Waktu pertama kali melihat buku ini sudah cukup membuatkan saya tertarik dengan kulit buku memberi gambaran sawah padi suasana seperti di kampung dan petani yang mengusahakan padi. Saya memilih untuk membuat resensi buku Ranjau Sepanjang Jalan karya Sasterawan Negara, Profesor Emeritus Dato’ Dr. Haji Shahnon bin Ahmad.
Buku Ranjau Sepanjang Jalan menceritakan perit jerih para petani meneruskan kehidupan dengan menanam padi sebagai sumber utama pendapatan. Watak Lahuma bersama isterinya, Jeha berjuang memberi kehidupan yang selesa kepada tujuh orang anak perempuan mereka supaya sentiasa cukup makan.
Peninggalan 14 relung bendang daripada bapanya perlu dimanfaatkan sebaik mungkin kerana bakal menjadi milik tujuh orang anaknya untuk dibahagikan kepada mereka meneruskan kehidupan. Namun, bila difikirkan tentang masa depan membuatkan Lahuma dihimpit rasa bersalah bimbang sekiranya 14 relung bendang ini tidak cukup kepada cicit sehingga muncul bisikan jahat supaya Lahuma tidak percaya pada rezeki Allah.
Lahuma telah diberikan didikan yang sempurna oleh datuknya, arwah Haji Debasa supaya sentiasa mengukuhkan keimanan dan kepercayaan kepada Allah, sebaik-baik perancang. Kepercayaan ini yang dipegang kuat Lahuma agar tidak takut dengan masa depan yang belum pasti dan kekal membanting tulang bersama Jeha.
Jika pesona Lahuma, seorang lelaki yang mempunyai prinsip dengan agama dan tidak mudah putus asa sebaliknya Jeha pula menjadi pelengkap buat hidup Lahuma. Pesona Jeha yang sentiasa setia berada di sisi Lahuma dalam menguruskan bendang wajar diberi pujian bagaimana kasih sayang generasi terdahulu sangat suci dan ikhlas tanpa menjanjikan materialistik semata-mata seperti zaman sekarang. Jeha percayakan Lahuma yang menjadi ketua keluarga tanpa merungut membesarkan tujuh orang anak mereka walaupun serba kekurangan. Bagi Jeha, pengorbanan Lahuma memastikan mereka sekeluarga tidak kebuluran sudah cukup menjadi bukti kasih sayang daripada Lahuma tanpa mengharapkan balasan lain.
Tambahan pula, proses menguruskan bendang bukan satu kerja yang mudah. Lahuma perlu berjuang selama beberapa bulan memastikan padi selamat masuk ke dalam jelapang dengan pelbagai cabaran yang mendatang. Kebergantungan kepada Allah perlu menebal dalam diri manusia kerana segala sumber pendapatan hanya bergantung pada padi.
Saya percaya penulis mahu kita berfikir tentang kesukaran petani berjaga siang dan malam melindungi padi mereka dengan nyawa dari ancaman binatang, bencana alam, penyakit yang melanda atau apa sahaja cabaran lain. Sudah pasti buku ini mahu menceritakan perit jerih petani yang tidak menerima manfaat yang sewajarnya daripada kerajaan ketika tahun sebelum itu kerana kita tahu penulis seorang yang lantang bersuara terhadap kebajikan penduduk desa.
Tragedi yang menimpa Lahuma sudah cukup membuatkan pembaca terkesan kerana walaupun diambang uzur tapi masih tetap mahu memperjuangkan bendang dek terkenang nasib sukar bakal dilalui keluarganya. Lahuma akhirnya meninggal dunia manakala Jeha menjadi tidak waras kerana kehilangan suami tersayang. Saya sangat sarankan kepada semua untuk membaca buku Ranjau Sepanjang Jalan. Moga-moga buku ini membuatkan kita mempunyai empati terhadap nasib para petani.
Disediakan oleh: Syazwan Syazan