“Buat mereka yang menginjak dewasa dan lelah dengan rumitnya menjadi dewasa, Tuhan tidak pernah kejam saat Dia menambahkan usia.”
[Halaman 90]
Bagi saya satu kenikmatan apabila dapat mencicipi sebuah karya yang dapat membantu memberi buah fikir yang positif dalam menjalani kehidupan yang penuh dengan liku-liku yang menguji kesabaran diri. Ada kalanya minda memerlukan siraman kata-kata pengubat jiwa ketika merasa lelah dan putus asa.
Menariknya naskhah ini, pembaca dihidangkan dengan kata-kata nasihat yang dapat diumpamakan seperti menyiram air ke tanah yang tandus. Teruntuk kaum wanita khususnya amatilah susunan kata-kata yang sangat indah dibaca, dan mudah dihadam ini. Demikianlah suara wanita bergema melalui tulisan yang ingin disampaikan kepada wanita lainnya yang memiliki segenap beban yang begitu berat dipundak mereka. Mungkin sedikit kata-kata semangat dan nasihat ini mampu membuat mereka bangkit dan terus melangkah lagi.
Tiga nota ringkas bagi wanita yang ingin mendedikasikan dan memperbaiki kelemahan diri.
” Perempuan perlu bijak mendefinisikan diri, tidak perlu sibuk mencari populariti. Perempuan perlu pandai memelihara identiti, jangan sampai menjadi komoditi. Perempuan harus berani memecut sendiri, jangan mudah dijual beli..”
(Halaman : 98)
1. Teguh pendirian – Bagaimana cara seorang wanita menanggapi perubahan zaman, tetapi dalam masa yang sama bijak dalam membawa imej muslimah tanpa membiarkan diri hanyut terbawa arus modenisasi yang seakan-akan melenyapkan jati diri muslimah sejati. Bijak dalam erti kata mempersiapkan diri, bukan sahaja sebagai seorang suri rumah tangga tetapi juga seorang penuntut ilmu yang menyebarkan manfaatnya.
2. Refleksi diri – Nasihat dan teguran membina dari penulis, lembut namun menusuk hingga ke hati. Begitulah ketika seorang wanita sesama wanita yang saling memahami keadaan dan fitrah mereka saling menegur dan mengingatkan kaumnya sendiri. Sememangnya wanita lebih memerlukan dukungan moral dan sokongan yang bukan sahaja boleh didapatkan dari orang-orang sekeliling tetapi ianya lebih meluas lagi pada zaman ini, dan salah satunya adalah dengan membaca buku seperti buku ini.
3. Mengekspresikan emosi – setiap ujian yang datang adakalanya mengundang pengorbanan, seperti itu jugalah halnya dalam mengendalikan perasaan ada ketika keberanian diperlukan bagi meruntuhkan segunung ego yang sedang bermaharajalela dalam diri, untuk istiqamah ke arah perubahan memperbaiki diri perlukan muhasabah diri yang berterusan. Dan langkah yang paling sulit bagi seorang wanita adalah membendung emosi, kerana sifat wanita lebih mudah melampiaskan perasaannya berbanding menyembunyikan.
Semoga naskhah ini memberi inspirasi bagi para pembaca menelaah diri ke arah yang lebih baik pada hari kedepannya, dan berhijrah dari masa silam yang kelam. Seperti kata penulis yang selalu dipesan oleh bonda beliau, hidup ini hanya sementara. Gunakanlah masa hidup dengan sebaiknya agar usia dapat diperuntukkan menuai pahala yang menjadi bekalan di akhirat nanti.
Menjadi wanita bukanlah sesulit seperti yang selalu difikirkan, semuanya akan menjadi lebih mudah jika dada dipenuhi ilmu pengetahuan yang menjadi penunjuk jalan didunia dan mengantarkan ke kehidupan setelahnya.
Selamat membaca dan selamat membina jati diri seorang muslimah sejati yang tangguh meski dilanda bagai bertalu-talu.
Disediakan oleh:
Aishah Nerina