“…dengan ini memasyhurkan dan mengisytiharkan bagi pihak umat Persekutuan Tanah Melayu bahawa mulai 31 hari bulan Ogos tahun 1957, maka Persekutuan Tanah Melayu dengan limpah rahmat Allah s.w.t akan kekal menjadi sebuah negara demokrasi yang merdeka dan berdaulat serta berdasarkan kebebasan dan keadilan dan sentiasa menjaga dan mengutamakan kesejahteraan dan kesentosaan rakyatnya dan mengekalkan keamanan antara segala bangsa”
Petikan tersebut diambil daripada pembacaan Pengisytiharan Kemerdekaan oleh Tuanku Abdul Rahman Putra, Perdana Menteri pertama Persekutuan Tanah Melayu. Peristiwa bersejarah itu dilakukan tepat pada 12.00 tengah malam 30 Ogos 1957 di hadapan Padang Kelab Selangor, Kuala Lumpur dan disaksikan oleh ribuan rakyat negara ini. Sejak detik itu, bermulalah negara kita sebagai negara yang berdaulat dan menandakan kebebebasan politik yang mutlak bagi Persekutuan Tanah Melayu.
Bayangkan jika kita hidup ketika itu, dalam keadaan Tanah Melayu belum ada lagi usaha perjuangan rakyat ke arah kemerdekaan Tanah Melayu,adakah akan dalam fikiran kita bahawa kita mampu hidup dalam masyarakat majmuk dan mencapai kesepaduan sosial seperti yang kita nikmati saat ini? Namun, rakyat Persekutuan Tanah Melayu telah membuktikan dengan kerjasama luar biasa antara kaum ketika itu demi usaha ke arah mencapai perpaduan kaum dan ke arah berkerajaan sendiri.
Bukan mudah untuk membina sebuah negara dan bangsa yang merdeka serta berdaulat seperti yang kita nikmati sekarang ini. Pelbagai onak dan duri yang perlu ditempuhi rakyat dan pemimpin terdahulu sebelum mencapai kemerdekaan dan berkerajaan sendiri.
Antara cabarannya adalah untuk mencapai kerjasama dan muafakat antara kaum. Oleh itu, antara usaha yang telah dilakukan adalah seperti penubuhan Jawatankuasa Hubungan Antara Kaum (Community Liaison Community, CLC) sejak tahun 1949, penubuhan dan perkembangan parti-parti politik dan pendidikan sebagai alat perpaduan. Setelah berjaya mengharungi liku-liku untuk membentuk Persekutuan Tanah Melayu, perjuangan seterusnya adalah untuk mewujudkan gagasan Persekutuan Malaysia. Akhirnya, pada tanggal 16 September 1963, Persekutuan Malaysia telah di isytiharkan menjadi kenyataan.
Saya tertarik dengan usaha pendidikan sebagai alat perpaduan. Pendidikan memang antara wadah yang berkesan dalam menyatukan mahasiswa pelbagai kaum. Hal ini kerana, kebanyakan pelajar yang ada di Malaysia sama ada Universiti Awam (UA) atau Universiti Swasta (US) terdiri daripada pelbagai bangsa, agama serta warna kulit yang berbeza.
Sebagai contoh, setiap Majlis Perwakilan Pelajar terdiri daripada pelajar pelbagai kaum untuk menjaga kepentingan dan kebajikan tanpa mengira kaum. Malah terdapat institut yang mewajibkan pelajar berbilang kaum tinggal di asrama terutamanya di awal tahun pengajian. Apabila pelajar-pelajar ini perlu duduk makan bersama-sama, hubungan keakraban akan terhasil. Namun ianya hanya akan berlaku jika setiap pelajar mengamalkan sikap terbuka untuk mempelajari dan menerima perbezaan di antara mereka.
Selain itu, hampir semua tugasan dan projek yang dilakukan adalah secara berkumpulan dan terdiri daripada mahasiswa pelbagai kaum. Mereka akan melalui kehidupan di kampus sekurang-kurangnya tiga ke empat tahun atau lebih.Sudah pasti kehidupan perkongsian sebegini sama ada di asrama, perpustakaan, dewan kuliah , kafe, padang sukan dan sebagainya secara langsung atau tidak langsung dapat membuka ruang untuk mereka bergaul dan berinteraksi antara kaum yang berbeza.
Jurang segregasi dapat dirapatkan dan integrasi dalam kalangan pelajar berbilang kaum semakin terserlah melalui penglibatan mereka dalam aktiviti-aktiviti di alam univarsiti.
Penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di Tanah Melayu sejak abad ke-7 dan kini sebagai bahasa kebangsaan juga dapat merapatkan perhubungan dan persefahaman di antara satu kaum dengan yang lain diwujudkan tanpa menimbulkan rasa curiga.
Seorang tokoh pejuang bahasa, Prof Datuk Zainal Abidin Abdul Wahid melihat peranan bahasa menjadi lebih penting, malahan lebih mustahak bagi Malaysia yang mempunyai penduduk yang berbilang keturunan dan kaum. Oleh itu, beliau telah menubuhkan sebuah pusat pengajian tinggi awam yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar yang kini dikenali sebagai Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Langkah ini mempercepatkan lagi perpaduan dan rasa harmoni antara kaum di negara ini. Dengan ini, kerencaman sistem pendidikan sebelumnya yang dilalui oleh mereka dari peringkat rendah ke menengah dapat disatukan dengan kesepaduan sosial di peringkat pengajian tinggi.
Kesimpulannya, pendidikan adalah sebahagian metode yang dapat mewujudkan kesepaduan antara kaum di Malaysia. Institusi kekeluargaan, aktiviti kemasyarakatan, media massa dan perundangan turut memainkan peranan ke arah negara yang aman dan makmur. Ayuhlah kita menyemarakkan semangat sayangkan negara dan bersikap prihatin seperti yang telah kita lakukan ketika memerangi wabak pandemik COVID19 dimana seluruh rakyat Malaysia bertindak untuk saling bantu-membantu tanpa mengira agama dan bangsa.
“berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”
Kejayaan kita dalam bekerjasama bagaikan aur dengan tebing antara masyarakat dan pemerintah dalam membendung wabak ini. Semangat ini perlu diteruskan demi kesejahteraan bersama selari dengan lagu Malaysia Prihatin yang dipilih sebagai lagu tema tahun ini sempena kemerdekaan negara yang ke 63 tahun.
“Kedamaian milik kita bersama,
Amanah bangsa junjung selamanya,
Abadikanlah jiwa dan ragamu,
Teguh sinar cahaya satukan jiwa”.
Salam Kemerdekaan Negara yang ke-63 dan Selamat Hari Malaysia!
Disediakan oleh: Mahirah Amani