Pernahkah anda menonton filem 300: Rise of an Empire arahan Noam Murro? Filem menarik yang menceritakan perang antara dua kuasa besar sebelum Masihi iaitu Yunani dan Parsi. Dalam filem itu kita dapat lihat peperangan armada antara Thermistokles dari Yunani dan Artemisia dari Parsi yang berakhir dengan kemenangan di pihak Yunani.

Sebenarnya dalam sejarah Islam juga ada menceritakan kisah yang mirip begitu malah lebih hebat lagi. Walaupun di akhirnya kemenangan tidak memihak kepada tentera Islam, tetapi taktikal dan kekuatan peperangan lebih gah berbanding apa yang pernah terjadi antara Yunani dan Parsi suatu masa dahulu.

Diceritakan bahawa perang ini terjadi pada 7 Oktober 1571 M yang ketika itu Empayar Turki Uthmaniyah diperintah oleh Sultan Salim II, anak kepada Sultan Sulaiman Al Qanuni yang telah mangkat ketika Perang Szigetvar. Sultan Salim II ini tidak mewarisi sikap kepimpinan ayahandanya kerana sudah cukup selesa dengan apa yang telah dikecapi. Baginda juga bukan seorang yang berkeinginan untuk meneruskan kempen penaklukan dan meluaskan jajahan Turki Uthmaniyah.

Potret Sultan Salim II

Banyak urusan diserahkan kepada wazir agungnya iaitu Mehmed Sukollu, berbangsa Serbia yang berasal dari Bosnia-Herzegovina untuk menguruskan perihal ketika dia awal takhta Baginda. Sultan Salim II memang tidak memiliki kemampuan untuk dilakukan seperti ayahandanya. Untungnya Baginda dibantu oleh seorang menterinya yang juga seorang mujahid besar dan ahli politik yang ulung iaitu Muhammad Pasya As Shuqli.

PUNCA PERANG

Pada 1570 M, Tentera Uthmaniyah telah berhasil menakluk Nicosia dan jajahan jajahan Venice di Cyprus. Kemudian, tentera Uthmaniyah telah bertindak untuk mengempung Famagusta yang yang terletak di pantai Cyprus. Pope Pius V yang melihat keadaan ini telah bertindak dengan membentuk Perikatan Kristian untuk menghalang kemaraan pasukan Uthmaniyah sehingga ke Rom, Itali yang terletak Rumah Suci terbesar mereka. Walaupun ketika itu, banyak pertikaian yang dihadapi oleh Pope Pius V dalam menyatukan puak Kristian yang telah terpecah kepada beberapa mazhab. Puak Kristian juga sebenarnya berdendam kepada Turki Uthmaniyah kerana panglima tentera Uthmaniyah ketika itu, Lala Kara Mustafa Pasha tidak menepati janji  untuk membebaskan tawanan selepas menakluk Venice disebabkan tentera Uthmaniyah telah kehilangan 50 00 tentera ketika mengepung Venice.

Pope Pius V telah menulis sebagaimana yang telah dinukilkan dalam Al Dawlah Al Uthmaniyah oleh Ash Shallabi, “Kesultanan Turki berkembang pesat disebabkan kelemahan kita”. Dengan usaha ini, Raja Phillip II  dari Sepanyol dan Kerajaan Venice telah menandatangani perjanjian bersama Pope Pius V. Mereka juga menyedari bahawa perpecahan dan konflik dalaman yang tidak diselesaikan akan menjadikan Tanah Eropah sebagai ‘kubur’ bagi orang Kristian. Pope Pius V telah berjaya menaikkan semangat beberapa kota di Itali iaitu Genoa, Tuscani dan Savoy untuk menyertai pakatan suci ini.

Setelah pakatan dibentuk, mereka terus berlayar ke Naples iaitu jajahan takluk Raja Phillip II dari Sepanyol. Mereka berkumpul di situ untuk membentuk perancangan dan melantik panglima yang bakal mengetuai armada pakatan suci ini. Selesai berbincang, mereka semua bersetuju melantik adik tiri Raja Phillip II, John dari Austria atau dikenali Don Juan de Austria sebagai panglima armada mereka. Mereka telah bersetuju beberapa perkara dan diantaranya untuk menakluk kembali wilayah yang telah diambil oleh Turki Uthmaniyah seperti Tunisia, Algeria dan Tripoli.

Pakatan Suci ini melihat bahawa Armada Uthmaniyah sebagai ancaman, kepada keselamatan perdagangan maritim Eropah di Laut Mediteranean dan keselamatan benua Eropah sendiri. Mereka seterusnya berkumpul di Messina, Sicily pada Julai dan Ogos 1571.

Don Juan telah mara ke Laut Adriatik sehingga di bahagian sempit di Teluk Corinth (Greek) berdekatan dengan Patras. Kawasan ini tidak jauh dari Lepanto, kawasan pertembungan yang bakal mencipta sejarah.

Formasi peperangan sebelum berlangsung

Ali Pasha, Panglima Uthmaniyah dibantu oleh Mehmed Suluk dan Uluc Ali telah memimpin bala tentera Uthmaniyah yang jumlahnya lebih besar dari Pakatan Suci Eropah. Mereka berpendapat bahawa mereka harus gunakan kelebihan Teluk Corinth dan tidak bertempur dengan tentera Kristian. Namun Ali Pasha tetap tegas untuk berperang dengan puak Kristian kerana berasa yakin akan bilangan kapal pimpinan beliau. Ada sejarawan menceritakan bahawa Ali Pasha telah berkata kepada tenteranya, “Tidak akan kita biarkan kerajaan kita untuk terus diam membisu walaupun kita syahid di pertengahan jalan. Tugas kita ialah tugas dari Tuhan. Perjuangan kita adalah perjuangan nafas panjang”.

Ali Pasha telah mengatur serangan strategi perang dengan meletakkan kapal dalam satu barisan dari utara ke selatan. Memang kelihatan sungguh teratur dengan jumlah kapal yang sangat banyak. Bahagian kanan tentera Islam selari dengan pelabuhan Lepanto dan bahagian sebelah kiri di tengah lautan. Ali Pasha telah membahagikan tenteranya kepada 3 bahagian iaitu dua sayap kiri, dua sayap kanan dan bahagian tengah.

Bahagian tengah dipimpin sendiri oleh Ali Pasha. Bahagian kanan dipimpin oleh Mehmed Suluk dan bahagian kiri oleh Uluc Ali. Di pihak Kristian pula, Don Juan telah meletakkan kapal setentang dengan kapal perang Uthmaniyah. Doria diletakkan di sebelah sebelah kanan melawan Uluc Ali. Sayap kiri dipimpin oleh Barbarigo menentang Mehmed Suluk. Don Juan semestinya mahu berhadapan dengan Ali Pasha di bahagian tengah. Don Juan juga meletakkan Santa Cruz sebagai penjaga tentera simpanan.

Potret Don Juan de Austria

SEMASA PERANG

Peperangan ini telah dimulakan oleh Tentera Uthmani dengan menggempur dahulu barisan armada tentera Kristian. Terjadi pertembungan yang hebat dan sangat epik seperti dinukilkan Dr Ash Shallabi, “Berlaku peperangan dahsyat di mana kedua dua pihak menampilkan semangat perjuangan dan keberanian yang luar biasa”. Satu persatu kapal baik di pihak Uthmani atau Kristian mula jatuh dan pertarungan pedang mula berbunyi. Teluk Patras hari itu menjadi saksi perang yang epik ini. Barisan tengah yang dipimpin Ali Pasha mula goyah kerana diserang secara berfokus oleh Don Juan yang akhirnya menyebabkan Ali Pasha syahid. Kapal berdekatan yang melihat kematian Ali Pasha menjadi lemah walaupun mereka bertahan dalam tempoh dua jam bagi mempertahankan barisan tengah supaya mereka tidak dikepung dan dihancurkan sekaligus.

Di bahagian kanan pihak Kristian lain pula ceritanya. Doria membawa tentera terus ke selatan tanpa terus berhadapan dengan Uluc Ali. Ini menjadikan barisan armada Doria menjadi lemah dan kesempatan ini diambil oleh Uluc Ali untuk melakukan serangan dan menghabisi Doria dan armada tenteranya. Pertarungan antara Doria dan Uluc Ali ini meminggirkan mereka dari barisan tentera mereka yang lain. Walaupon pertarungan di bahagian ini telah memihak kepada Uthmani, tetapi barisan Janissari terus melawan hingga akhir. Sehingga dikatakan bahawa peluru meriam dan senapang mereka telah habis dan mereka telah menggunakan buah oren dan lemon untuk menghadapi tentera Kristian.

Dr Ash Shallabi berkata, “Seramai 30 000 tentera Islam terkorban. Ada yang berkata 20 000 orang. Mereka kehilangan 200 buah kapal perang, 93 telah ditenggelamkan dan bakinya ditawan musuh kemudian diagih agihkan kepada tentera Kristian. Seramai 10 000 tentera Islam ditawan”.

Antara 3 orang panglima Islam, hanya Uluc Ali yang selamat pulang. Beliau telah berjaya membawa dan menawan beberapa kapal musuh dan kapal yang membawa pope. Dr Ash-Shallabi katakan lagi, “Beliau membawa kapal-kapal pulang ke Istanbul dan disambut seperti orang mencapai kemenangan walaupun kepahitan akibat peperangan masih terasa.” Selepas itu, Sultan Salim II telah melantik Uluc Ali sebagai Ketua Panglima Laut Turki Uthmaniyah menggantikan Ali Pasha.

KESAN PERANG

Pertembungan ini telah memberi kesan yang mendalam pada pasukan Uthmani kerana mereka tidak pernah kalah di lautan semenjak kurun ke 15 lagi. Kekalahan ini menjadikan Turki Uthmaniyah bukan lagi kuasa yang tidak boleh dikalahkan di lautan dan menyeimbangkan kuasa di lautan Mediteranean. Itali dan Sepanyol tidak lagi gerun pada Turki Uthmaniyah walaupun pada 1572 M, Turki Uthamniyah bangkit kembali dan berhasil mendapat beberapa wilayah menjelang 1574 M.

Don Juan dianggap sebagai hero dan disanjung tinggi oleh masyarakat Eropah atas jasanya menumbangkan armada Turki Uthmaniyah. Semenjak kekalahan itu, Empayar Uthmaniyah tidak lagi meluaskan penguasaan mereka di laut. Dr. Ash Shallibi menyatakan, “Kekalahan ini merupakan satu titik penghujung era kegemilangan kuasa laut empayar Uthmani.” Begitulah sunnatullah. Tiada yang kekal di puncak dan setiap satu yang berlaku pasti ada sebabnya. Kepimpinan yang hilang semangat jihad akan menjatuhkan Islam melebihi musuh yang cuba menyerang setiap masa.

Oleh: Haikal Zulkefli

 

SUMBER RUJUKAN:

  1. Dr Hasan Ibrahim Hassan, (1986), Sejarah Islam-Siri Keenam, Yayasan Islam Terengganu
  2. Paul K. Davis (1999). 100 Decisive Battles: From Ancient Times to the Present. Oxford U.P. m/s. 170.
  3. Aidil Adha Sulaiman, (2015), Dari Andalusia ke Amerika, Karangkraf Sdn. Bhd.
  4. Foto dan Ilustrasi – Wikipedia

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.