Setiap daripada kita tidak akan terlepas daripada melakukan dosa. Dosa ini akan menjadi dinding penghalang antara kita dengan Allah. Doa-doa kita tidak akan dimakbulkan dan kita juga akan merasa berat untuk melakukan suatu kebaikan.
“Sehingga aku berkata (kepada mereka): Pohonlah ampun kepada tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun.” (Surah Nūh, ayat 10)
“Maka aku katakan kepada mereka, ‘Mohonlah ampun kepada tuhan kamu’.”
Yakni, tinggalkan dosa kalian dan mintalah ampunan pada Allah atas dosa-dosa kalian itu.
“Sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun,”
Yang banyak ampunanNya bagi orang yang bertaubat dan meminta ampun. Nabi Nuh mendorong kaumnya untuk meminta ampunan atas segala dosa serta melakukan apa-apa yang mendatangkan pahala dan terhindar dari siksa.
(Tafsīr Al-Si’di, Surah Nūh)
Di dalam ayat tersebut, Nabi Nūh menyeru kaumnya untuk memohon ampun dan beristighfar kepada Allah. Ini merupakan cara yang paling terbaik. Kerana apabila seseorang itu melakukan maksiat, mereka akan rasa bersalah dan kemudian akan hadir perasaan untuk mengadu kepada Allah.
Dosa menyebabkan seseorang susah untuk menerima kebenaran. Ia seperti benteng yang akan menghalang kebenaran daripada masuk ke dalam hati kita. Perbanyakkanlah beristighfar dan memohon ampun kepada Allah SWT. Beristighfarlah secara sendiri, tidak perlu meminta kepada orang lain istighfar untuk kita. Kita bukanlah seperti penganut agama Kristian yang mengajar pengikutnya mengadu dosa kepada paderi. Ini bukanlah apa yang diajarkan oleh Nabi kita Muḥammad ﷺ.
“Sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun“
Allah ﷻ itu Maha Pengampun. Allah mampu mengampunkan segala dosa kita walaupun dosa-dosa kita mencapai setinggi langit. Agama Islam mengajar manusia bahawa Allah itu Maha Pengampun. Ini adalah firman Allah di dalam Surah Al-Zumar ayat 53 maksudnya:
Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Ayat ini memberi harapan kepada manusia bahawa sebanyak manapun dosa mereka, Allah SWT tetap akan mengampunkan dosa-dosa mereka. Walaupun kita tetap melakukan dosa yang sama berulang kali, tetaplah meminta ampun dan beristighfar kepada Allah. Ini merupakan fitrah bagi seseorang manusia yang tidak terlepas daripada melakukan kesalahan.
Setiap kali terjerumus ke dalam dosa, mintalah keampunan daripada Allah dan beristighfarlah!
Janganlah kita mendengar bisikan syaitan yang menyesatkan seperti “buat apa kau minta ampun kepada Allah sedangkan kau buat dosa tu banyak kali? Berapa banyak kali pula kau perlu minta ampun? Tidak malu ke? Mintalah ampun sekaligus apabila sudah tua nanti.”
Janganlah kita percaya dengan bisikan-bisikan sebegini. Kalau kita percaya, kita tidak tahu sama ada kita sempat atau tidak untuk bertaubat. Mungkin ajal kita sebelum sempat kita bertaubat. Percayalah bahawa Allah itu Maha Pengampun. Jangan putus harapan dengan Allah!
Perbanyakkan beristighfar kepada Allah setiap masa. Janganlah masa kita dihabiskan dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah. Semoga Allah menerima semua taubat kita
أستغفر الله وأتوب إليه
Disediakan oleh,
Abu Saad AlMerwiy