Perang Badar

Sejarah telah mencatatkan pada tanggal 17 Ramadan tahun kedua hijrah, tercetusnya sebuah peperangan pertama dalam Islam yang disebutkan sebagai Perang Badar al Kubra. Peperangan ini dinamakan sebagai Badar kerana tempat berlakunya perang tersebut di sebuah lembah bernama Badar. Kedudukan Badar agak strategik kerana terletak antara Makkah dan Madinah.

Dalam catatan sirah, seperti yang telah dinukilkan oleh Syeikh Safiyyurrahman al Mubarakfuri dalam kitabnya ar-Rahiq al-Makhtum, pada asalnya tentera Islam bukanlah mempunyai tujuan untuk mencetuskan peperangan. Sebaliknya, tujuan sebenar tentera Islam adalah untuk memintas rombongan pemimpin Makkah bersama Abu Sufyan dalam perjalanan pulang dari Syam. Tindakan ini dibuat bertujuan untuk melumpuhkan bekalan musuh yang berpangkalan di Makkah.

Namun dengan takdir Allah, tentera Islam telah berhadapan dengan tentera musuh yang datangnya dari Makkah dan jumlah mereka sangat besar dan melebihi jumlah tentera Islam. Bahkan, dalam catatan sejarah juga, Abu Jahal telah memaksa Bani Hashim untuk turut turun berperang menentang Nabi Muhammad SAW. Oleh kerana itu, tentera Islam bukan sahaja berdepan dengan musuh mereka bahkan turut mereka berdepan adalah dari ahli keluarga mereka di Makkah.

Peperangan ini telah menyaksikan jumlah tentera Islam lebih kecil berbanding jumlah tentera kaum musyrikin Quraisy. Disebutkan oleh Syeikh Safiyurrahman al Mubarakfuri, jumlah tentera Islam adalah seramai 300 dan beberapa belas orang sahabat yang terdiri daripada 82 atau 83 atau 86 orang-orang kaum Muhajirin, 61 orang-orang kaum Aus dan 170 orang-orang kaum Khazraj. Dengan kekuatan 2 ekor kuda milik Zubair al Awwam dan Miqdad al Aswad, juga 70 ekor unta yang ditunggangi secara bergilir-gilir bagi berdepan dengan pihak musuh.

Kekuatan tentera musyrikin Quraisy pula menyaksikan seramai 1300 orang askar pada peringkat permulaan. Dengan kekuatan sokongan sebanyak 100 ekor kuda dan 600 perisai digunakan dalam peperangan tersebut. Pasukan tentera ini diketuai oleh Abu Jahal bim Hisham. Peperangan ini juga menyaksikan penglibatan para malaikat membantu tentera Islam dan Iblis bagi memberi semangat kepada tentera kaum musyrikin Quraisy.

Meskipun jumlah tentera musuh lebih ramai berbanding tentera Islam, dengan bantuan dan pertolongan Nya, tentera Islam memperolehi kemenangan yang sangat hebat. Sebanyak 70 orang tentera musyrikin Quraisy terbunuh manakala 70 orang lagi telah ditawan. Baki yang lain telah melarikan diri dari medan peperangan. Pertempuran yang penuh dramatik yang berlaku pada bulan Ramadan ini membuktikan kepada kita bahawa pertolongan Allah itu benar dan sentiasa ada bersama orang-orang beriman.

Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 123 yang bermaksud :

“Sesungguhnya Allah menolong kamu dalam Perang Badar, sedangkan pada masa itu kamu orang yang lemah. Kerana itu bertaqwalah kepada Allah, supaya kamu mensyukuri Nya”

Imam Ibn Katsir ketika menjelaskan ayat ini, beliau menyatakan bahawa :

“Ketika saat terjadi Perang Badar yang bertepatan pada hari Jumaat tanggal 17 Ramadan tahun 2 Hijrah. Pada hari itu juga disebutkan (yaumul furqan) iaitu yang bermaksud hari pembezaan antara hak dan batil. Pada hari itu Allah Azza Wa Jalla memuliakan Islam dan kaum muslimin serta menghancurkan kesyirikan dan pendukungnya, padahal jumlah kaum muslimin yang turut berperang ketika itu sangat sedikit”

Kemuliaan yang dikurniakan oleh Allah kepada ahli Badar juga dapat kita lihat menerusi sebuah hadith Nabi SAW riwayat Bukhari, daripada Rifa’ah, salah seorang sahabat Nabi yang turut serta dalam peperangan Badar, beliau menyatakan bahawa Jibril AS mendatangi Nabi SAW dan bertanya :

“Bagaimana kalian memandang orang-orang yang ikut serta dalam perang Badar?, Rasulullah SAW menjawab : “Mereka termasuk kaum muslimin yang terbaik.” Jibril AS mengatakan : “Begitu juga para malaikat yang sertai dalam Perang Badar”

Syeikh Safiyurrahman al-Mubarakfuri dalam kitabnya al-Rahiq al-Makhtum menyebut :

“Hatib bin Abi Balta’ah menulis perutusan kepada Quraisy untuk mengkhabarkan kepada mereka tentang perjalanan Rasulullah SAW. Diberikan perutusan itu kepada seorang wanita dan wanita itu menyelitkan perutusan tersebut dalam gulungan rambutnya. Dia pergi menuju kepada kaum Quraisy. Kemudian, telah sampai kepada Rasulullah SAW berita dari langit yang memberitahu tentang apa yang dilakukan oleh Hatib. Maka Rasulullah SAW lalu mengutus Ali RA dan Miqdad RA dengan berkata: “Pergilah kamu sehingga sampai di Raudhah Khakh. Di sana ada seorang wanita yang membawa sepucuk perutusan kepada Quraisy.”

Maka kedua-duanya pergi dengan memacu kuda dengan pantas sehingga bertemu dengan wanita tersebut di tempat itu. Kedua-duanya terus menghampiri wanita itu dan bertanya: “Apakah engkau membawa perutusan?” Wanita itu menjawab, “Aku tidak membawa perutusan.” Kemudian mereka berdua memeriksa haiwan tunggangan wanita tersebut dan tidak menemui apa-apa.

Lalu Ali berkata kepada wanita itu, “Aku bersumpah atas nama Allah SWT, Rasulullah SAW tidak pernah berdusta. Demi Allah SWT, engkau keluarkan perutusan itu atau kami akan menelanjangkan engkau.” Melihat kesungguhan yang dipamerkan oleh Ali, wanita itu menjawab: “Aku akan keluarkan. Aku akan keluarkan.” Wanita itu lalu menguraikan gulungan rambutnya dan mengeluarkan perutusan tersebut. Dia menyerahkan perutusan itu kepada Ali RA dan Miqdad RA.

Kedua-dua mereka lantas membawa perutusan tersebut kepada Rasulullah SAW. Setelah dibuka, didapati di dalamnya tertulis: “Daripada Hatib bin Abi Balta’ah kepada Quraisy.” Di dalamnya, Hatib memberitahu berkenaan pergerakan Rasulullah SAW. Maka Rasulullah SAW lalu memanggil Hatib dan bertanya: “Apakah ini Hatib?” Hatib menjawab: “Jangan hukum aku wahai Rasulullah. Demi Allah, sesungguhnya aku ini beriman kepada Allah SWT dan Rasul-Nya. Aku tidak murtad dan tidak pula menukar agamaku. Hanya aku seorang sahaja anak pertama yang membesar di tengah Quraisy. Sebenarnya aku bukanlah saudara mereka, tetapi mereka sudi melayaniku sebagai keluarga, saudara dan anak mereka. Aku mempunyai saudara yang boleh melindungi mereka. Sedangkan orang-orang yang bersamamu adalah saudara mereka, yang sebetulnya boleh melindungi mereka. Disebabkan itulah aku ingin melakukan apa yang boleh aku lakukan untuk melindungi mereka.”

Umar bin al-Khattab RA lalu berkata: “Biarkan aku wahai Rasulullah. Aku akan pancung lehernya. Sesungguhnya dia telah mengkhianati Allah SWT dan Rasul-Nya. Dia seorang munafik.”

Rasulullah SAW menjawab:

“Sesungguhnya dia adalah termasuk orang yang ikut serta dalam perang Badar. Apakah engkau mengetahui, bahawa Allah SWT telah melihat (ke dalam hati) orang-orang yang ikut serta dalam Perang Badar, lalu Dia berfirman: “Lakukanlah apa yang kamu kehendaki, sungguh Aku telah mengampuni kalian.”

Kedua-dua mata Umar RA terus menitiskan air mata. Lantas dia berkata: “Allah SWT dan Rasul-Nya lebih mengetahui”

Demikianlah Allah SWT mengaburi setiap mata, sehingga berita persiapan dan keberangkatan tentera Islam untuk berperang tidak diketahui oleh Quraisy.”

Mengamati kisah peperangan dan kemuliaan bagi mereka yang menyertainya, membuatkan kita lebih motivasi dan mendapat inspirasi daripada kisah peperangan agung ini. Oleh itu, dengan mengambil semangat perang Badar al Kubra ini, mudah-mudahan kita berjaya mengharungi tarbiah Ramadan ini dengan penuh ketakwaan. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Disediakan oleh: Faidhi Azis


Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.