Kebelakangan ini ramai dalam kalangan muslimah semakin proaktif menyebarkan dakwah kepada masyarakat. Kaum wanita semakin bangkit dan kewujudan mereka semakin terserlah.
Wanita dan dakwah tidak boleh dipisahkan. Dakwah akan mati. Keamanan negara akan tumbang apabila tidak ada tulang belakang yang memimpin negara dan ummah.
Konten-konten yang dihasilkan oleh pendakwah wanita pada ketika ini bersinar bak kilauan mutiara di mata orang-orang awam.
Lebih-lebih lagi, kita melihat dengan dua bola mata masing-masing betapa sosialnya pergaulan wanita. Tenatnya akhlak wanita kerana dijarah oleh hedonisme melampau sehingga melenyapkan kewajipan agama.
Maka, pendakwah muslimah ini muncul bagi menolong kaumnya sendiri yang sedang sakit jiwa, jasad dan pemikirannya.
Pendakwah pada hari ini ada yang memilih menjadi influencer yang gemar bercakap banyak. Memuatkan naik video-video dakwah untuk menarik lebih ramai kepada kebaikan. Bagi sesetengah orang, seorang pendakwah perlu mendedahkan diri di alam maya. Dirinya perlu ditunjukkan bagi membina kepercayaan kepada masyarakat.
Penulis sebenarnya ingin menyuarakan bahawa penyampaian dakwah adalah luas dan tidak terikat mengikut platform tertentu sahaja.
Ummahatul Mukminin dan sahabiyyah lain sangat menyembunyikan diri daripada dilihat oleh orang ramai. Mereka menyedari betapa dahsyatnya fitnah yang bernama wanita.
Meski dalam keadaan bertutup litup dan tidak menonjolkan diri, ilmu tetap teguh disebarkan. Suara mereka juga jarang kedengaran. Malu mereka sangatlah tinggi dan sudah semestinya mereka adalah golongan yang wajar diteladani.
Bukan menjadi kesalahan bertindak sebagai influencer muslimah dan menyediakan konten islamik sepanjang masa. Barangkali ini adalah cara paling baik bagi yang mahu mengumpul pengikut yang banyak supaya dakwah mampu disampaikan dengan pantas. Walau bagaimanapun ini tidak bererti mereka yang kurang mempamerkan diri, perjuangan dakwah yang dilaungkan itu tidak berkesan. Ini bukanlah ukurannya.
Kebanyakan mereka yang kurang gemar bercakap ini rata-ratanya terdiri dalam kalangan individu yang introvert. Apa yang perlu dilakukan agar dakwah tidak berhenti begitu saja?
Jawapannya, adalah menulis. Menulis merupakan kaedah paling mudah, cermat dan selamat. Hanya jari-jari yang menaip. Menulis ilmu-ilmu yang ada diminda. Mengembangkan apa yang terbuku dikepala. Menjalankan tanggungjawab dengan telus dan amanah.
Penulis wanita yang kurang menampakkan diri di laman sosial kini semakin digemari oleh pengikut-pengikut setianya. Hanya muncul ketika dijemput atau dipelawa berwacana.
Wanita boleh menyampaikan dakwah dalam pelbagai metod sesuai dengan seleranya. Ada yang tidak mahu menjadi influencer dan memuat naik turun videonya kerana bimbang sesuatu berlaku kepada dirinya. Antaranya,
- Bimbang jikalau suara bertukar mendayu-dayu sehingga membangkitkan syahwat lelaki yang mendengar.
- Bimbang sekiranya video disalah gunakan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.
- Bimbang jika menyebabkan orang lain berdosa kerana tidak berhenti-henti memandangnya.
- Bimbang seandainya dia menjadi wanita gemar berhias atau bertabarruj di hadapan audiens yang melihatnya.
Berbagai-bagai lagi musibah yang dinilai oleh sesetengah pihak yang tidak bersetuju. Kita tidak tahu apakah yang akan berlaku kepada para pengikut yang menonton. Justeru itu, jagalah hal-hal yang boleh menjatuhkan prestasi dan kehormatan kita sebagai wanita muslimah. Perhatikanlah empat perkara ini setiap kali berbicara.
Ketika berkongsi ilmu menggunakan medium apa sekali pun beringatlah selalu. Kita juga amat kekurangan ilmuwan wanita di akhir zaman. Pendakwah-pendakwah wanita ini amat dinantikan kedatangannya.
Andai kita hitung, berapa ramai yang menjadi influencer telah tersasar lisannya menukilkan hukum-hukam agama. Tidakkah kita bimbang, jika ilmu belum cukup matang, namun kita memandai-mandai dalam bermadah-madah?
Berapa ramai yang menulis pula tetapi tidak peka terhadap penulisan sehingga bercampur baur antara batil dan kebenaran? Ia sebenarnya peringatan kepada kita semua yang pernah leka agar sentiasa tekun mencari ilmu.
Akhirul kalam, walau apa jua cara yang digunakan ia berbalik kepada nawaitu kita. Seringlah kita berwaspada sebagai wanita lagi-lagi di laman sosial yang semakin dibanjiri kemunculan manusia-manusia pelik, jelik dan jahat. Berjaga-jagalah agar kita dihindari daripada serangan mata-mata jahat yang memandang.
Semoga Allah reda.
Disediakan oleh,
Syuhara Suriati