Segala perkara yang kita lakukan pastikan ia mengikut panduan Baginda Nabi Muhammad SAW. Belakangan ini, ramai sahabat dan kenalan memasang niat memasuki alam baru rumah tangga. Satu niat yang baik, bahkan ia dianggap dalam Islam sebagai penyempurna  iman. Dalam hieraki maratib amal yang disusun oleh  Imam Hassan al-Banna, ia dikenali sebagai bait muslim (rumah tangga bercirikan Islam). 

Tetapi terkadang ‘adat’ mengekang niat baik sebahagian remaja umat Islam kerana ketetapan mahar atau hantaran yang mencecah belasan atau puluhan ribu. Mari kita renung panduan Nabi kita dalam masalah ini. 

Sabda Nabi SAW dalam Musnad Imam Ahmad: 

عَنْ عَائِشَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أَعْظَمُ النِّسَاءِ بَرَكَةً أَيْسَرُهُنَّ مَئُونَةً

Dari Aisyah dari Nabi SAW bersabda: ” Wanita yang paling besar berkahnya adalah yang paling ringan maharnya.” (Hadis No. 23966)

Ringan mahar itulah panduan Nabi SAW dan jaminan Baginda SAW pada lebih berkahnya. Kalau bukan kata Nabi SAW sebagai panduan kita, siapa lagi? Yakin dengan panduan Nabi SAW ialah kunci kebahagiaan.

Ada satu kisah menarik diceritakan dalam kitab Hilyatul Awliya’ tentang berkah ringannya mahar dan pemilihan agama sebagai keutamaan dalam memilih pasangan hidup. Kisah pemuda yang bernikah dengan mahar dua dirham. Ya, hanya dua dirham sahaja. Ada pendapat sebut, maharnya satu dirham dan sebentuk cincin besi sahaja.

Siapa tak kenal Sa’id bin Musayyab, seorang kibar tabi’en. Beliau ada seorang anak perempuan, namanya Rubab. Wanita yang terjaga, perawan, cantik serta ilmu penuh di dada. 

Suatu hari, berita tentang anak gadis ini sampai kepada khalifah Abdul Malik bin Marwan. Dia langsung menghantar utusan melamar untuk anaknya, al-Walid. Setibanya utusan kepada Sa’id bin al-Musayyab, terus disampaikan hajatnya. Malangnya, Sa’id menolak lamaran tersebut.

Pelik bukan? Bagaimana Sa’id bin Musayyab menolak sedangkan lamaran itu datangnya dari khalifah, pasti anaknya akan hidup kaya raya dan senang. Si ayah pasti mengharapkan yang terbaik untuk anak gadisnya. Jadi, yang terbaik di sisi ayah yang faham agama ialah panduan dari Baginda Nabi SAW.

Beliau menolak kerana anak khalifah tersebut akhlaknya tidak baik, sedangkan Nabi SAW mengajarkan untuk mengutamakan agama dalam memilih.

Dipendekkan cerita, dalam majlis pengajian Sai’d bin Musayyab, ada seorang yang sentiasa hadir pengajiannya tetapi sudah tiga hari dia tidak hadir ke kelas, namanya Ibnu Abi Wada’ah. Memang dia dikenali oleh gurunya kerana keilmuannya, adabnya dan baik agamanya. Apabila dia kembali hadir ke kelas, Sa’id bertanya: ” Ke mana kamu pergi selama tiga hari? “.

” Isteriku telah meninggal dunia dan aku sibuk menguruskannya… “, jawab sang murid ringkas. 

” Apakah kamu mahu menikah lagi?”, tanya Sa’id.

” Moga Allah merahmatimu, guru. Siapalah yang mahu menikahkan aku dengan anaknya, sedang aku hanya ada dua atau tiga dirham sahaja..”, balasnya.

” Bahkan aku! Aku akan menikahkanmu dengan anakku”, sambut sang guru. 

Sa’id pun mengucap hamdalah, selawat dan mengahwinkan muridnya itu dengan anaknya dengan mahar dua dirham. 

Gembira hati pemuda ini pulang ke rumah. Dia terus solat Maghrib dan berbuka puasa. Dikeluarkan sekeping roti dan minyak. Itulah makanan berbukanya hari itu. Memang hidupnya susah. 

Belum sempat dia menjamah makanan, terdengar ketukan di muka pintunya, ditanya siapa yang datang, dijawab: “Sai’d”. 

Dia mula berfikir Sa’id mana yang datang, kerana gurunya tidak pernah keluar melainkan ke masjid sahaja. Dibuka pintunya, terkejut dia dengan kedatangan sang guru, seraya berkata: 

” Bukankah telah kamu hantar surat padaku, nanti aku akan datang kepadamu.. “, kata Ibn Abi Wada’ah. 

” Tidak. Bahkan kamu lebih aula untuk aku datangi. Aku berasa tak enak seorang yang baru bernikah, membiarkannya keseorangan bermalam,” balas sang guru yang juga ayah mertuanya itu. 

Rupanya, anaknya Rubab dibawanya sekali. Ditarik lembut anaknya dan ditolak ke dalam rumah suaminya itu lalu ditutup pintu dan dia terus pulang.

Tersimpuh malu Rubab. Ibnu Abi Wada’ah pun melihat pada roti dan minyak yang belum dijamah tadi, lalu disembunyikannya kerana malu dilihat oleh Rubab nanti, betapa miskinnya dia.

Mati akal Ibnu Abi Wada’ah dibuatnya. Dia pun naik ke sutuh rumah, melempar batu ke rumah jiran meminta pendapat. Dia menceritakan bahawa dia telah dinikahkan oleh Sa’id bin Musayyab dengan anaknya secara mengejut, sedang dia tiada persiapan baginya. 

Lalu jirannya pun memanggil ibu Ibnu Abi Wada’ah, kata ibunya: 

“Kamu tidak boleh menyentuhnya melainkan selepas tiga hari..”, pesan ibunya. Ibunya mahu menyiapkan keperluan bagi isteri barunya itu. Dia pun akur. 

Setelah tiga hari, dia pun bertemu dengan wanita tersebut dan hidup bersamanya. Katanya: 

“Dialah perempuan yang sangat cantik, sangat kuat hafalannya pada Al-Quran, sangat alim tentang Sunnah Nabi SAW, dan sangat menjaga hak serta keperluan suaminya”.

Bahagialah hidup mereka dengan panduan Nabi SAW. 

Ringan dan sederhana mahar, elok agama itulah saranan Rasulullah SAW. Mahar yang mahal menyukarkan lelaki dan boleh mengundang perzinaan. Bukanlah bermakna perlu dua dirham seperti di dalam kisah ini, tetapi bersederhanalah dengan panduan Rasulullah SAW.

*******

Panduan buat wanita dan para wali dari Rasulullah SAW:

 قال ‏ﷺ: “إذا جاءكم من ترضون دينه وخلقه فزوجوه إلا تفعلوه تكن فتنة في الأرض وفساد كبير”.

Rasulullah SAW bersabda: “Jika seseorang datang melamar (anak perempuan dan kerabat) kalian, sedang kalian read pada agama dan akhlaknya, maka nikahkanlah dia. Jika tidak kalian lakukan, nescaya akan terjadi fitnah di muka bumi dan kerosakan.”

Bagi lelaki pula, ketika memilih utamakanlah unsur agama. 

قال النبي صلى الله عليه وسلم: “تنكح المرأة لأربع لمالها ولحسبها ولجمالها ولدينها فاظفر بذات الدين تربت يداك”

Sabda Nabi SAW: ” Wanita itu dinikahi karena empat hal, kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Maka pilihlah kerana agamanya, nescaya kamu akan beruntung.” 

Guru kami, Syeikh Abbas Shuman -hafizahullahu taala- pernah berpesan: 

” Bagi lelaki, carilah wanita dari keluarga yang beragama, kamu akan tahu dengan melihat maharnya, kalau sangat tinggi maharnya, tinggalkan dia dan carilah yang lain yang berpegang dengan panduan Nabi SAW. Dahulukanlah unsur agama ketika memilih, maka kamu akan memperoleh ketenangan.”

Ditulis oleh: Abdul Hadi Sayuti.


Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.