Jam 1430 petang. Selesai memeriksa waktu yang tertera pada jam di tangan kirinya, Malik memandang ke arah tangga bangunan berona coklat cair itu. Dia sedang menunggu Rashdan keluar dari kelas. Disebabkan mereka berlainan kelas, maka waktu pulang mereka berlainan. Malik merupakan pelajar kelas aliran sastera, manakala Rashdan pula pelajar aliran sains tulen. Namun itu tidak menjadi penghalang keakraban persahabatan mereka. Sejak sekolah rendah lagi, mereka sudah mula berkawan rapat layaknya seperti isi dengan kuku.

“Lambat engkau keluar kelas hari ni,” tegur Malik sejurus sahaja Rashdan datang mendekatinya.


“Kelas Kimia tadi cikgu bagi soalan susah. Kena selesaikan dulu baru boleh balik. Nasib baik aku dapat jawab, kalau tak sampai petang engkau berdiri kat sini,” canda Rashdan. Malik hanya menggelengkan kepala.

 
“ Aku lapar dah ni. Jom pergi dewan makan. Tadi aku terserempak dengan budak tingkatan satu, dia cakap lauk tengah hari ni ayam kicap. Jom!” Malik terus berjalan pergi, terkocoh-kocoh Rashdan mengikuti langkah Malik. Kalau lauk ayam, memang jarang mereka terlepas waktu makan. Lain pula kalau lauknya ikan. Dewan makan yang biasanya penuh, boleh jadi tak sampai separuh sahaja yang turun makan ke dewan. Terbukti, pelajar asrama lebih gemar memilih lauk ayam sebagai santapan kegemaran.

~

“Sedap lauk ayam kicap tengah hari ni,” puji Rashdan. Pinggan di depannya sudah habis licin dia kerjakan.

“Alah engkau ni. Macam baru kali pertama makan ayam kicap kat sini. Padahal dah lima tahun. Baru nak puji masakan mak cik dewan ke?” Balasan Malik berbaur usikan itu disambut tawa kecil Rashdan.

“Eh, taklah. Engkau ni, puji pun salah ke? Aku bukan apa, kita kan dah nak keluar dari sekolah ni. Bakal jadi alumni. Bulan depan dah SPM. Lepas tu, kita dah bawa haluan masing-masing. Kau tak rindu ke sekolah ni nanti?”

“Memanglah rindu. Banyak kenangan kot kat sini…Tapi adatlah, Dan. Mana tempat kita datang, kita kena juga pulang. Eh, apa aku merepek ni..”


“Uihhh ayat engkau. Engkau dengan sastera memang lekatlah, Malik. Aku doa cita-cita engkau nak jadi munsyi DBP tu jadi kenyataanlah. Hahahaa,” Rashdan ketawa besar sehingga menyebabkan pelajar yang duduk berdekatan menoleh ke arah mereka. Malik terus menepuk dahinya menggunakan kaki kiri. Rashdan memang kuat mengusik juga.

 Sebenarnya, cita-cita sebagai munsyi DBP itu adalah impiannya semasa sekolah rendah. Dia bercerita tentang cita-citanya itu kepada Rashdan selepas lawatan seorang munsyi DBP ke sekolah mereka tujuh tahun yang lalu, ketika mereka masih berusia 10 tahun. Tak disangkanya Rashdan ingat sampai sekarang.

“Engkau ni, Dan. Tak salah bermimpi tau. Bermimpi itu percuma.”
“Yalah, aku setuju saja, Malik. Apa yang engkau nak jadi, jadilah. Aku sokong dari tepi,” Rashdan ketawa lagi. 

“Eloklah ketawa sekarang,bulan depan mesti cemberut saja muka kau. Nak dekat periksa, jangan banyak ketawa sangat,” tegur Malik.

“Okey, aku tak ketawa lagi. Ni aku nak tanya, lepas SPM nanti engkau ada terfikir nak sambung kat mana-mana tak?” tidak ketawa lagi, kali ini Rashdan lebih serius.

“Aku ingat nak hantar permohonan ke UKM. Engkau?”

“Macam yang engkau kata tadi, Malik. Bermimpi itu percuma. Aku berimpian nak sambung kat luar negara. Kota London,” yakin Rashdan menjawab. Malik tersenyum. Dalam hatinya berdoa, semoga impian rakannya itu menjadi nyata. Malik tahu Rashdan mempunyai potensi yang sangat besar untuk menjadi manusia yang hebat suatu hari nanti. Kawannya itu pintar dan seorang yang gila matematik. Matematik, Matematik Tambahan dan Fizik adalah mata pelajaran kegemaran Rashdan. 

‘Aku nak jadi bijak macam Albert Einstein.’ Sepertimana Rashdan, Malik juga mengingati impian temannya itu sejak tingkatan dua. 

Lamunannya terhenti sebaik sahaja Rashdan mengajaknya membersihkan pinggan.
Malik mengangguk lalu bingkas bangun dari tempat duduknya.

~

Hari berganti hari, bulan berganti bulan. Akhirnya peperiksaan SPM mereka berjaya juga dihabiskan dengan baik. Hari itu, langit kelihatan mendung. Seakan-akan memahami bahawa, itulah hari terakhir mereka semua dapat berkumpul seramai itu. Ada sebahagian pelajar mengambil keputusan untuk terus pulang selepas tamat kertas peperiksaan terakhir tadi. Ketika semua pelajar sedang rancak berborak dan mengusik antara satu sama lain, Malik dan Rashdan duduk berehat di atas bongkah kayu, memerhati gelagat rakan-rakan mereka.

“Hari ni hari terakhir semua ada kat sini. Lepas ni tak tahu lagi, dapat ke tidak begini,” Rashdan tiba-tiba bersuara. Malik menoleh ke arah Rashdan seraya tertawa kecil.

“Masih boleh telefon tanya khabar nanti, Dan. Lagipun sementara belum sambung belajar ni boleh ajak lepak-lepak dulu,” sangkal Malik.

“Kita tak tahu apa jadi pada masa akan datang, Malik. Sebab tu, kita kena hargai masa sekarang. Tengok kawan-kawan tengah gembira macam ini pun dah buat aku gembira juga. Ini kenangan, Malik. Kenangan. Masa akan datang nanti mungkin boleh jumpa lagi, tapi takkan sama rasa dia. Ada yang akan semakin sibuk bahkan ada juga nanti sudah semakin menghilang. Ini memori remaja yang kita kena sentiasa simpan. Sebab waktu sekarang takkan berulang lagi. Gunakan setiap masa yang kau ada tu, dengan cara yang baik ya, Malik. Jangan lupa untuk jadi orang yang berguna,” tutur Rashdan panjang lebar. 

Percakapan Rashdan itu sedikit sebanyak membuatkan Malik terkesima. Jarang-jarang Rashdan serius seperti sekarang ini.

“Engkau ni demam kertas peperiksaan terakhir ke apa? Lain macam je cara engkau cakap hari ni.”

“Mana ada pelik. Ni memang cara aku bercakaplah. Engkau tu yang tak perasan. Tapi… Apa-apapun, Malik…ingat pegangan yang selalu engkau sebut tu, jangan pernah berhenti bermimpi,” pesan Rashdan. Kening Malik berkerut. Rashdan yang berada di depannya memang sedikit aneh hari ini.

“Kau nak pindah ke, Dan?” keluar soalan itu dari mulut Malik.

Rashdan hanya tersenyum. Mengangkat kedua-dua bahunya sekali. Rashdan terus bangun dari duduknya. Sesekali dia menepuk bahagian belakang seluarnya untuk membuang habuk.

“Aku pulang dulu, Malik. In Sha Allah, kita dapat jumpa lagi. Apa yang penting, jangan lupa memori kita semua kat sini. Jangan lupa aku juga,” usik Rashdan merujuk pada ayatnya yang terakhir. Dua sahabat itu bersalaman sebelum berpelukan kejap.

“Ya. In sha Allah, takkan aku lupalah. Aku belum nyanyuk atau lupa diri lagi. Nanti kalau ada masa boleh telefon aku. Nak ajak jumpa  pun boleh tapi aku kena tengok masa dulu sebab lepas SPM ni aku kerja kat ladang tebu pak cik aku dari pagi sampai petang.”

Rashdan mengangguk dan terus merapatkan jari telunjuknya pada ibu jari, menunjukkan isyarat tanda ‘OK’. Setelah bersalaman dengan rakan-rakan yang lain dan berbicara sepatah dua, Rashdan berjalan ke arah motorsikal merahnya dan terus menghidupkan enjin.

Bayang Rashdan bersama motosikalnya mula menjauhi perkarangan sekolah setelah. Malik pula masih kekal berdiri di tempat dia duduk sebentar tadi. Hatinya berasa ada yang tidak kena dengan Rashdan tetapi cepat-cepat dia mengusir rasa itu pergi. 

Hari itu adalah hari terakhirnya di sekolah ini. Kenangan manis yang terlakar di sekolah harus diikat dalam hati, sebagai tanda memori di usia tua nanti.

~

Memang benar kita sebagai manusia dan makhluk Tuhan yang terbatas ilmunya ini tidak akan pernah tahu, apa yang akan terjadi di waktu yang akan datang. Masa lalu telah menjadi kenangan kita, sementara masa kini adalah peluang kita menjadi manusia yang terbaik dalam detik hidup kita manakala masa hadapan adalah dalam pengetahuanNya.

Tiada siapa yang tahu, senyuman, suara dan kenangan  Rashdan pada hari terakhir mereka di sekolah selepas tamat kertas terakhir SPM itu adalah kali terakhir mereka boleh bertemu Rashdan di dunia ini. Rashdan terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan pulang ke rumah. Motosikalnya hilang kawalan sebelum terlanggar kereta Hilux dari arah bertentangan dan dia meninggal dunia di tempat kejadian. 

Selain keluarga Rashdan, Maliklah antara orang yang paling sedih atas pemergian Rashdan. Dia hilang teman sepermainannya sejak kecil. Dia hilang teman untuknya bercerita dan dia juga hilang insan yang digelarkan sebagai sahabat. Tiada lagi cerita kota London. Tiada lagi sahabatnya yang berimpian ingin menjadi seperti seorang Albert Einstein.

Tanah kubur bernisan itu dia pandang agak lama. Sudah 10 tahun juga Rashdan pergi. Kini dia bukan remaja lagi. Dia kini sudah semakin meniti usia dewasa, 27 tahun. 

“Aku dah jadi cikgu, Dan,” bisik hatinya perlahan. Buku kecil bertulisan Yasin di muka hadapan itu dia buka dan terus membaca perlahan surah yang dikenali sebagai jantung bagi Al-Quran itu. Selesai membaca, dia berdoa, semoga sahabatnya itu ditempatkan bersama orang-orang yang diredaiNya.

“Aku akan ingat pesan engkau selalu, untuk jadi orang yang berguna. Aku akan didik anak-anak bangsa menjadi insan yang baik juga, Dan. Semoga engkau tenang di alam sana.”

Selepas seketika, lelaki berkumis nipis itu bangun dari hamparan tikar yang dibawanya tadi. Terus tikar itu kembali dilipat dan Malik pun melangkah pergi, meninggalkan pusara temannya buat kesekian kali.

TAMAT

Nukilan: Wani Zainudin


Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.