Pahlawan bermaksud seorang yang gagah dan berani berjuang. Walaupun ditimpa pelbagai kesukaran dan ujian yang berat namun seorang pahlawan tidak pernah mengenal erti pengecut. Begitulah definisi yang selayaknya diberikan kepada para pahlawan.
Dunia perjuangan, pengorbanan mahupun jihad sebenarnya tidak hanya dipelopori oleh kaum lelaki tetapi kaum wanita juga layak bergelar seorang pahlawan. Terdapat peranan yang besar dimainkan oleh kaum wanita di dalam setiap perjuangan.
Para sahabiyah Rasulullah adalah sebaik-baik contoh bagi kaum Muslimah zaman sekarang sebagai pemangkin semangat dalam memperjuangkan agama Allah.
Peranan para perempuan ini boleh disorot melalui beberapa fakta sejarah iaitu:
1) Nusaibah binti Ka’ab.
Atau lebih dikenali sebagai Ummu Umarah. Beliau adalah wanita pertama yang ikut berperang dalam Islam. Beliau telah menyaksikan malam Aqabah, serta ikut dalam perang Uhud, perjanjian Hudaibiyah, Perang Hunain dan juga Perang Yamamah.
Dalam perang Uhud, Nusaibah terluka dengan cukup parah akibat perlawanan yang sengit dengan Ibnu Qamiah. Walaupun demikian, peristiwa itu tidak melemahkan semangatnya untuk ikut serta dalam peperangan seterusnya.
Nusaibah mempunyai seorang saudara yang bernama Hubaib yang telah dibunuh oleh Musailamah al Kazzab. Semasa berperang menentang Musailamah di Yamamah, Nusaibah tidak melepaskan peluang untuk membalas Musailamah atas pembunuhan saudaranya Hubaib. Nusaibah bersama anaknya, Abdullah menyertai rombongan pasukan muslimin yang diketuai oleh Khalid bin al Walid.
Dalam peperangan ini, Nusaibah dan anaknya Abdullah berjaya menikam Musailamah sehingga ia jatuh tersungkur lalu diikuti dengan tikaman daripada Wahsyi yang menjurus kepada kematian Musailamah al Kazzab.
Sungguh menakjubkan kisah keberanian Nusaibah Ummu Umarah ini. Ia mengalami sebanyak 12 luka pada perang Uhud, 11 luka pada perang Yamamah selain tangannya yang terputus!
2) Asma binti Yazid
Asma telah banyak menyaksikan peristiwa-peristiwa penting dalam Islam dan turut serta dalam beberapa peperangan. Perang Khandaq, Asma ikut bersama Rasulullah SAW dalam perjanjian Hudaibiyah, ikut berbaiah dalam Baiah ar Ridhwan, kemudian ikut dalam perang Khaibar.
Asma juga turut tidak ketinggalan dalam peperangan Yarmuk. Beliau bertugas memberi minum tentera-tentera dan merawat mereka yang terluka. Bukan itu sahaja, malahan beliau secara langsung ke dalam barisan pasukan Romawi, dan berhasil membunuh sembilan orang Romawi di tengah-tengah perkhemahan mereka.
Masya-Allah, angka yang sungguh banyak!
3) Ummu al Fadhl.
Lubabah binti al Harits. Isteri kepada bapa saudara Nabi iaitu al Abbas bin Abdul Muthalib. Digelar Ummu al Fadhl r.a dan beliau ialah wanita pertama yamg masuk Islam selepas Khadijah r.a.
Beliau dengan berani telah memukul kepala Abu Lahab dengan sebuah tongkat sehingga darah mengalir deras dari kepala Abu Lahab. Diceritakan bahawa selepas dari kejadian tersebut, tubuh Abu Lahab penuh dengan bisul yang bernanah selama tujuh malam dan kemudian meninggal dunia. (Al Bidayah wa an Nihayah)
4) Shafiyyah binti Abdul Muthalib
Shafiyyah ialah saudara kepada seorang syuhada yang bernama Hamzah bin Abdul Muthalib iaitu bapa saudara kepada Rasulullah s.a.w.
Shafiyyah merupakan seorang mujahidah berani yang tidak mengenal erti takut dan gerun. Hal ini telah terbukti di dalam peperangan Khandaq seperti yang dituturkan oleh cucunya, Ibnu Zubair berikut ini:
Shafiyyah binti Muthalib berada di atas benteng Hassan bin Tsabit (dalam peristiwa perang Khandaq). Shafiyyah bercerita, ” Hassan bersama kami di dalam benteng, bersama para perempuan dan anak-anak berdekatan dengan parit-parit yang dibuat oleh Rasulullah dan kaum Muslimin. Kemudian kamu melihat ada seorang lelaki Yahudi bermundar-mandir mengelilingi benteng, sementara Bani Quraizhah telah memerangi kami dan memutuskan hubungan antara mereka dengan Rasulullah. Tidak ada lagi orang yang dapat melindungi kami daripada mereka.
Rasulullah berada di tengah-tengah musuh sehingga mereka tidak boleh bergerak untuk menghampiri kami.
Maka aku berkata kepada Hassan, “Wahai Hassan, ada lelaki Yahudi mengelilingi benteng sebagaimana yang engkau lihat maka turunlah engkau dan bunuhlah orang Yahudi ini.”
Hassan menjawab, ” Semoga Allah mengampunimu puteri Abdul Muthalib. Demi Allah, engkau pasti tahu bahawa aku bukanlah orang yang mampu melakukan itu.”
Ketika Hassan berkata demikian dan aku tidak melihat ia membawa apa pun maka aku memberanikan diri dan mengambil sebuah tongkat. Lalu aku turun mendekati lelaki Yahudi itu dan memukulinya dengan tongkat sehingga aku berhasil membunuhnya. Kemudian aku kembali ke dalam benteng. (Sirah Ibnu Hisyam)
Shafiyyah ialah perempuan pertama yang membunuh seorang lelaki Musyrikin seperti yang tercatat dalam kitab Sirah Ibnu Hisyam.
5) Ummu Musa al Lakhmiyah
Ummu Musa al Lakhmiyah merupakan isteri kepada Nushair al Lakhmi, ayah kepada Musa bin Nushair, iaitu seorang pemimpin terkenal yang telah menaklukkan Andalusia.
Ummu Musa menyertai peperangan Yarmuk, beliau telah membunuh seorang kafir (bukan Arab) dan mengambil barang-barang perlengkapannya. Abdul Aziz bin Marwan pernah memintanya untuk berceritakan hal itu kepadanya.
Ummu Musa pun berkata, “Ketika kami bersama rombongan para wanita, tiba-tiba ada sekelompok orang sedang berjalan. Aku melihat seorang kafir menyeret seorang Muslim. Aku mengambil sebuah tiang khemah dan mendekatinya. Dengan tiang khemah itu aku memukul kepala orang kafir tersebut. Lalu aku mengambil hartanya, dan orang Muslim yang diseret tadi membantuku mengambilnya.”
6) Ummu Sulaim binti Milhan
Saudara perempuan kepada Haram bin Milhan yang telah syahid dalam peristiwa Sumur Ma’unah. Seperti saudaranya, Ummu Sulaim juga cintakan jihad dan pengorbanan.
Ummu Sulaim termasuk perempuan Ansar yang ikut berbaiah kepada Nabi s.a.w. Beliau telah menyertai perang Uhud, memberi minum kepada para tentera yang dahaga dan mengubati tentera yang terluka ketika perang. Beliau juga turut serta dalam perang Hunain bersama Rasulullah s.a.w dengan membawa pisau belati yang diikat di pinggangnya padahal ketika itu ia sedang mengandungkan anak.
Suaminya, Abu Talhah pun mengadukan hal tersebut kepada Rasulullah, “wahai Rasulullah, lihatlah Ummu Sulaim membawa pisau!”
Lalu Ummu Sulaim pun berkata, “Wahai Rasulullah aku siapkan pisau ini agar apabila salah seorang kaum Musyrikin mendekatiku, maka aku akan menikam perutnya.” (HR. Muslim)
Begitu hebatnya kedudukan perempuan bernama Ummu Sulaim ini sehinggakan Rasulullah s.a.w pernah bersabda tentang dirinya,
“Aku masuk Syurga, aku mendengar langkah kaki di depanku, ternyata aku bersama al Ghumaisha binti Milhan.” (HR. Muslim)
Semoga kisah-kisah kepahlawanan para perempuan Islam ini dapat dijadikan panduan oleh pendakwah-pendakwah Muslimah dalam mengharungi onak duri ketika menyebarkan dan membela ajaran Islam. Walaupun tidak berlakunya perang tetapi semangat dalam menegakkan agama Islam itu tetap marak.
Ayuh Muslimah, bersemangatlah! Sebagaimana semangat para sahabiyah!
Disediakan oleh,
Shafiyyah Mei
Taiping, Perak
Email: [email protected]