Membela haiwan seperti kucing, arnab dan seumpamanya merupakan salah satu perbuatan yang baik lagi mulia di sisi agama Islam. Sebahagian masyarakat menjadikan hal itu sebagai hobinya membela haiwan, memberi makan minum dan menyediakan keperluan asas yang sewajarnya untuk haiwan peliharaannya. Tanpa kita sedari, membela haiwan dengan memberi makan minum termasuk dalam bab melakukan ihsan (berbuat baik) sesama makhluk. Sabda Nabi SAW dalam sebuah hadith riwayat Muslim, sabda Nabi SAW yang bermaksud :
“Sesungguhnya Allah mewajibkan berbuat ihsan kepada setiap sesuatu”.
Malah, dalam hadith yang lain, terdapat kisah dimana seorang pelacur diberikan keampunan oleh Allah dan diganjari balasan syurga hanya kerana beliau menghilangkan dahaga seekor anjing.
Dalam sebuah hadith riwayat Muslim, daripada Abu Hurairah RA, baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
“Sesungguhnya seorang pelacur wanita melihat seekor anjing mundar-mandir mengelilingi telaga pada hari yang sangat panas dengan lidahnya yang terkeluar kerana kehausan, lalu perempuan itu memberi minum menggunakan kasutnya, maka dia diberi pengampunan segala dosanya”.
Berdasarkan hadith tersebut, sesungguhnya betapa besar dan hebatnya balasan serta ganjaran yang diberikan oleh Allah SWT kepada hamba Nya yang disisi manusia, barangkali perempuan pelacur itu neraka lah tempat kembalinya. Namun begitu, dek kerana sikap ihsan terhadap anjing tersebut, Allah telah mengampuninya dan memasukkannya ke dalam syurga Allah, nikmat yang tidak terperi indah dan bahagianya apabila dapat masuk syurga Nya.
Dikalangan para sahabat baginda Nabi SAW, terdapat seorang sahabat Nabi yang bernama Abdul Rahman bin Sakhr al-Dhawsi yang sangat sukakan kucing. Sehingga beliau diberi gelaran sebagai “Abu Hurairah” (Bapa Kucing). Dalam satu riwayat daripada ‘Ubaidillah bin Abi Rafi’ yang bermaksud :
“Aku bertanya kepada Abu Hurairah, mengapakah kamu diberi gelaran dengan Abu Hurairah ?” Lalu beliau menjawab : “Aku dahulu memelihara kambing milik keluargaku, dan aku dahulu memiliki seekor anak kucing yang kecil. Pada waktu malam aku meletaknya di sepohon pokok dan apabila waktu siang aku membawanya bersama denganku kemudian aku bermain dengannya, maka orang ramai memberi gelaran kepadaku sebagai Abu Hurairah”.
Walaupun begitu, perbuatan membela dan menjaga haiwan yang pada asalnya menjanjikan kebaikan yang banyak, kadang-kala boleh mengundang dosa dan kemurkaan Allah SWT. Ini kerana kecuaian dan pengabaian kita terhadap penjagaan haiwan sehingga boleh mengundang rasa ketidakselesaan jiran tetangga, membawa kepada keadaan yang tidak tenteram, menyusahkan orang ramai dan sebagainya. Lebih parah lagi, apabila tuan empunya haiwan tersebut tidak mempedulikan soal kesihatan haiwan belaannya yang boleh mengundang penyakit berjangkit.
Perbuatan membela haiwan dan berlaku sikap ihsan terhadap haiwan belaan tersebut sangat dipuji dan dimuliakan oleh Islam. Namun berpijak di bumi realiti, sebahagian kecil yang tidak bertanggungjawab, membiarkan haiwan belaan mereka membuang najis di merata tempat sehingga mengganggu jiran, mencemarkan udara dengan bauan najis yang tidak menyenangkan, keadaan ini telah mengheret kita ke lembah dosa dan kebinasaan.
Dalam hal ini, baginda Nabi SAW mengingatkan kita menerusi sebuah hadith riwayat Muslim, diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
Tidak akan masuk syurga bagi seseorang itu apabila jirannya tidak merasa aman dengan gangguannya”.
Baginda Nabi SAW telah memberi peringatan kepada kita agar tidak melakukan sebarang perkara yang boleh membawa kepada rasa tidak senang, terganggu dan rasa tidak selesa akibat perbuatan kecuaian kita memelihara haiwan. Adalah menjadi sikap muslim yang sejati, apabila kita menjadi jiran yang baik, tidak menyusahkan jiran bahkan berperibadi baik sesama jiran. Sepertimana yang telah disebutkan dalam sebuah hadith riwayat Ibnu Majah, diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang bermaksud :
“Dan jadilah jiran yang baik kepada jiran kamu, maka kamu akan menjadi muslim sejati”.
Kita sebagai tuan empunya haiwan peliharaan, seharusnya bertanggungjawab atas segala perihal membabitkan haiwan peliharaan kita. Termasuklah soal makan dan minum, tempat bermain, tempat membuang najis dan segala keperluan perubatan yang diperlukan bagi memastikan haiwan peliharaan kita berada di tahap yang sihat, aktif dan cergas. Alangkah sedihnya, melihat sikap tidak bertanggungjawab terhadap haiwan peliharaan, tidak mempedulikan soal-soal tersebut. Sikap sedemikian sangat zalim dan tidak berperikemanusiaan.
Ada sebilangan kecil manusia yang tidak berhati perut, mengurung haiwan dengan tidak memberikan makan dan minum, membiarkan haiwannya dalam keadaan tidak sihat dan berpenyakit, bahkan ada yang melepaskan keluar haiwannya untuk mencari makanan di luar. Sehingga ada ketikanya, haiwan tersebut memasuki rumah jiran, mengambil makanan dengan cara mencuri. Hendak di marah haiwan tersebut, mereka tidak berdosa. Tidak punya akal untuk menimbang baik buruk sesuatu perkara. Namun, tuan empunya haiwan itulah yang harus dihukum kerana ketidakpedulian soal keperluan haiwan peliharaannya.
Sikap begini pernah disebutkan oleh baginda Nabi SAW menerusi sebuah hadith riwayat Muslim, diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar RA, sabda Nabi SAW yang bermaksud :
“Seorang wanita dimasukkan ke dalam neraka disebabkan seekor kucing yang ditambatnya, tidak diberi makanannya, dan tidak melepaskannya untuk mencari makanan di atas muka bumi”.
Adalah menjadi tanggungjawab tuan empunya haiwan tersebut untuk memberikan makan dan minum. Sekiranya seseorang yang membela haiwan tersebut, gagal atau tidak melakukan tanggungjawabnya terhadap haiwan tersebut, maka sudah tentu nerakalah tempat kembalinya di negeri akhirat kelak. Pastinya, kita yang mempunyai hobi dan minat membela haiwan peliharaan, tentu sekali tidak mahu masuk ke dalam neraka disebabkan kecuaian kita sendiri. Daripada hobi dan minat akan tersebut, boleh mengundang murka Allah SWT sekiranya kita tidak menjaga dengan baik.
Oleh yang demikian, memelihara haiwan peliharaan mestilah dijaga dengan baik dan sempurna agar kelak kita tidak diheret masuk ke dalam neraka. Jangan pernah sesekali membiarkan hobi dan minat kita itu sebagai jalan bagi kita menuju ke neraka jahanam. Umumnya ketahui, bukanlah menjadi satu kesalahan menjaga dan memelihara haiwan yang kita sayangi. Namun ianya mestilah hadir dengan rasa kebertanggungjawaban, menguruskan dengan baik supaya tidak mendatangkan ancaman dan bahaya pada orang lain. Semoga Allah memberkati kita semua.
Disediakan oleh: Faidhi Azis