“Yang penting aku mahu gembira di dunia ini!”

Hampir setiap malam ucapan ini terngiang- ngiang di telingaku. Kata-kata daripada seorang yang sangat penting dalam hidup aku.

Kadang-kadang aku membenarkan pernyataan tersebut, kerana bila lagi mahu merasa segala keseronokan di dunia ini kerana fasa lain yang akan kita lalui setelah mati.

Tetapi mampukah aku untuk lalui fasa tersebut dan menghadapi kemurkaan Tuhan kerana perbuatan aku di dunia? Bukankah kita akan dihukum sesuai dengan perbuatan kita? Bukankah jasad kita telah tiada? Jadi apa yang kita akan rasa?

Kemudian aku terfikir, jika perasaan gembira, sakit, sedih, kecewa dan pelbagai lagi dapat kita lalui di dunia ini, kelak apabila kita sudah meninggal dunia, adakah perasaan ini masih ada?

Aku terbayang, sekiranya di dunia ini aku dipukul atau terjatuh pasti berasa sakit. Adakah rasa sakit itu masih ada apabila aku meninggal dunia? Aku terbayang-bayang mayatku terjatuh atau terhantuk, adakah rasa sakit itu masih ada?

Bagaimana pula dengan haiwan? Aku terbayang kucing peliharaanku, pasti ia akan marah kesakitan sekiranya aku dengan tidak sengaja terpijak ekornya. Tetapi apabila ia mati, sudah pasti tiada tindak balas darinya sekiranya ekornya dipijak?

Bagaimana pula dengan tumbuhan? Tumbuhan adalah makhluk hidup tetapi manusia tidak dapat melihat tumbuhan berbicara. Apabila pokok tidak mendapat air atau cahaya yang secukupnya, pasti ia akan terbantut atau layu. Apabila dibaja, disiram dan dijaga dengan baik, maka ia tumbuh dengan suburnya. Dari tumbuh mati pokok itu menunjukkan bahawa tumbuhan juga mempunyai perasaan. Tetapi apabila pokok mati, walau dibaja dengan cukup ataupun tidak lagi disiram dengan baik tetapi kaku dan akhirnya reput.

Manakala lantai misalnya, jika dipukul tiada apa-apa perubahan malah tangan yang berasa sakit kerana lantai itu tidak bernyawa.  

Oleh itu, aku mengerti bahawa perasaan-perasaan ini ada kerana roh itu wujud. Apabila manusia mati kelak, segala amalannya akan dihisab. Baik dibalas baik, buruk dibalas buruk.

Apakah masih wujud perasaan gembira diberi ganjaran, perasaan sakit diberi balasan? Bukankah jasad kita telah menjadi tanah?

Ya, masih wujud! Aku fikir kerana elemen utama adalah roh, selagi roh masih wujud, selagi itulah perasaan masih ada.

Aku terfikir, bagaimana dengan mereka yang lumpuh, sekiranya dipukul di bahagian lumpuh, bukankah mereka tidak berasa sakit? Lalu sakit itu apa?

Aku pasti mereka masih berasa sakit walaupun bukan secara fizikal, tetapi secara emosi. Emosi mereka pasti berasa sakit melihat diri mereka dipukul, dan juga melihat diri sendiri lumpuh!

Aku semakin faham bahawa sakit itu, atau apa-apa perasaan sekalipun adalah sesuatu yang abstrak, tidak boleh dihakimi dari luaran semata-mata kerana ada sahaja mereka yang sedang sedih tetapi ketawa, mereka yang sedang gembira tetapi menangis dan mereka yang sedang sakit tetapi masih tersenyum. 

Punca perasaan itu hadir kerana roh itu hadir. Kelak dikubur, roh yang bakal menghadapi persoalan malaikat serta akibat perbuatan sendiri kerana walaupun jasad kita hancur hari demi hari, roh itu masih ada. Sebagai seorang muslim, kita wajib percaya alam selepas kematian itu wujud.

Oleh itu, kita tidak boleh mengharapkan kebahagiaan dunia tanpa akhirat. Perasaan yang wujud dalam diri bukanlah kerana wujudnya jasad tetapi kerana wujudnya roh. Jadi, apa bezanya manusia dan benda tidak bernyawa jika punca perasaan hadir adalah kerana jasad?

Ruh itu adalah sesuatu ghaib dan hanya Allah yang Maha Mengetahui yang ghaib. Aku berharap diriku dan Muslim yang lain dapat keluar daripada pemikiran bahawa kebahagiaan dunia adalah segala-galanya. Apabila kita berasa kecewa, memberontak dan berasa putus asa ketika menghadapi ujian hidup, bersabarlah walaupun sukar!

Nukilan,

Nur Aina

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.