yang mahu memulakan perniagaan tetapi terbiasa dengan suasana pejabatnya dahulu yang besar dan mempunyai pembantu peribadi. Jadi apabila menjalankan sebuah perniagaan, beliau lebih suka menghabiskan wang modal dengan perkara yang tidak penting berbanding ‘rolling’ duit untuk mendapatkan peluang urusniaga lain.
Oleh yang demikian, saya bersependapat dengan penulisan Puan Ainon bahawa jawatan dalam sebuah organisasi bukanlah pengukur kepada kemahiran seseorang dalam menjalankan perniagaan apatah lagi ilmu pengurusan kewangan.
Sehingga kini, saya masih lagi menanggung status muflis dan saudara saya telah menghadap Ilahi.
Saya melihat ramai orang mudah terpesona dengan wang tetapi sangat rapuh dalam menguruskannya. Bank Negara Malaysia menyatakan bahawa 84% rakyat Malaysia mempunyai simpanan tetapi dikeluarkan hujung bulan untuk menampung perbelanjaan. Seperti menyimpan duit sementara dan menggunakannya semula. Selain itu, 52% rakyat tidak dapat mempunyai wang bernilai RM 1,000 jika berlaku sebarang kecemasan. Situasi ini sangat kronik tetapi ramai tidak sedar.
Namun, status muflis ini tidak menghalang saya untuk bangkit. Saya berjaya menerbitkan dua buah buku dan berjaya mendapatkan pekerjaan yang lebih baik dari sebelum ini. Masih ada syarikat yang sudi mengambil saya bekerja walaupun muflis. Pentingnya menyatakan hal yang sebenar ketika mengisi borang kerana saya pernah ditolak mentah-mentah oleh penemuduga sebuah syarikat runcit apabila beliau tahu status muflis saya.
Apa yang berlaku ini adalah takdir Allah. Apabila kita diuji dengan kesukaran, pasti ada kemudahan yang diberikan Allah dengan cara yang kita tidak sangka. Kepada sesiapa yang diuji dengan kesukaran dalam hidupnya, semoga dipermudahkan dan sentiasa beramal soleh.