Ayat sifat dapat diistilahkan dengan merujuk kepada ayat-ayat al-Quran yang ada kaitannya dengan sifat-sifat Allah S.W.T. Ayat sifat juga boleh difahami sebagai ayat mutasyabihat atau yang kabur maknanya.

Jelaslah bahawa ayat sifat adalah sejumlah ayat-ayat al-Quran yang menyebut tentang sifat-sifat Allah S.W.T yang zahirnya sama dengan sifat makhluk, justeru berlakulah kesamaran maksud atau makna. Antara contoh ayat sifat yang terdapat di dalam al-Quran dan Hadis ialah:

Firman Allah S.W.T,

إِنَّ الَّذِينَ يُبَايِعُونَكَ إِنَّمَا يُبَايِعُونَ اللَّهَ يَدُ اللَّهِ فَوْقَ أَيْدِيهِمْ

Maksudnya: “Bahawasanya orang-orang yang berjanji setia kepada kamu sesungguhnya mereka berjanji kepada Allah. Tangan Allah di atas tangan mereka.” (Al-Fath 48: 10)

Sabda Rasulullah S.A.W, 


يَنْزِلُ رَبُّنَا تَبَارَكَ وَتَعَالَى كُلَّ لَيْلَةٍ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا حِينَ يَبْقَى ثُلُثُ اللَّيْلِ الآخِرُ يَقُولُ مَنْ يَدْعُونِي فَأَسْتَجِيبَ لَهُ مَنْ يَسْأَلُنِي فَأُعْطِيَهُ مَنْ يَسْتَغْفِرُنِي فَأَغْفِرَ لَهُ

Maksudnya: “Tuhan kami turun setiap malam di langit dunia terdekat dengan kami ketika sepertiga malam terakhir masih ada, dengan berkata: Sesiapa yang berdoa kepada Aku, maka Aku akan makbulkan untuknya. Sesiapa yang meminta kepada Aku, maka Aku akan berikan kepadanya. Sesiapa yang memohon keampunan kepada Aku, maka Aku akan ampuninya.” (Bukhari dan Muslim)

Ulama daripada kalangan Salaf dan Khalaf mempunyai pendekatan yang berbeza dalam mentafsirkan ayat-ayat sifat.

Dalam kalangan ulama Salaf terdapat dua aliran iaitu aliran yang berpegang dengan manhaj tafwidh dan aliran yang berpegang dengan manhaj ithbat. Tafwidh bermaksud menyerahkan. Manhaj tafwidh bermaksud menyerahkan makna atau maksud ayat kepada Allah S.W.T tanpa memperhalusi atau bagaimanakah lafaz ayat tersebut bahkan mereka berdiam diri sahaja tanpa sebarang perbahasan.

Ithbat pula ialah mereka menthabitkan atau menetapkan sifat-sifat Allah S.W.T yang wujud dalam nas. Konklusinya, ulama Salaf tidak mentakwil ayat-ayat sifat yang datang daripada al-Quran mahupun Hadis. Mereka berpegang dengannya serta mengimaninya sebagaimana ayat itu datang.

Misalnya ayat tentang ‘tangan’ Allah, mereka menetapkan ‘tangan’ tersebut dengan makna ‘tangan’ tetapi layak bagi zat Allah yang Maha Agung, tidak sama seperti tangan makhluk. Begitu juga dalil Allah turun ke langit dunia, turunNya adalah layak bagiNya. Hanya Allah yang mengetahui tentang diriNya.

Begitulah ulama Salaf berinteraksi dengan ayat sifat dan menyucikan Allah daripada sebarang penyerupaan dengan makhluk. Inilah manhaj yang menjadi pegangan ulama seperti Imam Malik, Imam Syafi’i, Ibn Abdil Bar, Imam Muhammad bin Hassan al-Shaybani dan lain-lain. 

Walau bagaimanapun, ulama Khalaf mempunyai pendirian yang berbeza. Mereka cenderung untuk takwil ayat-ayat sifat kepada maksud yang sesuai dan layak dengan kesempurnaan Allah S.W.T. Pendekatan ini dinamakan dengan takwil.

Bagi mereka, takwil diperlukan bagi menafikan Allah S.W.T daripada menyerupai makhluk seperti bertempat, beranggota, berwajah, berjisim dan sebagainya. Sebagai contoh, mereka takwil lafaz tangan kepada kuasa, turunNya Allah ke langit dunia pula takwil kepada turunnya rahmat Allah. Manhaj ini dipegang oleh ulama seperti Abu Hasan al-Asy’ari, Abu Mansur al-Maturidi, Fakhrudin al-Razi dan lain-lain. 

Perselisihan ini berlaku kerana ijtihad yang berbeza dalam mentafsirkan nas al-Quran di dalam Surah ali-Imran ayat ke 7. Kesan daripada perselisihan ini telah muncul pelbagai pandangan ulama daripada pelbagai aliran. Ada yang bersikap sederhana menerima serta mengiktiraf kedua-dua ijtihad tersebut, ada juga yang bersikap ekstrem dan ghuluw (melampau) sehingga menyesatkan dan mengkafirkan sesama muslim yang tidak bersefahaman dengan aliran yang mereka pegang.

Sebagai muslim yang memegang prinsip wasatiyyah (kesederhanaan), umat Islam haruslah bersikap terbuka dan berlapang dada dalam memahami dan berinteraksi dengan isu ini. Hal ini kerana isu ini adalah isu khilaf dan ia dalam kerangka ijtihad ulama Ahli Sunnah wal Jamaah. Maka tidak boleh sewenangnya menyesatkan atau mengkafirkan orang yang berpegang dengan salah satu daripada dua aliran tersebut samada manhaj Salaf mahupun Khalaf.

Perlu difahami bahawa kedua-dua aliran tersebut mempunyai persamaan yang boleh diambil kira sebagai usaha pengharmonian antara keduanya, iaitu ulamak Salaf dan Khalaf mempunyai pandangan yang sama tentang kewajipan menyucikan (tanzih) Allah daripada sebarang penyerupaan dengan makhluk.

Persamaan ini seharusnya menjadi titik pertemuan bagi mewujudkan kesatuan dalam kalangan umat Islam. Kesatuan antara muslim amat penting dalam membina kekuatan bagi mendepani isu-isu akidah yang lebih besar yang telah melanda umat Islam. 

Disediakan oleh,

Afiq Akmal

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.