“Ada apa kau nak jumpa aku ni?” Kata Hazri, seorang pemuda berbadan sederhana, tidak terlalu tinggi malahan tidak terlalu rendah. Dia duduk santai sambil bersandar di kerusi sebuah kedai makan. Kadangkala dia menghirup air teh yang dipesannya.
Di hadapannya, duduk seorang lagi pemuda, berusia 27 tahun, berbadan kurus namun sedikit tinggi daripada Hazri. Ahmad namanya. Ini adalah kebiasaan bagi mereka berdua. Kebiasaan di mana Ahmad akan menghubungi Hazri untuk bertemu di tempat tertentu bagi dia meluahkan perasaannya, pengalamannya dan kesakitannya.
“Aku… putus tunang.” Kata Ahmad bersahaja. Namun riak wajahnya terpancar kesugulan dan kesedihan.
“Dah tiada jodoh, nak buat macam mana?”
“Kau tak faham, Haz.”
“Ya, memang aku tak faham.”
“Bagi aku dialah satu-satunya, dia sahajalah perempuan yang aku rasa layak untuk menemani hidup aku.”
Hazri diam. Ahmad turut sama berdiam sejenak sebelum meneruskan luahannya.
“7 tahun aku cuba jaga diri aku untuk halalkan dia,tinggal 2 bulan sahaja sebelum majlis, akhirnya berakhir macam tu sahaja, ayah dia jumpa orang lain dan dia kata tu pilihan yang lebih baik untuk dia.”
“…”
“Apa kurangnya aku ni, Haz? Mungkin memang betullah apa aku fikir tentang diri aku ni. Hodoh. Bodoh. Lemah. Tak gu…”
Sebelum sempat Ahmad menghabiskan kata-katanya, Hazri mencelah, “Cukup Mad, bawa bertenang dan beristighfar. Jangan biar diri kau senang-senang dikawal dengan hasutan dan perasaan kau sendiri.”
“Kau tahu Haz? Aku dah penat dengan hidup ni, kalau boleh aku nak terjun je dari bangunan tu.” Kata Ahmad sambil jarinya menunjuk ke arah sebuah bangunan bangunan pejabat yang tinggi berdekatan dengan kedai makan, tempat mereka bertemu.
“Aku tahu, Mad. Kau dah cerita dari dulu lagi. Sebab pelajaranlah, sebab kerjalah, hutanglah dan lain-lain masalah. Untuk kali ni je Mad, berhenti sebut pasal benda tu. Aku dah hilang ramai kawan sejak habis zaman persekolahan. Aku tak sanggup hilang seorang lagi dengan asbab dia sendiri tak nak teruskan hidup.” Muka Hazri menjadi sayu selepas merayu kepada Ahmad untuk tidak mengulangi habit lamanya kembali.
“Aku tak tahu dahlah, Haz…,” Ahmad menekup muka sambil matanya sedikit demi sedikit mengalirkan air mata.
“Aku sendiri dah minta permohonan untuk tangguh pelajaran Master Degree aku. Nak berehat dan tenangkan diri sekejap satu sem ni.” Sambung Ahmad.
Lama kelamaan, Ahmad tidak lagi berkata apa-apa. Tangisannya sedikit demi sedikit menjadi lebih deras. Dia ingin menjerit sekuat-kuatnya, sepuas-puasnya. Bagi dirinya, segala yang berlaku dalam hidup tidaklah seperti apa dalam
perancangannya. Apa yang diharapkannya menjadi yang sebaliknya. Dari satu kejadian ke kejadian yang lain.
Apabila tangisan Ahmad menjadi lebih kuat, seorang pelayan restoran datang ke meja Ahmad.
“Encik, jika cik nak menangis, tolong jangan menangis di kedai kami, mengganggu orang lain.” Kata pelayan restoran tersebut agak kasar.
Ahmad tersedar sejenak. Dia berasa agak malu dan terus mengambil helmet motornya yang diletak di atas meja. Hazri ditinggalkan bersendirian.
“Cik, jangan lupa bayar dulu.” Tegur pelayan tadi.
Ahmad cepat-cepat berjalan ke meja, membuat pembayaran, mengambil tisu untuk mengesat air matanya dan hidungnya yang mula berair. Seterusnya, Ahmad bergegas ke motornya. Yamaha YZF-R1. Itulah jenama motor sport pemberian ayahnya sempena meraikan kejayaannya dapat melanjutkan pelajaran dalam pendidikan Master Degree. Motor yang bernilai hampir RM80 000 bersama-sama helmet AGV Sport Modular Carbon berwarna hitam yang bernilai sekitar RM 3500 yang hanya dipakai olehnya ketika berada di kampung halamannya, Bandaraya Melaka.
Ayahnya merupakan ahli perniagaan yang berjaya, namun Ahmad memilih untuk tidak mengikuti jejak langkahnya. Dia berazam sekiranya dia perlu menggantikan ayahnya sebagai ketua syarikat, dia akan melakukannya untuk sementara waktu sahaja sementara menunggu adik lelakinya yang masih bersekolah menengah untuk memasuki alam pekerjaan. Dia lebih gemar untuk menjadi seorang pengajar. Dia mahu menamatkan pelajaran Master
Degree-nya dalam bidang matematik dan menjadi seorang pensyarah, bukan seorang guru seperti dirinya kini.
Walaupun dilahirkan dalam keluarga yang kaya, ayah Ahmad tidak mengajarkannya untuk hidup bermewah. Segala perbelanjaan dan wang saku telah siap dikira olehnya untuk mengajarkan anak-anaknya untuk hidup berdikari dengan apa yang sedia ada. Cuma kadangkala, sekiranya anak-anaknya berjaya dalam sesuatu perkara yang boleh dibanggakan, akan ada hadiah istimewa daripada usahawan tersebut.
Dia menarik nafas panjang sebelum menyarung topi keledar mahalnya. Ahmad memastikan dirinya sudah benar-benar bersedia untuk menunggang motor. Doa dibaca. Fikiran ditenangkan. Kick-starter motornya ditekan menggunakan kaki kanannya. Apabila motorsikalnya telah dihidupkan, memastikan arah keluarnya tidak terhalang lalu perlahan-lahan mengundurkan kenderaannya dari tempat meletak kenderaan yang dikhususkan untuk motosikal. Dia memulakan perjalanan. Ke mana hala tujunya? Apa tujuannya? Dia sendiri tidak tahu.
Dia melunucur laju di atas jalan. Sekali ke kanan, sekali ke kiri. Mengelak dan memotong kenderaan lain dengan cermat. Jauh perjalanan yang dia lalui. Dari tengahari hinggalah hampir senja. Hala tuju masih tidak diketahui. Sehinggalah dia membuat keputusan untuk berehat di tepi pantai berdekatan kawasan yang dia lalui pada petang tersebut. Tongkat motosikalnya diturunkan. Sisi motosikal menghadap ke arah pantai. Ahmad pun menghadap ke sisi motosikalnya untuk melihat ke arah pantai. Bunyi deruan ombak, burung pulang ke sarang, kanak-kanak riang bermain di tepi pantai sambil diperhati penjaga masing-masing. Walaupun masih boleh kedengaran bunyi kebingitan kereta yang lalu lalang di jalan kawasan pantai
tersebut, namun alunan nyanyian alam jugalah yang lebih menenangkan dan mengasyikkan.
Matanya memerhati ke arah sekeliling. Sekejap ke arah ombak laut, sekejap ke arah gerai-gerai di tepi pantai, ada masanya ke arah orang sekeliling terutamanya kanak-kanak riang bermain.
Terdetik dalam hati Ahmad, “Alangkah indahnya jika aku dapat kembali ke zaman kanak-kanak.” Harapan setiap insan yang telah mencapai usia dewasa. Zaman kanak-kanak. Pelik, manusia sering mengharap kepada perkara yang mereka tiada dan lupa untuk bersyukur atas nikmat di depan mata.
Sedang Ahmad termenung, tiba-tiba segala yang di hadapan matanya mula kabur. Dia perlahan-lahan bangun kerana rasa terancam. Dirinya pula tidak berasa pening atau apa-apa rasa sakit.
Dia mula berjalan. Satu langkah ke hadapan, dia pun berada di sebuah ruangan berpenjuru tiga. Dia berada di tengah-tengah ruangan tersebut. Kakinya tidak mampu diangkat lagi untuk terus berjalan. Terpegun. Terkejut. Hanya mampu memusingkan badan dan kepada melihat sekeliling. Ruang seakan-akan bilik kecil itu terbahagi kepada tiga. Satu berdinding putih, sama juga lantai dan silingnya. Satu berwarna hitam legam dan satu lagi berwarna kelabu. Hairan. Takut.
“Apa makna hidup bagimu?” Kedengaran suatu suara dari arah salah satu penjuru ruangan tersebut. Suara yang menggambarkan tuan empunya suara tersebut sudah tua. Agak kasar dan perlahan pertuturannya. Ahmad menoleh ke arah suara tersebut. Kelihatan seorang tua. Janggut, rambut dan bulu
keningnya semuanya sudah beruban, menampakkan keadaan usianya. Agak bongkok juga postur badannya. Memegang tongkat walaupun dalam keadaan duduk. Orang tua itu berada di ruangan berwarna kelabu.
Ahmad keliru. Dia menoleh. Setahunya tadi tiada seorang pun manusia di mana-mana ruangan penjuru tersebut. Soalan yang ditanya juga menghairankan. Ahmad berfikir sejenak. Ahmad cuba berbicara dan memulakan kata-katanya.
“Hidup tu hiduplah. Dia boleh berjalan. Dia boleh bercakap.” Belum sempat Ahmad memulakan kata-kata, bicaranya dipintas oleh suatu suara seakan kanak-kanak. Suara kecil, lembut dan nyaring. Agak pelat pertuturannya. Ahmad menoleh ke arah suara tersebut. Kelihatan seorang kanak-kanak duduk terkangkang dengan kedua-dua tangan menongkat badannya. Berseluar pendek dan berbaju belang. Kanak-kanak tersebut duduk di penjuru dengan ruangan berwarna putih.
Ahmad teringat akan satu lagi penjuru ruangan tersebut. Penjuru berwarna hitam gelap. Dia cepat-cepat menjenguk ke arah penjuru tersebut. Dia mengecilkan matanya. Sekali-sekala menggosok-gosoknya bagi memastikan penglihatannya tidak dikaburi. Setelah ditenung lama ruangan tersebut barulah Ahmad tersedar wujudnya seekor lembaga hitam yang lebih hitam warnanya dari ruangan tersebut. Yang membezakannya dari ruangan tersebut juga ialah kelihatan seperti aura gelap yang keluar dari tubuhnya. Seakan-akan dirinya sedang terbakar.
Pernafasan Ahmad menjadi tercungap-cungap. Gerun mula muncul. Mahu lari namun tidak mempu. Mahu mencari jalan keluar namun tiada pintu. Dia terus melawan perasaannya dan menunggu.
“Ini hanya mimpi bukan?” Terdetik hati kecil Ahmad.
“Itulah apa yang mungkin kau fikirkan, budak. Namun, kehidupan lebih dari apa yang cuba kau sampaikan.” Orang tua tersebut mula kembali berbicara.
Ahmad hanya mendengar.
Kanak-kanak tadi kelihatan bingung.
Orang tua itu menyambung, “Dalam hidup, kadang kau akan bertanya, apa makna hidup? Kenapa aku hidup? Bagaimana aku hendak hidup? Terlalu banyak persoalan dari satu aspek itu sahaja untuk aku terangkan.”
“Jadi apa makna hidup?”
“Itu ialah sebuah perkara yang kau akan ketahui bila kau meningkat dewasa. Satu per satu akan kau pelajari?”
“Hah?”
“Bagi orang seusiaku, meneruskan hidup adalah sebuah pengharapan dan menemui ajal adalah sebuah kepastian. Kadang kau akan menyesal dengan pilihan yang kau lakukan, kadang kau rasa bersyukur akan perkara yang kau tak jangka untuk berlaku. Kadang hidup rasa tak bermakna kerana perkara sia-sia dan kadang hidup terasa seperti suatu nikmat yang besar kerana tak diketahui keadaan seseorang yang telah mati.”
Budak kecil tadi hanya mampu mengangguk. Mungkin masih tidak faham setiap intipati yang dilontarkan.
Bagi Ahmad, ianya agak mudah untuk difahami. Perspektif hidup dari seorang tua dan seorang kanak-kanak jauh berbeza.
Sudah tentu kerana pengalaman dan kenangan yang dilalui mengajar erti akan hidup ini.
Ahmad melihat semula ke arah lembaga hitam tadi. Masih diam. Ahmad pun tidak mahu mendengar dia bersuara.
“Bagi kau apa pula orang muda?” Tanya orang tua tersebut sambil memandang ke arah lembaga hitam tersebut.
Ahmad tersentak. Cemas terasa namun tiada sebarang kata-kata kedengaran. Diam. Sunyi seketika.
Terdetik dalam hati Ahmad, “Jika ditanya soalan tu, aku akan kata, hidup ialah suatu perkara yang memeritkan, menyeksakan dan membebankan. Kalau aku diberi peluang untuk memberi hidup dan riwayat aku kepada orang lain, orang lebih berguna, orang lebih berkelayakan, sudah tentu aku akan melakukannya kerana hidup ini tiada apa-apa makna. Kita semua akan mati juga.”
Luah isi hati Ahmad yang penuh dendam akan hidup yang baginya telah mengkhianatinya.
Masih sunyi. Ahmad pula yang ingin berbicara. Sekali lagi dia cuba. Sekali lagi tidak berjaya. Dia berada di tempat dia berdiri tadi di tepi pantai. Membelakangi motosikalnya. Hari hampir-hampir menjadi malam. Langit jingga mula bertukar biru gelap. Tenang. Cemas. Tenang kembali. Cemas kembali.
Itulah perasaan Ahmad kini. Ketidakpastian akan apa yang dilaluinya tadi.
“Aku bermimpi ke tadi?”
“Tak, tak, tak mungkin tu mimpi. Tapi kalau bukan mimpi takkan realiti.”
Keliru. Celaru. Haru biru. Semua perasaan dirasai sepintas lalu.
Ahmad cepat-cepat menyarung topi keledarnya dan menghidupkan kembali motosikalnya lalu beredar dari kawasan tersebut.
Sampai di suatu kawasan pasar malam berdekatan kawasan pantai tadi, Ahmad menghentikan motorsikalnya di tepi jalan. Dia berasa lapar. Walaupun perkara yang berlaku sebentar tadi masih menjadi misteri baginya, namun dia tidak mahu ianya menjadi penghalang kepada keperluan dirinya sebagai manusia biasa. Setiap kali fikirannya teringat akan peristiwa tadi, dia cuba untuk tidak menghiraukannya.
“Waktu maghrib kan? Memanglah banyak benda-benda macam tu. Tak pun mungkin aku terlelap sambil terduduk, tak mustahil kan itu cuma mimpi?”
Bisik hati kecilnya.
Dia melihat jam tangannya. ‘7.30’.
“Solat Maghrib pun aku belum buat ni.” Dalam keserabutan seperti itulah, hati perlu sentiasa memikir dan mengingati Sang Pengatur kepada kehidupan ini.
Dia jalan pantas ke arah pasar malam tersebut.
“Aku beli jelah apa ada dekat depan-depan pasar ni.”
Setibanya di hadapan kawasan pasar tersebut, dia terlihat kedai yang menjual Tortilla. Ahmad terus dengan nekadnya kerana dia ingin cepat-cepat selesai semua keperluannya dan pulang ke rumah.
Dia membeli satu bungkus Tortilla dan air jagung dari gerai bersebelahan gerai Tortilla tersebut.
Dalam perjalanan ke motorsikalnya, dia terlihat seorang lelaki sedang terduduk di tepi pejalan kaki. Dia memakai topi ‘beanie’. Baju, seluar dan jaketnya kelihatan lusuh. Berjambang dan bermisai tebal seakan-akan telah berabad tidak dicukur. Kotoran-kotoran hitam melekat di kulit muka dan tangannya serta pada pakaiannya. Kurus tubuhnya. Tangannya memegang erat perutnya. Tahulah Ahmad itu ialah seorang gelandangan yang sedang kelaparan. Memikirkan kehidupan dirinya dengan lelaki itu bagai langit dengan bumi. Ahmad berasa sayu.
Dia mendekati lelaki tersebut seraya berkata “Cik, ambillah ni.” Dia menghulur makanan dan air minuman yang baru sahaja dibelinya. Hendak merasa sedikit pun tidak mampu lagi.
“Kesusahan yang aku rasa sangatlah sedikit jika nak dibanding dengan orang ini. Apa yang dilaluinya aku tidak tahu, cuma Allah yang tahu. Aku tak mahu menilai apa-apa. Mungkin dia dah berusaha namun masih belum berjaya.” Bisik hati Ahmad.
Gelandangan tersebut mengambil makanan yang dihulurkan Ahmad tadi perlahan-lahan. Apabila dia menyentuh bungkusan makanan dan minuman dengan kedua tangannya, tiba-tiba…
Ahmad berdiri semula di dalam ruang yang dia masuki tanpa sengaja di pantai tadi. Dia berdiri tegak dari posisi membongkoknya untuk memberi makanan kepada gelandangan tadi. Dia terpegun.
“Ruang ini lagi…” Kata Ahmad terpegun.
Masih lagi kosong. Tiada orang.
“Apa makna rezeki bagimu?” Suara orang tua tadi kedengaran. Soalan yang hampir sama, namun topik berbeza.
Lalu, kelihatanlah semua entiti yang ada seperti pertama kali Ahmad tiba di ruangan tersebut. Seorang tua, seorang kanak-kanak dan seekor lembaga hitam. Kedudukan sama. Warna ruangan sama.
“Rezeki?” Tanya kanak-kanak tersebut yang kebingungan.
“Rezeki tu mudah kata suatu pemberian daripada Allah.” Jawab lelaki tua tersebut.
“Oh… macam makananlah, sebab cikgu cakap, makanan tu rezeki. Lepastu kita baca (Allahumma barik lana fima razaqtana waqina ‘azabannar). Maksud dia, Ya Allah berilah kami keberkatan di dalam apa yang kau rezekikan kepada kami dan peliharalah kami dari azab api neraka. Amin” Kanak-kanak itu membaca sambil menekup kedua telapak tangan ke muka.
“Itu adalah salah satu dari cabang rezeki.” Ringkas balasan orang tua itu.
“Rezeki… Jika bicara tentang rezeki, kebanyakan orang di usiaku memikirkan yang rezeki cuma datang dalam bentuk harta. Rumah dan kereta yang mewah, barangan-barangan berharga dan segala macam harta benda. Ianya sumber keseronokan dan kegembiraan bagi mereka termasuklah diriku. Dengan harta banyak nikmat yang boleh dikecapi dan dibeli.” Ahmad meluahkan isi hatinya.
“Hmmm… Namun, tak semua anak muda berfikiran begitu. Ada yang sudah mula memandang rezeki dari sudut yang pelbagai. Dengan ilmu yang mereka peroleh, aspek rezeki dipandang melalui mata hati, bukan mata fizikal semata.
Anak yang soleh, isteri yang solehah, ilmu yang bermanfaat, kesihatan tubuh badan baik yang zahir atau yang batin dan umur yang diberkati dengan menggunakan usia sebagai jambatan mencari keredhaannya. Itu semua adalah rezeki yang jarang terlihat pada mata manusia.
Tangan yang mereka guna untuk makan, kaki yang mereka guna untuk berjalan, mata untuk melihat, telinga untuk mendengar, mulut untuk berbicara, kulit untuk merasa dan banyak lagi yang tak mampu untuk aku senaraikan.
Kerana hakikatnya, banyaknya anugerah tuhan yang telah dikurniakan kepada hambanya. Tanda kasih sayangnya.” Panjang jawapan orang tua itu.
Kanak-kanak tadi masih berdiam. Tidak memahami banyak perkara yang dibicara. Namun sekali-sekala menganggukkan kepala menandakan dia cuba untuk menghadam kata-kata orang tua tersebut.
“Namun, kadangkala apabila manusia tidak mendapat apa yang diminta, mereka merungut. Mereka berkata ‘Mengapa aku tidak mendapat seperti apa yang orang lain dapat’ atau ‘Ini bukan apa yang aku inginkan, pasti ada yang lebih baik’. Sesungguhnya manusia adalah makhluk yang sangat sedikit bersyukur.” Sambung lelaki tua itu.
“Aku tak nafikan, itulah hakikat yang sebenar. Hakikatnya kebanyakan benda tersebut adalah kesenangan yang menipu. Manusia lupa kadang tuhan tidak memberi apa yang mereka minta untuk menyelamatkan diri mereka. Aku pun tidak terkecuali dari golongan tersebut…” Ahmad menyambung bicara lelaki tersebut.
“Benar…” Orang tua itu bersetuju.
Kanak-kanak tadi masih terus mengangguk setiap kali bicara dihabiskan.
Ahmad tersentak. Dia baru tersedar yang orang tua dan kanak-kanak dalam ruangan tersebut mampu mendengar bicaranya. Dia cuba melangkah mendekati salah satu dari keduanya namun tidak berdaya. Dia menoleh ke arah lembaga di salah satu sudut ruangan tersebut.
Kini, mata Ahmad benar-benar bertentangan dengan lembaga tersebut. Ahmad tidak tersedar akan pergerakannya langsung dalam ruangan tersebut.
Peluh mula mengalir di dahi Ahmad, turun ke pipi lalu ke dagu dan akhirnya jatuh dari wajahnya. Setitik demi setitik. Nafasnya tercungap-cungap.
Lembaga tersenyum menyeringai di hadapan Ahmad. Hati terus berdebar-debar. Tiada sepatah dua kata yang keluar dari sesiapa dalam ruangan tersebut. Sunyi.
“Mereka tak nampak ke makhluk mengerikan ini?” Bisik hati Ahmad yang masih ketakutan.
Makhluk itu mendekatkan wajahnya ke wajah Ahmad. Dekat. Semakin dekat. Rapat. Semakin rapat. Ahmad memejamkan mata. Beberapa detik kemudian, dia membukanya semula. Dia sedang berdiri dengan badan yang lencun dengan peluh. Bau busuk peluhnya boleh dihidu olehnya. Nampaklah yang dia benar-benar ketakutan.
“Cik?” Gelandangan yang masih terduduk sambil tangan memegang bungkusan plastik makanan tadi menegur Ahmad.
“Oh, maaf.” Ahmad melepaskan genggamannya dari bungkusan makanan tersebut. Hatinya masih ketakutan. Bukan perasaan puas yang dia rasa tetapi perasaan cuak. Cuak yang perkara sama akan berulang dari masa ke masa.
“Ini dah dua kali petang ni.” Bisik hati Ahmad. Dia melihat jam. ‘7.50’. Masa seakan-akan tidak bergerak apabila dia masuk ke dalam ruangan bersisi tiga tadi.
“Terima kasih. Semoga tuhan merahmati kamu.” Kata gelandangan tersebut tanda bersyukur dengan rezeki yang diperoleh.
“…” Ahmad diam. Tidak membalas. Masih terpegun dengan peristiwa yang berlaku lagi. Dia berjalan pantas beredar dari kawasan tersebut dan melulu ke arah motorsikal yang diletak di tepi jalan tadi.
“Ni sebab aku belum solat Maghrib lagi ni.” Bisik hatinya lagi.
Motor ditunggang, enjin dihidupkan, helmet dan jaket motor disarung serta destinasi seterusnya dituju. Masjid. Dia mahu ke masjid. Melunaskan tanggungjawab sebagai seorang hamba kepada Sang Pencipta.
Walaupun hidup mewah, Ayah Ahmad juga mengajar untuk sentiasa patuh akan ajaran agama. Walau seringkali ada larangan yang Ahmad langgar. Namun dia tekad untuk tidak melakukan yang berlebihan. Syukur buat dirinya, dia dikelilingi dengan orang-orang yang patuh akan ajaran agama. Jadi, seringkali juga dia mendapat peringatan demi peringatan. Walaupun ada masa, sebahagian dari mereka tidak tahan dengan sikap dan mentaliti Ahmad, lalu pergi meninggalkannya, Ahmad tekad dia akan terus berusaha menjalani hidup sebagai seorang Muslim dengan apa adanya.
“Assalamualaikum warahmatullah.” Salam pertama diberi sambil kepala Ahmad menoleh ke kanan.
“Assalamualaikum warahmatullah.” Salam kedua diberi sambil kepadanya ditoleh pula ke kiri.
Walaupun yang wajib cumalah salam pertama, namun sudah menjadi kebiasaan bagi kebanyakan orang untuk melakukan perkara-perkara sunat dalam solat dengan memberi salam kedua dan pelbagai lagi bacaan sunat dalam solat.
Ahmad duduk seperti sedang melakukan duduk antara dua sujud, lalu memulakan wirid.
8.20. Masjid itu tidaklah terlalu jauh dari kawasan pasar malam tadi. Oleh itu, Ahmad mengambil masa sedikit sahaja untuk sampai ke masjid tersebut. Masih belum masuk waktu isyak kerana waktu solat kini lebih lambat dari masa sebelumnya. Ahmad melakukan wirid selepas solat lalu menadah tangan dan berdoa.
Di hujung-hujung doa tersebut, dia berdoa dan meluahkan kepada pencipta akan peristiwa yang telah berlaku dua kali petang ini sahaja. Dia amatlah keliru.
Kedua-dua telapak tangannya menekup ke muka. Ianya merupakan salah satu adab dalam berdoa. Adab-adab berdoa termasuk menghadap ke arah kiblat, dalam keadaan berwudhu dan banyak lagi.
Ahmad duduk beriktikaf di sayap kanan masjid sambil badan menyandar ke arah dinding masjid. Menunggu waktu isyak tiba. Dia membuka aplikasi Al-Quran di telefonnya dan mula membaca surah-surah yang lazimnya dia baca selepas selesai Solat Maghrib. Surah Al-Waqiah.
Setibanya masuk waktu solat, Ahmad menunaikan solat secara berjemaah di masjid tersebut. Selesai solat dia berehat di tempat dia membaca al-Quran sebelumnya. Dia berbaring. Kakinya menghadap ke arah pintu keluar masjid. Bertentangan dengan arah kiblat. Dia melelapkan mata sambil lengan kanannya diletakkan di atas garisan mata. Mulut terus beristighfar. Sedikit demi sedikit kesedarannya hilang.
9.30. Ahmad terjaga semula dari tidur sekejapnya. Dia terdengar suara ramai orang yang sedang berbual-bual. Perlahan-lahan lengan dialihkan dari muka dan mata dibuka. Terkedip-kedip matanya. Kesedarannya masih belum sempurna. Dia duduk dengan keadaan kakinya melunjur ke arah pintu keluar masjid sama seperti posisi tidurnya tadi. Dia menoleh ke arah kanannya dan dia terlihat ramai orang sedang berkumpul. Orang lelaki ramai yang duduk dan berdiri di bahagian yang dia sedang tidur tadi. Orang perempuan pula berkerumun di bahagian yang satu lagi.
Ahmad berasa kekok dan disebabkan dia tidak mahu mengganggu apa-apa majlis dia keluar dari ruang solat dalam masjid tersebut dan pergi ke ruangan solat luar. Di meletakkan kedua lengan di atas pagar sambil kepalanya diturunkan, cuba untuk mengumpulkan semula kesedarannya. Mamai. Itulah yang dia rasa. Masih terhuyung-hayang keadaan sekeliling.
Ahmad nampak masih ada orang juga yang sedang menunggu di luar. Berbual-bual dan bersantai. Telinga Ahmad terdengar sedikit perbualan orang-orang kebanyakan tersebut.
“Tahniah Pak Hamid, akhirnya anak lelaki kau berjumpa juga dengan kekasih hatinya.” Kata seorang pak cik tua kepada seorang lelaki tua yang lain. Lelaki tua tersebut kelihatan sangat bersyukur dan gembira dengan sekali-sekala tangannya mengusap-usap kawasan kelopak matanya dengan jari jemarinya.
Perkahwinan. Suatu tanggungjawab yang besar tetapi ramai orang yang terlepas pandang baik dari pihak lelaki mahupun dari pihak wanita. Bukan sekadar hanya perlu bersedia dengan harta. Bukan sekadar hanya menuturkan dengan kata bahawa diri ini sudah bersedia. Namun, perlu persediaan rapi dari pelbagai aspek. Tidaklah mahu perkahwinan itu bersifat sementara.
Tidaklah mahu ianya hilang serta merta. Sudah tentu kedua-duanya mahu saling membantu dan melengkapi antara satu sama lain. Sudah tentu kedua-duanya mahu bertemu dengan insan yang sanggup menerima kekurangan diri sendiri. Saling memperbaiki. Saling menyayangi. Saling merindui. Semuanya kerana hanya mengharap keredaan Ilahi.
Terdetik dalam hati Ahmad akan perpisahan dengan tunangnya. Dia juga hampir merasa apa yang dirasai insan yang beruntung malam itu. Namun, apakan daya, semuanya sudah ketentuan bahawa wanita tersebut bukanlah yang terbaik untuk dirinya. Sekurang-kurangnya bukan sekarang.
Sedang Ahmad termenung, dia beralih menghadap ke arah kanannya untuk keluar dari ruang solat tersebut dan pulang ke rumah. Satu langkah ke hadapan, dia kembali semula ke ruang bersisi tiga tadi. Kali ini kurang rasa takutnya. Dia cuma menghela nafas perlahan-lahan tanda sedang mengeluh.
“Ruang ni lagi…” Ahmad mengeluh.
“Apa makna jodoh bagimu?” Sekali lagi orang tua yang sama bersuara. Namun kali ini Ahmad berasa di penjuru bahagian bilik berwarna hitam. Dia boleh melihat kanak-kanak dan orang tua itu duduk 60° dari tempat duduknya. Kiri dan kanan. Dia menoleh. Tiada kelibat lembaga hitam yang cuba menerkamnya tadi. Dia terpempan. Sangat terkejut. Dia yang berdiri, perlahan-lahan duduk di atas sebuah kerusi bongkah yang tersedia di penjuru tersebut.
“Jodoh?” Sekali lagi juga kanak-kanak itu yang mula bertanya. Kebingungan. Mungkin itu adalah perkataan yang jarang didengari olehnya kerana usianya.
“Mungkin soalan ini terlalu sukar untuk kanak-kanak.” Kata lelaki tua itu perlahan namun masih dapat didengari oleh Ahmad.
“Bagitahulah…” Rungut kanak-kanak itu.
“Bahasa mudahnya, ianya ialah pasangan hidup. Ianya boleh melibatkan perkahwinan, pertunangan mahupun cuma pertemuan.” Jelas lelaki tua itu.
“Oh… Dekat sekolah adalah orang main kahwin-kahwin.”
Lelaki tua itu menepuk dahi. Menundukkan kepala sambil menggeleng-gelengkannya. Kecewa, mungkin itulah yang dirasa.
“Budak-budak zaman sekarang.” Sambungnya.
“Jodoh… Pertemuan antara seorang lelaki dan seorang wanita. Namun bagi seorang lelaki, perlulah dia mencari wanita yang baik dan solehah. Seperti sabda Nabi SAW, ‘Seorang wanita dinikahi kerana empat sebab: Kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Maka hendaklah kamu merebut yang empunya agama, itulah pilihan terbaik’ (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim). Dari aspek harta, adakah dia kaya ataupun tidak. Dari aspek keturunan, adakah dia berasal dari keturunan yang baik-baik belaka. Dari aspek kecantikan, adakah dia mempunyai rupa paras yang menawan hati dan dari aspek agamanya, adakah dia memahami dan mengamalkan ajaran agama yang benar.” Ahmad menjawab panjang lebar.
“Benar, tetapi jangan kau lupa. Jika lelaki boleh memilih siapa calon peneman hidupnya, wanita juga boleh. Sabda Nabi SAW juga ‘Apabila datang kepada kamu peminang yang engkau puas hati dengan agama dan kelakuannya, maka kahwinkanlah dia.
Jika tidak kamu lakukan, akan berlaku fitnah di atas muka bumi, dan kerosakan yang berpanjangan.’ (HR At-Tirmidzi). Jadi pihak lelaki jangan leka kerana tanggungjawab mereka lebih besar jika nak dibanding dengan pihak perempuan. Apabila sudah berkahwin, bukan ibu bapa kandung sahaja yang perlu difikir, tetapi ibu dan bapa mertua juga menjadi tanggungan. Isteri. Anak-anak. Serta banyak lagi tanggungjawab yang perlu diambil kira.” Jelas semula lelaki tua itu.
“…” Ahmad diam. Dia tahu semua perkara tesebut.
“Semuanya akan ditanya apabila tiba masanya. Jadi janganlah anak muda cuma melihat perkahwinan itu sebagai keseronokan semata. Namun lihatlah ia sebagai tanggungjawab untuk memimpin ke arah mencapai keredaan Yang Maha Esa, memimpin ke syurga bersama-sama.” Dia menyambung.
“Dan janganlah pula kau lihat sebahagian tanggungjawab itu cuma perlu dilakukan oleh sang isteri. Kau bertanggungjawab ke atas isteri dan anak-anakmu kelak. Memberi nafkah, tempat tinggal, pakaian, makanan dan pelbagai lagi. Tidak lupa tugas-tugas di rumah yang perlu dilakukan oleh sang suami. Tanggungjawab sang isteri? Jagalah hati suaminya dan patuhilah dia selagi ianya tidak bertentangan dengan syariat agama.” Dia menghabiskan bicaranya.
Ahmad hanya khusyuk mendengar. Dia melihat ke arah kanak-kanak tadi pula dan jelas kelihatan di wajahnya bahawa di tidak memahami apa-apa. Dia menoleh semula ke hadapan dan perkara sama berulang. Sedang ditenung seekor lembaga ke arahnya. Kali ini dia tidak takut. Tahulah dia bicara dalam ruangan ini telah tamat untuk kali ini. Dia memejamkan mata. Tersedarlah dia di tangga masjid tersebut, menuruni ke tempat parkir kereta.
Dia reda akan ketentuan ini. Dia berjalan
seperti biasa ke motorsikal. Mengulangi rutin sama pada petang tersebut sehingga malam dan pulang ke rumah. Tidak menghiraukan keadaan sekeliling yang semakin bising. Bising dengan bunyi kegembiraan orang sekeliling akan majlis akad nikah di masjid tersebut malam itu.
Ahmad mengerang kesakitan. Satu lagi torehan telah dilakukan ke bahagian paha kirinya. Sakit bercampur nikmat terasa. Dia berjanji untuk tidak melakukannya lagi namun dia tidak mampu menahan dirinya malam itu. 14 hari. Itulah jumlah hari dia mampu bertahan untuk tidak mencederakan dirinya sendiri. Air mata mula mengalir dari kelopak matanya.
“Sakit… Sakit… Sakit…” Satu perkataan yang terus diulang-ulang olehnya.
Boleh dikatakan dia tidak menyukainya tetapi perasaannya terus mengatakan dia perlu melakukannya malam ini untuk memastikan yang dia benar-benar masih hidup. Itulah di fikirannya kerana apa yang berlaku hari itu tidaklah seperti sebuah realiti hidup.
Darah mulai mengalir dari pahanya turun ke bahagian betisnya lalu terus ke kaki dan ke lantai. Dia terus mengerang kesakitan. Semakin sakit. Tercungap-cungap nafasnya.
“Mad… Buat apa dalam tandas lama-lama tu.” Ibunya memanggil dari luar sambil mengetuk-ngetuk pintu tandas.
Ahmad tidak mendengar. Dia seolah-olah berada dalam dunianya sendiri. Bukan ibunya tidak tahu tabiatnya ini, namun banyak kali sudah diingatkan dan dibawa berjumpa dengan pakar.
Masalah mental yang timbul dalam diri Ahmad sudah lama sejak dia di sekolah menengah lagi dan sudah lama juga dia cuba merawatinya. Bermacam cara telah dilakukan. Jika nak dibandingkan diri dia yang kini dengan yang dahulu, sudah tentu yang dahulu lebih teruk.
“Mungkin satu lagi tak mengapa.” Kata Ahmad seolah-olah telah meresap masuk ke dalam dunia lain.
Satu lagi torehan. Badannya lelah. Nafasnya seakan-akan tidak cukup. Mungkin kali ini torehannya lebih dalam. Mata menjadi sayu. Perlahan-lahan matanya mula tertutup. Sebelum matanya betul-betul tertutup, dia ternampak kabur-kabur ibu dan bapanya di depan pintu tandas. Ayahnya berjaya membuka pintu tandas yang berkunci secara paksa. Badannya terhuyung-hayang sebelum dia jatuh dan matanya tertutup sepenuhnya.
“Apa makna ajal bagimu?”
Ahmad tahu kitaran ini.
Ahmad membuka mata. Perkara yang sama berlaku seperti mana dia di masjid tadi.
“Ajal?” Tanya seorang kanak-kanak.
“Kematian.” Orang tua itu menjawab ringkas.
“Oh, dia tak boleh bergerak, bercakap, melihat…” Kanak-kanak itu memberi jawapan sambil jari-jemarinya mengira sebanyak perbuatan yang mungkin.
Ahmad diam termenung ke arah lantai. Dia mula terfikir yang warna-warna dinding, lantai dan siling ruangan tersebut tidak diwarnakan secara rawak tetapi ada maksud tersendiri.
Dia mula terfikir akan perbuatannya tadi. Risau. Takut. Menyesal. Adakah ini perasaan orang yang telah mati?
Orang tua di bilik tersebut cuma memperhatikan dari jauh. Merenungnya.
“Kau masih belum mati, kalau kau sudah mati, bukan ini tempatnya.” Dia memberitahu, memberi harapan kepada Ahmad bahawa dia masih hidup dan ini cumalah sebahagian daripada ketentuan dalam hidupnya.
“Baik, jika kau mahu tahu… Aku nampak kematian ini sebagai salah satu cara untuk aku keluar dari hidup ni. Hidup yang menyeksakan, hidup yang menyengsarakan. Overthinking. Depression. Stress. Hidup ini tiada makna apa-apa. Kadang aku berharap aku tak pernah pun hidup. Ataupun bagilah hidup ini pada orang lain.” Ahmad menerangkan, meluahkan perasaannya.
“Jadi kau nak berkata bahawa tuhan yang maha sempurna itu membuat silap?” Tanya orang tua itu.
Ahmad tersentak. Dia perlahan-lahan membongkokkan badannya dan menekup mukanya dengan kedua-dua tangan.
“Memang benar aku tak lalui apa kau lalui, tapi kau juga tak lalui apa aku lalui. Hidup ini ialah ujian dan sememangnya dunia ini tak patut pun terlihat indah di mata kau.” Suaranya agak tinggi kali ini.
“Dunia ini ialah penjara bagi orang yang beriman dan syurga bagi orang kafir (HR Muslim). Memang dunia ini bersifat susah kerana iman kau akan diuji. Hakikatnya kematian bukanlah pengakhiran tetapi permulaan bagi hidup yang sebenar. Hidup ini masih jauh. Kau masih ada banyak alam lagi untuk dilalui sebelum kau pulang ke kampung halaman sebenar kau. Namun, kalau ujian dunia kau tak mampu nak tanggung apatah lagi seksa azab di akhirat nanti.” Dia terus menyambung bicaranya seolah-olah mengetahui akan cubaan Ahmad mencederakan dirinya sendiri.
“Ada banyak lagi benda aku nak bicara pada kau, namun kita tak ada banyak masa.”
“Tolong, kongsikan sedikit sahaja lagi.” Suara Ahmad teresak-esak. Dia tak tahu pada siapa perlu dia luahkan. Tiada yang faham dirinya.
“Jika kau mahu meminta bantuan, mintalah pada Tuhan. Pulanglah pada Dia. Sesungguhnya ujian dunia adalah untuk menyedarkan kau bahawa kehidupan di dunia tidaklah seindah jika hendak dibanding dengan kehidupan di sana. Bertaubatlah. Sesungguhnya ramai yang telah pergi meminta untuk dihidupkan semula. Selagi jasad masih dikandung badan, carilah reda-Nya, kuatkan iman, tuntutlah ilmu-Nya yang luas yang tiada sempadan. Hakikatnya kita manusia dan kita tak mampu melakukan segalanya, namun tidak bermakna kita boleh meninggalkan segalanya. Kita masuk ke syurga bukan kerana amalan kita, tetapi kerana keredaan-Nya. Sesungguhnya kemenangan yang sebenar adalah apabila diselamatkan dari api neraka dan masuk ke dalam syurga-Nya bersama-sama rahmat-Nya.” Orang tua itu menghabiskan bicaranya.
Ahmad hanya mampu termenung.
Suasana menjadi sunyi. Tiada yang berbicara. Nampaknya inilah penghabisan sesi kali ini. Ahmad menanti. Dia tahu sepatutnya lembaga hitam itu datang menjenguknya. Dia tutup dan buka matanya berkali-kali. Menoleh ke kanan dan kiri. Berharap dapat keluar dari ruangan menyesakkan ini.
Kini, dia mampu berdiri. Dia berjalan ke arah orang tua itu tetapi setiap langkah bukan mendekatkannya dengan orang tua itu. Dia berasa semakin jauh selangkah demi selangkah. Akhirnya, orang tua itu perlahan-lahan menghilang. Dia menoleh ke arah kanak-kanak tersebut pula, dia berlari pula ke arahnya. Sama juga. Semakin Ahmad mendekat, semakin kanak-kanak itu terasa menjauh dan akhirnya menghilang sambil kanak-kanak tersebut melambaikan tangan dengan penuh senyuman.
Ahmad kembali ke tengah ruangan tersebut. Warna hitam dari satu sudut perlahan-lahan memenuhi ruangan tersebut. Ahmad hanya mampu menoleh kiri, kanan, depan dan belakang. Dia terpegun dan belum sempat peluhnya hendak menitik dari wajahnya, lantai ruangan tersebut seolah-olah terjatuh ditarik graviti mengiringi Ahmad juga ke bawah. Ke mana? Dia sendiri tidak tahu. Dia hanya mampu memejamkan mata. Dia mengucapkan dua kalimah syahadah andai kata ini adalah ajalnya.
Jatuh…
Jatuh…
Terus jatuh…
Ahmad pun membuka mata. Dia terlihat kelibat lembaga hitam dari ruangan tersebut, dia terdiam, cuba memastikan bahawa ini ialah realiti. Dia mula meronta apabila dia tersedar yang ini ialah realiti. Dia menjerit ketakutan.
“Mad, mad, oh mad…” Hazri di sebelahnya memanggilnya.
“Bawak istighfar, apa terjerit-jerit ni.” Sambungnya lagi.
Dia menoleh semula ke hadapan. Cuma ilusinya sahaja. Dia menghela nafas lega.
“Haish kau ni, buat aku risau je.” Hazri menyambung.
“Kau tahu tak lepas aku jumpa kau tu banyak benda pelik jadi.” Ahmad menjawab.
“Benda pelik apa pulak ni.”
“Banyak. Aku masuk satu ruang ni, ada orang tua, kanak-kanak pastu lemba…”
“Dah dah, aku tak nak dengar kau cakap perkataan tu.” Belum sempat Ahmad menghabiskan bicara, Hazri telah memotong kata-katanya. Hazri memang tidak suka akan perkara-perkara tersebut. Dia akan cuba mengelak.
“Aku kat mana ni?”
“Hospital.”
“Yang kau memandai-mandai cederakan diri buat apa?” Ahmad cuma mampu terdiam.
“Kau tahu kan dosa buat benda-benda tu. Kalau kau mati macam mana? Kan tak sia-sia je.”
Ahmad masih terdiam.
“Aku kawan kau, cerita jelah masalah kau dekat aku. Takkan sebab tak dapat kahwin kau nak buat benda tak betul. Hidup kita ni jauh lagi sebenarnya. Banyak lagi benda kita kena lunaskan.”
“Bagi aku nasihat, Haz.”
“Yang ni semua bukan nasihat?”
“Tak.”
“Haish kau ni. Nasihat apa kau nak?”
“Nasihat tentang kehidupan.”
“Aku pun tak tahu nak nasihat apa kalau kau cakap macam tu. Umum sangat.”
“Bagi jelah apa-apa.”
“Yelah, yelah. Dalam hidup ni, kadang apa yang diharapkan takkan selalunya kita dapat sebab dunia ni bukannya syurga. Kita merancang, Allah juga merancang namun rancangan Allah lah yang paling baik.”
“Lagi Haz, lagi.”
“Kau pernah dengar tak kisah…”
Dari luar bilik tersebut kelihatan seorang lelaki berpakaian kemeja kemas dan berkot putih ditemani seorang lelaki dan seorang wanita.
“Dia bercakap dengan siapa, doktor?” Tanya wanita tersebut kepada orang yang digelar doktor itu.
“Halusinasi, cumaa dia mampu nampak dengan siapa dia bercakap.” Doktor itu membalas.
“Boleh dirawatikah masalah ni?”
“Akan mengambil masa yang lama.” Berat luahan doktor tersebut.
“Mari ikut saya.” Sambung doktor tersebut.
Wanita dan lelaki tersebut mengikut jejak langkah doktor tersebut.
Tertera di pintu tersebut.
‘Nama: Ahmad Bin Fazrul’
‘Umur: 27 tahun’
‘Penyakit: Schizophrenia’
– TAMAT –
Penulis: Akmal Zulfadhli