Menurut Prof. Dr. Hamka, kebebasan menyuarakan pemikiran itu haruslah terlebih dahulu difikirkan dengan matang dan penuh pertimbangan. Hal ini telah dinukilkan di dalam bukunya Falsafah Hidup Katanya,
“Suatu hasil pemikiran setelah matang difikirkan dan diyakini, merdekalah orang mengatakan ke hadapan umum. Kelak orang lain merdeka pula membantah dengan fikiran pula.”
Kematangan dan pertimbangan pemikiran yang dibahaskan mesti disokong fakta-fakta atau maklumat yang rasmi, sahih dan diyakini kebenarannya. Sesebuah pengetahuan itu biasanya didapatkan hasil daripada pemerhatian, kajian, pengalaman, penelitian serta persepakatan oleh institusi atau tokoh-tokoh yang pakar dalam bidangnya. Pengetahuan tidak boleh terbina dari mitos, dari mulut ke mulut, tanggapan dan andaian semata-mata, atau maklumat sekunder yang belum dipastikan lagi kebenarannya; atau mereka yang berbahas itu, latarbelakangnya diragui.
Seterusnya, maklumat yang sahih itu pula harus dipertimbangkan juga tujuan dan fokus utama maklumat itu terhasil. Supaya tidak disalahertikan yang akhirnya menimbulkan salah faham. Setelah kebebasan bersuara itu dibahaskan, maka orang lain bebas juga menyatakan hujah mereka.
Hamka turut menekankan ada peraturan dan undang-undang dalam menyuarakan pendapat. Selagi had itu dipatuhi, setiap pemikiran bebas untuk dinyatakan di hadapan umum.
“hendaklah orang yang merdeka menyatakan pemikiran itu, menjaga beberapa undang-undang, yang tidak keluar dari garis keadilan dan peraturan, dan tidak pula mengganggu kemerdekaan orang lain.”
HAMKA
Oleh sebab itu, menghasut orang lain mengerjakan suatu kejahatan, atau menghasut massa supaya memberontak dan menjatuhkan pemerintahan yang sah, tidaklah merdeka manusia mengerjakannya, bahkan dia mesti dihukum. Hal ini disebabkan kerana kemerdekaan telah dipergunakan untuk merosakkan kemerdekaan orang dan membinasakan ketenteraman umum. Maka, jelas dan nyatalah di sini, merdeka yang dimaksudkan adalah keharmonian dan kesejahteraan hidup yang selari dengan fitrah bersyariat.
Kemerdekaan yang membawa kebinasaan, kezaliman dan lari dari landasan kebenaran bukanlah sebuah kemerdekaan. Kerana halatujunya membawa kepincangan terhadap kesejahteraan hidup. Jika keamanan masih terpelihara sekalipun, ia masih bercanggah syariat.
Walaubagaimanapun, skop dan ruang menyatakan pemikiran sangat luas. Maka orang yang menilai dan melabel harus mempunyai ilmu serta pemikiran atau kepekaan yang luas, atau sekurang-kurangnya memahami situasi individu yang menyatakan ideanya dengan bebas. Keluasan pemikiran dan idea di sini bermaksud suatu hujahan yang membangkitkan serta menyumbang kepada aktiviti keintelektualan secara membina dan adil. Bukannya menegakkan benang yang basah, atau membela keingkaran, ataupun menjumudkan perkembangan pemikiran.
Hamka turut menjelaskan bahawa agama Islam sentiasa membuka pintu seluas-luasnya terhadap kebebasan menyatakan pemikiran. Katanya,
“Pintu kebebasan menyatakan fikiran itu terbuka luas dalam agama Islam, iaitu dengan kebebasan ijtihad. Kemajuan ilmu Ushul Fikah, Fikah, Ilmu Tafsir, Ilmu Tasawuf dan lain-lain dalam Islam adalah berpangkal dari terbukanya pintu ijtihad. Ulama’-ulama’ besar, yang telah mendirikan Empat Mazhab Fikah (Maliki, Hambali, Syafi’e, Hanafi) dalam Islam adalah bersumber dari kebebasan ijtihad.”
Maka dapat disimpulkan dan difahami di sini, kebebasan itu adalah ada objektif, iaitu berfokus pada ijtihad. Dan ijtihad ini telah melahirkan banyak hukum-hakam kontemporari serta buah pemikiran yang telah disepakati oleh ulama’-ulama’. Kebebasan ideologi inilah yang sepatutnya dimeriahkan dan diketengahkan.
Tidak sedikit para ulama menghasilkan karya-karya penulisan mereka untuk maslahat masyarakat umum. Mereka mengarang tidak sekadar berkaitan syariat Islam sahaja, malah meliputi pelbagai genre. Bidang apa al-Khawarizmi mahir? Atas jasa apa Ibnu Sina dikenang sepanjang zaman? Apakah kepakaran Ibnu Khaldun sehingga karya Muqaddimahnya dirujuk sampai sekarang? Dan setiap mereka (termasuk tokoh-tokoh cendekiawan Islam yang tidak dinyatakan di sini) tetap membawa mesej ke-Tauhid-an Yang Maha Esa secara tersirat. Betapa eloknya jika ijtihad yang telah disepakati oleh jumhur ulama’ ini sentiasa menjadi rujukan orang ramai—dan lebih mendapat tempat di hati mereka, kemudian menyatakannya dengan bebas.
Inilah yang membezakan dengan ideologi liberalisme. Pemahaman ijtihad berakarkan ke-Tauhid-an, tidak kira betapa luasnya pemikiran, hujah mahupun perbahasan. Adakah ideologi liberalisme berakar umbi dari sumber yang serupa?
Seterusnya, kemerdekaan menyatakan pemikiran ini telah Hamka simpulkan, iaitu kemanakah sepatutnya ia berhalatuju?
Bahas Hamka, “Tetapi menyatakan pendirian sendiri dalam satu perkara, meskipun itu berlain dengan yang biasa terpakai tidaklah boleh dihalangi, malah wajib dihormati. Kemerdekaan fikiran yang seperti ini amat besar faedahnya bagi kemajuan masyarakat. Sebab apabila pendapat itu telah dikeluarkan, dapatlah kelak mendapat bandingan dari yang lain, sehingga nyata yang benar dan yang salah.”
“Apabila telah terjadi pertukaran fikiran mencari yang benar, dan menyingkirkan yang salah, atau menyelidiki mana yang lebih benar dan mana yang tidak benar, alamat akan terdapat kemajuan dan kesedaran (keinsafan). Itulah yang dikehendaki di dalam masyarakat demokrasi.”
Dan tidaklah Buya Hamka menulis akan hal ini, melainkan sebagai alim yang berpegang teguh dan menjunjung falsafah agamanya. Pemikiran dan jiwanya yang bebas telah dipenuhi dan kaya dengan ilmu-ilmu bersumberkan kebenaran dari wahyu Ilahi.
Disediakan oleh: Mohd Faiz Rasip