Untuk jiwa-jiwa yang sedang belajar untuk mengenal dan percaya kepada dirinya, hidupnya dan Tuhannya.
“Orang Islam adalah kaum yang sepatutnya percaya kepada diri sendiri. Sebab kekuatan yang ada pada dirinya itu digantungkan kepada kekuatan yang mengatur alam ini, iaitu Allah yang Maha Esa.
Barangsiapa yang percaya kepada Tuhannya, tidaklah merasa takut dan gentar berenang dalam lautan hidup ini.
Dia tidak percaya bahawa akan ada suatu kekuatan di dunia ini yang sanggup menghambat merintangi, kalau tiada diizinkan Allah. Dia tidak percaya bahawa dia akan diitmpa bahaya, kalau tidak tertulis lebih dahulu dalam ilmu Tuhan. Dia baik sangka kepada Tuhan.”
Hamka, Falsafah Hidup
Teringat kata kak Umairah,
“Walau diam, tidak bising riuh sekalipun, seorang perempuan harus bebas menjadi dirinya, dengan kebebasan mempunyai keinginan (desire), minat (passion) atau impian (goals) meski sekecil-kecilnya. Inilah yang membuatkan jiwa seorang perempuan sentiasa ada, hidup, bergerak, bertumbuh, tidak tenggelam atau mati. Perempuan sebegini terlebih dahulu sukses mengangkat identiti dirinya berbandin apa yan terlihat pada fizikalnya.”
Saya selalu percaya, tujuan hidup akan membuatkan kita ‘ada’. Tujuan hidup akan menumbuhkan keinginan, minat, impian dan harapan-harapan yang akan menuntun kita untuk melangkah dan tidak sesekali merasa kalah.
Tujuan hidup akan mengantarkan kita kepada keyakinan, penuh kepercayaan. Bahawasanya kita ini ‘ada’ dan Dia bersama kita.
Kita mungkin tidak berada di baris hadapan, tetapi jiwa kita sentiasa ke depan membawa langkah-langkah yang perlahan untuk memaknakan kehidupan. Kita mungkin tidak kelihatan, tetapi kita tetap berjuang dalam diam menuju kebaikan.
Sampai masa kita hanya perlu percaya pada Ilahi bahawa semuanya adalah pasti. Sampai masa kita perlu percaya diri bahawa kita ada ‘nilai’ yang sudah disiapkan-Nya dengan teliti.
“Percaya kepada diri sendiri adalah tiang budi pekerti yang utama. Yang sanggup memikul hanya orang yang kemanusiaanya tinggi. Percaya kepada diri sendiri menimbulkan kekuatan, kemahuan dan kehendak. Menimbulkan usaha sendiri, dengan tidak mengharapkan orang lain. Percaya kepada diri sendiri adalah timbul dari jiwa merdeka.”
Hamka
Diulis oleh: Nur Suhada ( Instagram: @_perempuanmembaca_)