Fitrah perempuan menyukai perhiasan lagi-lagi yang bergelar isteri. Melihat orang lain mempunyai barang kemas, maka timbul lah cemburu di hati para isteri sehingga bermasam muka terhadap suami. Terbangkit pula perasaan tidak bersyukur dan mula meminta sesuatu di luar kemampuan suami. Akan tetapi, ada juga wanita yang memendam rasa dan sedih di hati kerana tidak dapat memiliki barang kemas seperti kaum hawa yang lain. Demi menjaga hati suami, maka reda lah menjadi pilihan mereka.
Tidak dinafikan bahawa perempuan dan perhiasan itu berpisah tiada. Begitulah sifat perempuan yang diciptakan oleh Allah SWT iaitu menyukai sesuatu yang indah.
Duhai Muslimah yang bergelar isteri, adakah kamu tahu dan ingat bahawa setiap perkara yang ada di dunia ini adalah bersifat sementara? Termasuklah segala perhiasan yang menyilaukan mata kamu itu. Jika kamu mahu bersabar nescaya bukan setakat emas permata sahaja yang akan kamu dapat tetapi semua keinginan kamu akan dipenuhi. Bukan di dunia ini, tetapi di syurga Allah.
“Jika seorang isteri menunaikan solat fardu lima waktu, berpuasa pada bulan Ramadan, menjaga kemaluannya, dan taat kepada suaminya. Maka dikatakan kepadanya, “masuklah engkau ke dalam Syurga dari pintu mana sahaja yang engkau kehendaki.” (HR Ibnu Hibban no. 4163)
Inilah yang telah dijanjikan oleh Allah SWT melalui lisan rasul-Nya kepada para muslimah yang bergelar isteri. Cukuplah Sabda Rasulullah s.a.w itu menjadi kelegaan dalam hati setiap Muslimah, iaitu Syurga yang diimpikan.
Jadi mengapa berdukacita hanya kerana tidak memiliki barang kemas di dunia ini walhal semua itu hanya sementara? Mengapa para isteri bermuram durja di hadapan suami, rela bertengkar dengannya hanya kerana barang kemas yang esok lusa tidak akan kita bawa ke alam kubur? Atau sebenarnya kamu mahu terlihat ‘gah’ di depan perempuan-perempuan yang lain. Bukankah perbuatan itu termasuk dalam sifat riak dan merupakan perbuatan yang mendatangkan dosa?
Tidak mudah bagi seorang Muslimah menjauhkan diri dari hal-hal yang berkaitan dengan perhiasan lebih-lebih lagi emas seperti cincin, rantai leher, gelang tangan dan sebagainya. Memandangkan emas sudah menjadi tren zaman kini, majoriti kaum perempuan berlumba-lumba untuk membelinya.
Di sini saya ingin kongsikan beberapa petua yang dapat diamalkan oleh kaum wanita Islam agar mereka lebih fokus menjadi isteri mahupun ibu yang solehah, tidak hanya terpaku pada barang kemas semata.
1) Jauhi Diri
Jauhi diri daripada kumpulan-kumpulan di media sosial yang hanya bercerita tentang barang kemas di mana setiap perempuan sibuk mempamerkan pelbagai jenis emas yang mereka ada.
2) Banyakkan Istighfar
Kadang-kadang, perempuan terleka seketika apabila melihat barang kemas yang “wah” lalu muncul sifat tidak bersyukur dalam diri. Alamatnya, suami juga yang akan terkena impaknya. Maka, perbanyakkan istighfar dan semoga Allah tenteramkan hati kita.
3)Membaca Kisah Para Sahabiah
Rajinkan diri untuk membaca kisah-kisah para isteri Rasulullah, para sahabiah, dan srikandi Islam yang lain supaya diri kita termotivasi untuk mengejar akhirat, bukan keduniaan semata.
4) Utamakan Keperluan Keluarga
Utamakan keperluan yang sepatutnya lebih utama untuk dibeli. Seperti barang anak-anak, makanan dan keperluan rumah. Maka fokus ke arah itu. Insya-Allah barang kemas pun akan terlupakan.
5) Banyakkan Sedekah
Wang jangan terlalu tamak untuk disimpan tapi banyakkan bersedekah. Sesungguhnya sedekah itulah menjadi simpanan yang berguna untuk kita di akhirat kelak. Dengan bersedekah tidak mengurangi harta malahan Allah s.w.t akan menambahkan lagi rezeki dari arah dan waktu yang tidak kita sangkakan.
Moga dengan tip-tip ini dapat meningkatkan lagi kualiti iman setiap muslimah yang bergelar isteri agar tidak lagi menuntut sesuatu di luar kemampuan suami, menjadi isteri yang selalu bersyukur dan berasa cukup dengan apa yang ada, tidak menjadi buta dek kerana kilauan emas permata dunia. Semoga syurga menantimu wahai muslimah!
Disediakan oleh,
Shafiyyah Mei