Dua Cikgu berjiwa Adventure
Menuju ke Pulau Tambisan Lahad Datu. Sebuah Pulau yang terletak di hujung Timur Sabah. Berdasarkan info, Pulau Tambisan merupakan tempat pertama menerima Matahari terbit di Malaysia. Aku dan Alvin tekad untuk pergi ke Pulau Tambisan. Kami merancang untuk melakukan hitchhiking untuk sampai ke destinasi tersebut. Kami terus menaiki Maxim dan melakukan hitchhiking di kawasan Indah Trading Lahad Datu kerana perjalanan ke Pulau Tambisan sangat jauh dari bandar Lahad Datu, jarak perjalanan memakan masa selama dua jam.
Dalam perjalanan ke Pulau Tambisan, kami beberapa kali bertukar kenderaan dan melakukan hitchhiking. Sempat berbual kami berbual dengan pemandu kereta. Pemandu ini beberapa kali brainwash kami supaya tidak meneruskan perjalanan kerana beliau berpendapat, kami tidak akan dapat ke Pulau Tambisan dengan cara Hitchiking. Aku mula risau tetapi aku cuba mempositifkan diri, bagi aku dunia pengembaraan mesti berani dalam membuat keputusan, mungkin suatu perkara sangat mustahil untuk dilakukan, tapi selagi kita tidak mencuba, selagi tu kita tidak akan tahu.
Aku mula sedar ‘’orang yang terbaik menasihati diri adalah diri sendiri’’. Pak cik tersebut akhirnya menurunkan kami di Felda 7. Kami agak terkejut, di sekitar Felda 7 ada pekan kecil, ada pembangunan di dalam kawasan kelapa sawit.
Dari Felda 7 kami naik kereta hilux, pemandu kereta Hilux tersebut merupakan pekerja Felda. Kami menggunakan panggilan Abang sebab kelihatan lebih tua dari kami. Sebelum kami meneruskan perjalanan, abang tersebut ajak kami ke masjid cendarawasi. Selepas Solat kami sempat berbual di luar masjid, perbualan kami tentang sejarah Sabah. Semangatnya cintakan sejarah sangat tinggi. Beliau berkongsi serba sedikit tentang asal usul Lahad Datu, katanya “nama lahad datu berasal dari perkataan Bahasa suluk, Lahad membawa maksud tempat, Datu membawa maksud datuk-datuk zaman dahulu yang membuka tempat tanah Lahad Datu’’. Perbualan yang sangat menarik bagi kami. Abang titipkan pesanan kepada kami supaya terus menjaga sejarah dan identiti tanah air Sabah. Selepas 1 jam kami berbual, kami meneruskan perjalanan ke simpang Fajar Harapan.
Dari simpang Fajar Harapan kami naik kereta hilux sekali lagi, kami duduk dibelakang kereta bersama-sama pekerja Felda. Setiap perjalanan pasti terselit sebuah cerita. Sambil menuju ke Gemala Pura, pekerja tersebut banyak berkongsi cerita kebaikkan bekerja di Felda. Salah satunya, jika ahli keluarga sakit, pekerja boleh mengambil cuti pada bila-bila masa. Ini jelas menunjukkan Felda sangat menjaga kebajikan pekerja.
Dari Gemala Pura kami berhenti di simpang Batu 16 Felda Sahabat dan sambung perjalanan ke Pulau Tambisan. Permandangan sepanjang perjalanan sangat cantik, penuh dengan bukit bukau. Tujuh kali turun dan naik kenderaan dan berjumpa pelbagai ragam manusia dan kisah disebaliknya. Akhirnya kami sampai dengan selamat di Tambisan.
Tambisan merupakan tempat pertama matahari terbit di Malaysia. Kami bergegas ke jeti untuk ke Pulau Tambisan. Tambang dari jeti ke Pulau Tambisan hanya Rm 1. Jarak Pulau Tambisan tidak jauh dari darat, perjalanan memakan masa 1 minit. Air laut yang sangat jernih. Kami sangat teruja walaupun rumah aku atas laut tetapi laut di Tambisan sangat jernih. Di Jeti Tambisan kelihatan para nelayan sedang sibuk menurunkan hasil tangkapan dari kapal.
Selepas berehat kami bergerak ke sebelah Jeti iaitu Jeti sekolah Tambisan. Memandangkan keadaan di Jeti Sekolah Tambisan kelihatan selamat. Aku dan Alvin membuat keputusan untuk berkhemas di Jeti tersebut. Ketika kami sedang smenyusun barang. Ada seorang lelaki dengan 3 orang kanak-kanak menuju ke Jeti lalu aku cuba menegur lelaki tersebut. Kami berkenalan, lelaki itu sebenarnya seorang guru di Sekolah Kebangsaan Tambisan. Lelaki itu bertanya tujuan kami di Pulau Tambisan. Aku mula bercerita dengan jelas tujuan kami datang ke Pulau Tambisan ini.
Tujuan kami ke Pulau Tambisan adalah untuk mendapatkan maklumat berkaitan penduduk sekitar, ekonomi utama penduduk, kemudahan yang disediaan, sejarah kampung dan membuat rakaman matahari terbit di Pulau Tambisan. Kami berharap maklumat yang kami peroleh dapat kami kongsikan kepada orang luar tentang tarikan di Pulau Tambisan ini. Aku yakin dengan adanya peningkatan kemasukan orang luar di Pulau Tambisan dapat membantu meningkatkan ekonomi penduduk sekitar. Lelaki itu turut membantu kami mendapatkan maklumat dengan berkenalan dengan guru-guru yang berkhidmat di Sekolah Tambisan.
Kami telah diberitahu bahawa Pulau Tambisan bukanlah tempat pertama matahari terbit tetapi di Tanjung Atiam. Kecewa sungguh kami kerana bersusah payah untuk sampai ke destinasi. Disebalik kekecewaan, Tuhan telah temukan kami dengan guru-guru Sk. Tambisan salah seorangnya cikgu Ladja yang banyak membantu kami mendapatkan maklumat. Aku masih berharap bahawa Tanjung Atiam tidaklah jauh untuk dijejaki tetapi lokasi Tanjung Atiam tidak wujud di dalam Google Maps. Lepas berbual dengan guru-guru Sk. Tambisan. Mereka mengajak kami untuk menginap di kuaters guru Sk. Tambisan. Aku perhatikan persekitaran Sk. Tambisan. Terdapat papan tanda di pagar masuk sekolah dengan perkataan dalam bahasa suluk
“Kamu na sayan,
Lanjal kamu pa”
Maksud perkataan: kamu bah ni, bah teruskan.
Bagi aku, Sekolah Tambisan sangat bersi, ceria, dekorasi sekolah sangat kreatif.
Kami berehat.
Kami menunaikan solat di Surau Tambisan juga merupakan bekas sekolah Yang di Pertua Negeri Sabah. Jika YDP datang ke Tambisan, cikgu Ladja pasti akan cakap menggunakan bahasa Suluk kerana YDP mahir berbahasa suluk.
Selepas solat, kami bersembang dengan Cikgu Ladja tentang sejarah Pulau Tambisan. Katanya, Pulau Tambisan dibuka oleh orang Sandakan! Bangga aku sebagai orang Sandakan!. Kata Cikgu Rahim, Cikgu Ladja ini dikenali di Felda Sahabat, sebut sahaja namanya pasti orang-orang Felda mengenali beliau. Cikgu Ladja seorang yang peramah dan dia seorang guru yang luar biasa kerana beliau penggerak kepada perubahan sekolah Tambisan ini.
Sejak cikgu Ladja dan Cikgu Rahim bertugas, Sekolah Tambisan berubah 360 darjah. Sekolah semakin ceria. Sukan sekolah meraih johan berturut turut selama 4 tahun dalam sukan bola tampar.Insfrastruktur sekolah semakin bertambah baik. Hebat betul dua gandingan cikgu berjiwa adventure ini.
Pendapat aku, semua bermula daripada ketua atau pemimpin. Jika pemimpin atau ketua itu komited, sesebuah organisasi pasti maju. Tapi jika pemimpin atau ketua bermain rasuah, mencuri dan bermain ‘kotor’ . Jangan hairan jika orang bawahan juga turut terikut ikut bermain ‘kotor’.
Dua orang guru berjiwa adventure menanam impian yang sama iaitu ingin mengubah anak Pulau Tambisan kepada hidup yang lebih baik. Ada 2 Rancangan yang membuat aku teruja iaitu rancangan untuk mengajar dalam bidang pertanian dan rancangan untuk mewujudkan aktiviti pelancongan di Sekitar sekolah. Tujuan yang utama adalah untuk meningkatkan ekonomi penduduk sekitar.
Menurut cikgu Ladja, dengan adanya pengetahuan pelajar dalam bidang pertanian, ia dapat membantu pelajar meningkatkan kemahiran kendiri walaupun tidak berjaya dalam akademik, disamping dapat menjana pendapatan daripada hasil pertanian. Bagi aku ini sebuah perancangan yang luar biasa dan perlu diterapkan di sekolah pendalaman. Rancangan mewujudkan aktiviti pelancongan pula adalah untuk meningkatkan ekonomi penduduk dan menjana dana tambahan sekolah kerana terdapat resort berhampiran sekolah Tambisan jika pihak sekolah bekerjasama dengan pihak resort tersebut.
Cerita Buaya satu mata
Sebenarnya kedudukan Tanjung Atiam dari Tambisan memakan masa 30 minit jika menaiki kereta. Cikgu Ladja telah membantu kami untuk pergi ke Tanjung Atiam, dengan menghantar kami ke kampung Tagupi iaitu kampung yang paling dekat dengan Tanjung Atiam. Penduduk kampung Tagupi merupakan keluarga cikgu Ladja, Aku dan Alvin dijemput dan dilayan oleh tuan rumah dengan sangat baik. Aku cuba biasakan diri. Sebab daripada sini aku dapat mengenali penduduk dengan lebih dekat. Bagi aku untuk merapatkan silaturahim kita perlu makan bersama. Usai makan, kami berbual dengan tuan rumah untuk mendapatkan info tentang penduduk disini.
Dalam banyak kisah, kisah yang tidak dapat aku lupakan adalah kisah buaya satu mata. Yang menariknya sungai Felda Sahabat ini banyak buaya. Tuan rumah sempat memberi nasihat kepada kami supaya tidak mendekati anak sungai atau laut di kawasan Felda kerana risau dibaham buaya.
Menurut cerita tuan rumah, buaya paling besar di Felda Sahabat ialah Buaya satu mata. Katanya saiz buaya satu mata sebesar kereta Hilux! . Betul atau tidak, aku terima sebagai satu cerita rakyat. Aku cuba mendapatkan kepastian sama ada tempat yang kami tuju itu ada buaya atau pun tiada. Tuan Rumah memberitahu bahawa kawasan yang kami tuju telah menjadi kawasan laluan buaya yang bergerak dari satu pantai ke pantai yang lain.
Seram! Kisah yang paling seram lagi, buaya satu mata sudah membaham lebih daripada 20 orang penduduk kampung. Kali ini bukan seram lagi, aku sudah mula terbayang kematian aku di baham buaya. Mahu teruskan atau pun tidak?
Kata penduduk Felda Sahabat, buaya disana sangat kejam, kerana 90 peratus buaya akan ingat tujuh keturunan orang yang menganggu buaya tersebut dan akan terus mencari jalan untuk menyerang orang tersebut. (Macam perang saudara pula ye). Aku berasa pelik, adakah ini mitos atau fakta? Adakah boleh dipercayai atau tidak? Aku tengok muka tuan rumah kelihatan serius dan meyakinkan. Aku terima cerita tersebut sebagai cerita rakyat. Betul atau tidak, aku dan Alvin ambil langkah untuk berhati hati sepanjang berada di Kampung Tagupi.
Misi mengejar sunrise pertama di Malayia
Seorang lelaki daripada kampung Tagupi membantu kami menuju ke Tanjung Atiam, tempat matahari terbit pertama di Malaysia. Kami memanggilnya abang Jamal. Kami bergerak selepas subuh daripada kampung Tagupi menuju ke Tanjung Atiam dengan menaiki motorsikal yang dipinjamkan tuan rumah kepada kami. Aku sedikit cemas sebab persekitaran sangat gelap, dalam hati aku bermonolog “kali ni malang apa pula yang menimpa, dah lah gelap, motor tak de lampu lagi, ini betul-betul pengalaman rare’’ Aku cuba memberanikan diri menunggang motorsikal dalam gelap.
Jalan menuju ke Tanjung Atiam agak teruk kerana jalan hanya tanah merah dan berlubang. Mungkin ini sebab peluang pekerjaan di Sabah sangat rendah, Aku akan undi parti yang letak manisfesto meningkatkan kualiti jalan raya di Sabah.
Sewaktu menunggang motorsikal aku cuba mendonggak ke langit, kelihatan bulan sabit yang sangat cantik di langit, aku tidak pernah melihat bulan sabit sejelas ini, mungkin sebab aku berada di tempat yang sangat gelap. Selain daripada bulan sabit, aku berkesempatan melihat stargazing di langit. Nikmat apa lagi yang kau dustakan?
Dari jalan besar kami masuk ke jalan yang lebih kecil dan semak. Bagi aku ini jalan yang paling menyeramkan sebab kedudukan pokok-pokok sangat dekat dengan kami. Dalam fikiran aku,
“kalau buaya lalu depan aku macam mana?’’
“kalau buaya baring di tengah jalan ni macam mana?’’
‘’kalau tiba-tiba buaya keluar dari semak-semak ni macam mana wei?’’.
Aku diserang bertubi-tubi oleh fikiran negatif. Kata Abang Jamal perjalan ke Tanjung Atiam hanya memakan masa 20 minit. Tapi sekarang lebih dari 20 minit, adakah aku kena scam?. Dengan pelbagai ujian dan rintangan semasa menuju ke Tanjung Atiam. Akhirnya kami sampai di Tanjung Atiam. Aku menghembus nafas kelegaan apabila sampai di Tanjung Atiam.
Tanjung Atiam adalah satu-satunya tempat pertama terbitnya matahari di Malaysia. Tanjung Atiam juga merupakan titik paling timur di Malaysia dan sering dijadikan tempat melihat anak bulan di untuk menentukan tarikh hari raya Aidilfitri dan hari raya Aidiladha.
Hari ini, aku, Alvin dan abang Jamal merupakan orang pertama yang mendapat sinaran matahari di Malaysia sekaligus menjadi orang pertama yang dapat menyaksikan matahari terbit di Malaysia.
Amaran keras daripada aku, jika mahu berkunjung ke Tanjung Atiam pastikan bergerak secara berkumpulan dan dapatkan bantuan daripada penduduk kampung Tagupi. Jangan risau kita berada di Malaysia bukan di luar negara, penduduk akan terus membantu.
“Masalah kecil itu perkara biasa, Masalah terbesar adalah berhenti berjuang”
-tamat-
Disediakan oleh,
Mohamad Feklee Bin Roslee