“Saya tak akan berhenti. Saya tahu, setidak-tidaknya dua kali dalam hidup saya, sekiranya saya berhenti berjuang, saya akan menjadi orang berada dan lebih terjamin daripada segi material, tapi ini bukan jiwa saya.” – Khatijah Sidek
Bergetar rasa mengenangkan bait-bait yang disusun oleh sang srikandi Khatijah Sidek (1918-1982) dalam memoir ‘Sang Puteri Kesatria Bangsa’ beberapa puluh tahun yang lalu. Binar mata, lantunan suara pejuang perempuan itu ‘terdengar’ kukuh dan lantang, sekukuh tubuhnya berdiri dan menyusun langkah!
“Entah apa yang membuat dirimu senekad itu, wahai ibu?”
Perjuangan, fitrahnya memang tak indah.
Dijatuhkan, bangkit.
Dipulaukan, tabah.
Dipecat, terus hidup!
“Demimu, perempuan!” – Taraf wanita tak seharusnya diinjak-injak, menurutmu. Kaum Ibu wajib dikurniakan layanan yang sewajarnya dan tidak hanya menjadi kutip yuran dan tukang kutip suara undi saja, menurutmu lagi.
DUNIA patriarkal ketika itu mewujudkan binari antara lelaki dan perempuan adalah punca keterpinggiran kaum wanita hasil corakan hagemoni lelaki. Salahlah dakwaan sebahagian daripada mereka; wanita tak sepatutnya pasif, kurang kesedaran, lemah, tak berupaya dan tak perlu tinggi pengetahuan.
Bahkan sejarah Islam sendiri telah mencatatkan sejak awal kedatangannya, satu persatu peristiwa telah membuktikan wujudnya wanita dalam segenap cabang kehidupan sama ada dalam sosial, ekonomi mahupun politik. Santunilah bakti isteri Baginda, Khadijah dan Ummu Salamah untuk membantu Nabi yang dikasihi!
Lagi pula, ingatkah engkau pada firman Allah yang bermaksud: “Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh yang makruf, mencegah yang mungkar, mendirikan solat, menunaikan zakat, dan mereka taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah itu maha perkasa lagi maha bijaksana” (al-Quran 9:71).
Hari ini – para wanita kurang kefahaman tentang tujuan hidup dan identiti diri. Mereka bukan sekadar hamba keghairahan lelaki! Pramoedya Ananta Toer sendiri pernah mengakui, perempuan tak seharusnya bergantung sepenuhnya pada lelaki tapi tetap mandiri dan tangguh di samping tak lupa memberikan rasa cintanya kepada lelaki (suami).
Bukan material, bukan itu yang dikejar. Bukan cantik wajah, bukan kemasyhuran. Bukankah wanita yang cantik itu yang punya tinggi akal budi dan akhlak?
___
Disediakan oleh Aimi Rasyida