Man showing blank white square flyer brochure booklet. Leaflet presentation. Pamphlet hold hands. Man show clear offset paper. Sheet template. Booklet design sheet display read first person.

Dalam seumur hidup, kita sudah pasti pernah ternampak atau terserempak dengan seseorang yang berdiri di tengah-tengah kesibukan manusia yang lalu-lalang, memegang helaian-helaian kertas setebal ibu jari, mendekati sesiapa sahaja yang lalu di situ, dan memberi mereka setiap seorang sehelai selebaran (pamphlet atau flyer).

Sejujurnya, dahulu saya langsung tidak ambil endah akan kehadiran mereka. Jika ada yang mendekati dan memberi selebaran itu pun, saya tidak begitu peduli untuk membacanya. Bagi saya, mereka bukanlah pengacau. Cuma, sungguh cepat saya merasakan yang maklumat dalam selebaran itu tidak relevan untuk saya dan kehadiran mereka tidak memberi apa-apa makna signifikan.

Ketika saya berpeluang belajar di Iowa, Amerika Syarikat, saya berkesempatan untuk terlibat dalam beberapa aktiviti kesukarelawanan. Antara aktiviti yang pernah saya terlibat adalah Shelter Awareness Donation Drive anjuran Youth and Shelter Services, Inc (YSS), tempat saya menjalani latihan praktikal. Saya diberi tugas untuk menyebarkan selebaran kepada pengunjung yang membeli-belah di Staples yang terletak di bandar Ames.

Ini kali kedua saya terlibat dengan tugas memberi selebaran, dan saya cuba lihat dari perspektif yang berbeza.

Tugas memberi selebaran memerlukan saya untuk mendekati pengunjung yang mahu masuk ke kedai itu dan menceritakan serba ringkas tentang rumah kebajikan YSS. Saya juga memberitahu bahawa mereka boleh membantu dengan cara membeli apa-apa barangan yang terdapat dalam senarai dan menyumbangkannya ketika mahu pulang. Bagi saya, ia bukan satu tugas yang bukan mudah kerana saya bukanlah peramah, lebih-lebih lagi mahu memulakan perbualan dengan individu yang tidak dikenali.

Text, letter

Description automatically generated

Pelbagai reaksi yang boleh dilihat sepanjang dua jam saya di situ. Kita mungkin biasa dengar yang ‘mat saleh’ rata-rata sangat peramah, hakikatnya tidak semua begitu. Ada yang menyapa saya dahulu dan bertanya khabar. Ada yang senyum ketika mendengar, ada yang tidak. Ada yang nampak berminat untuk membantu, ada yang tidak. Ada juga yang daripada raut wajahnya seperti tiada perasaan, tidak kurang yang terus menggelengkan kepala sambil berkata, “Sorry, I’m not interested.”

Saya juga bertanggungjawab untuk mengumpul hasil pemberian mereka yang membeli sesuatu untuk didermakan. Yang menderma, ada daripada mereka yang memang kelihatan berminat ketika saya bercerita kepada mereka awal-awal tadi. Ada juga yang saya tidak jangka akan menderma kerana awal-awal lagi mereka tidak kelihatan seperti mendengar pun cerita saya. Ada juga yang awal-awalnya nampak berminat, tetapi keluar begitu sahaja tanpa memberikan sebarang sumbangan. Dan ramai juga yang tidak berminat mendengar dan tidak menyumbangkan apa-apa.

Dari jam 11 pagi hingga jam 1 petang saya berada di Staples sendirian, saya terfikir satu perkara.

Apakah motif seseorang memberi selebaran? Untuk memperkenalkan sesuatu yang baru, mengingatkan tentang sesuatu yang ramai sudah lupa, dan meminta satu-satu tindakan untuk dijalankan. Mudah cerita, ada mesej yang mahu disampaikan dengan harapan akan ada tindakan susulan daripada mereka yang menerima mesej tersebut.

Ia satu analogi yang sangat tepat dengan tugas seorang pendakwah.

Kita tidak boleh mengharapkan yang setiap individu yang mendapat mesej, akan terus mengambilnya, berfikir dan bertindak seperti yang dikehendaki. Paling tidak pun, bukan pada masa itu juga.

Ada yang mendengar, terus berfikir, dan terus bertindak. Ada yang mendengar, tetapi tindakannya muncul setelah beberapa tempoh kemudian. Ada yang nampak sahaja berminat ketika mendengar, namun hanya ketika itu sahaja. Kemudian, tiada langsung tindakan daripadanya. Ada yang dari awal lagi menzahirkan yang dia memang langsung tidak berminat untuk mengetahui. Ada juga yang nampak sahaja tidak berminat, namun dia jugalah yang melakukan sesuatu.

Kita tidak berkuasa untuk mengawal bagaimana individu lain memberi reaksi kepada apa yang kita sampaikan. Walaupun daripada raut wajah menampakkan yang dia bosan mendengar, tanggungjawab kita menyampaikan ajaran Islam tetap wajib dilaksanakan. Janganlah kita pula rasa berputus asa lantaran daripada reaksi yang kurang memberansangkan. Janganlah pula kita kemudiannya bersikap endah tidak endah terhadapnya. 

Daripada apa yang saya belajar dan faham dalam kelas Psikologi, kita terikut untuk bertindak seperti mana kita faham dan percaya akan reaksi individu lain terhadap kita. Fenomena ini dinamakan ‘self-fulfilling prophecy’.

Contoh, saya lihat ada pengunjung yang tidak menunjukkan minat ketika mendengar saya bercerita, lalu saya faham keadaan itu sebagai petanda yang dia tidak akan memberi apa-apa sumbangan. Saya pun mungkin putus asa kepadanya dan acuh tidak acuh sahaja ketika memberi keterangan. Pengunjung itu pula melihat saya yang acuh tidak acuh dan hilang keyakinan kepada saya sebagai yang memohon sumbangan. Dia pun tidak menyumbang, dan saya pula fikir yang memang betullah telahan saya yang dia tidak akan menyumbang kerana tidak menampakkan minatnya.

Apabila individu yang kita mahu sampaikan itu merasakan kita telah hilang minat terhadapnya, boleh jadi dia lebih-lebih lagilah hilang minatnya. Rugi. Kita mensia-siakan mereka yang berpotensi untuk berubah hanya kerana reaksi awal kita yang kurang memberansangkan. Mungkin yang kelihatannya tidak berminat itulah yang tergerak hatinya untuk berubah, dengan izinNya.

Seorang pendakwah tidak boleh ada perkataan putus asa dalam kamus hidupnya. Setiap perkara yang berlaku, sebarang penolakan, cacian atau sekadar tiada reaksi daripada mereka yang kita cuba untuk sampaikan, merupakan sebahagian daripada proses menyampaikan ajaran Islam. Sesungguhnya Rasulullah sendiri menghadapi penolakan daripada kaum musyrikin yang degil tidak mahu bersujud dan mentauhidkan Allah.

Seperti yang difirmankan Allah s.w.t. dalam Surah an-Nahl (surah ke-16), ayat ke-127. Maksudnya:

“Dan bersabarlah (wahai Muhammad terhadap perbuatan dan telatah golongan yang ingkar itu); dan tiadalah berhasil kesabaranmu melainkan dengan (memohon pertolongan) Allah; dan janganlah engkau berdukacita terhadap kedegilan mereka, dan janganlah engkau bersempit dada disebabkan tipu daya yang mereka lakukan.”


Disediakan oleh,

Syamim Binti Hashim

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.